Oleh SYED WAFA
Foto koleksi: SYED WAFA
“Air mata di Kuala Lumpur”
Air mata di Kuala Lumpur
Jatuh berderai hancur
Aku menangis tidak terhingga
Putus kasih yang tak ku duga
Dikau pergi tak tinggal pesan
Hancur musnah impian mulia
Istana ku bina menjadi pusara
Gelaplah pasti masa hadapan
Jiwaku merayau utara dan selatan
Hidup sudah tiada bererti
Zahirku hidup hai batinku mati
Remuk redam hatiku hancur
Air mata di Kuala Lumpur
Hidup sudah tiada bererti
Zahir ku hidup hai batin ku mati
Remuk redam hatiku hancur
Air mata di Kuala Lumpur
MENGHAYATI setiap bait lirik lagu nyanyian Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma ini, sudah pasti meruntun hati siapa sahaja yang mendengarnya. Bukan sahaja liriknya yang begitu puitis dan menyentuh hati malah melodinya yang mendayu sudah cukup membuatkan anda menitiskan air mata tanpa dipinta.
“Air Mata di Kuala Lumpur” merupakan lagu terakhir ciptaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebelum beliau meninggal dunia kerana serangan jantung pada 29 Mei 1973. Lagu ini dinyanyikan oleh Saloma dan dimuatkan dalam album berbentuk LP dan diedarkan pada tahun 1972.
Walaupun ada yang menganggap lagu tersebut seolah-olah menggambarkan hari suram P. Ramlee setelah sekian lama menetap di Singapura dengan menghasilkan karya-karya hebat di Malay Film Productions (MFP) akhirnya terpaksa berpindah ke Kuala Lumpur dan bekerja dengan Merdeka Film Productions. Di Kuala Lumpur, beliau dikatakan begitu kecewa kerana segala impiannya untuk memartabatkan filem dan lagu Melayu ke peringkat antarabangsa musnah apabila beliau ditolak dan disisihkan oleh masyarakat sendiri.
Bagaimanapun jika anda menghayati setiap bait lirik lagu karya P. Ramlee ini, ia seolah-olah membayangkan beliau akan pergi buat selama-lamanya dan meninggalkan isteri yang tercinta dan disayangi, Saloma.
Pemergiannya yang begitu mengejut bukan sahaja membuatkan para peminat filem Melayu terpana, malah liriknya sudah cukup membayangkan bagaimana keadaan Saloma setelah suami tersayang pergi tidak meninggalkan sepatah kata sebagai pesan.
Seperti yang diketahui ramai Saloma dan P. Ramlee bukan sahaja dianggap sebagai pasangan suami isteri yang paling bahagia. Malah mereka adalah pasangan duet yang ideal dan dianggap bagaikan ‘irama dan lagu’ yang sukar dipisahkan.
Namun sudah itu ketentuan-Nya, walaupun dalam sayu dan pilu, Saloma harus kuat menghadapinya apalagi dengan anak-anak yang menjadi tanggungjawabnya.
Sewaktu P. Ramlee meninggal dunia, Saloma harus memberi perhatian kepada anak-anak mereka iaitu Armali Aman Ramli (anak dengan bekas suami pertama, Allahyarham AR Tompel), Nasir P. Ramlee (anak tiri), Safarina Mum (Dian) dan Sabaruddin (anak angkat P. Ramlee), Zakiah Ahmad Rejab (Zazaloma anak angkat.)
Realitinya setelah P. Ramlee meninggal dunia, hidup Saloma mula diselubungi kemurungan dan kesedihan. Kesihatan Saloma dikatakan semakin merosot dan beliau semakin kurus dan tidak bermaya kerana menghidap pelbagai penyakit antaranya demam kuning (jaundice).
Allahyarham Seniwati Mariani yang lebih mesra disapa ‘Mummy’ yang sempat saya interbiu setahun sebelum beliau meninggal, berkata;
“Sebagai kakak, mummy faham hati dan perasaan Salmah (nama sebenar Saloma). Selepas Ramlee meninggal dia memang tak ada semangat untuk hidup malah sering mengurung diri di dalam bilik.
“Mummy selalu pujuk Salmah tetapi beliau cakap macam mana dia nak melupakan Ramlee kerana setiap sudut di rumah itu dia nampak Ramlee terutama di piano tempat arwah mencari dan mencurahkan idea.
“Mummy dengan arwah memang rapat kerana kami hanya dua beradik seibu dan sebapa. Kesedihan dia kesedihan mummy. Walaupun mummy pujuk tetapi sekejap aje dia lupa kemudian Salmah akan ingatkan Ramlee.
“Waktu itu, Salmah memang hidup bertemankan air mata. Mummy hanya boleh nasihat tetapi semangat untuk dia hidup bagaikan telah dibawa pergi oleh arwah Ramlee.”
Menurut Mariani, apabila kesihatan Saloma semakin merosot kerana jaundice dan ‘warded’ di Hospital Assunta berita yang keluar di sebuah akhbar benar-benar membuatkan beliau sedih.
“Berita itu, melapurkan seolah-olah Biduanita Negara, Saloma hidup melarat dan menagih simpati serta mengharapkan derma orang ramai untuk hidup!
“Hati mummy hancur apabila melihat adik mummy sedih tetapi apa yang mampu mummy buat hanya pujuk Salmah jangan peduli apa mereka nak kata,” cerita Mariani mengimbas kembali penderitaan adiknya.
Sementara itu, adik sebapa Saloma, Allahyarham Mimi Loma atau nama sebenarnya, Aminah Ismail ketika ditanya tentang keadaan Saloma setelah P. Ramlee meninggal beliau berkata;
“Saya pernah tinggal serumah dengan kakak dan Abang Ramlee. Saya melihat kebahagiaan mereka tetapi apabila abang meninggal kakak bagaikan kehilangan segala-galanya. Saya tahu kakak kesunyian tanpa abang tetapi dia lebih suka menyendiri.
“Abang Ramlee pergi bagaikan membawa seluruh jiwanya. Saya sedih mengenangkan kerana suatu waktu dahulu banglo di Jalan Dedap itu sentiasa ceria tetapi tiba-tiba sepi. Kakak memang tidak ada semangat untuk hidup,” kata Mimi Loma.
Menurut Mariani, sebenarnya ramai lelaki yang meminati dan mahu memperisterikan Saloma, tetapi kasih sayang dan cintanya hanya untuk P. Ramlee.
“Apabila Ramlee pergi ia membawa jiwa dan semangat Salmah sehingga membuatkan dia merasakan hidupnya tidak bermakna tanpa Ramlee.
“Mummy sedih tengok hidup adik mummy hanya bertemankan airmata. Kalau mummy nasihatkan Salmah memang dia dengar…tetapi sekejab sahaja, selepas itu hanya airmata menjadi temannya. Salmah tak ambil peduli makan minum apalagi kesihatannya,” cerita Mariani.
Saloma atau nama sebenarnya Salmah Ismail dilahirkan pada 22 Januari 1935 di Pasir Panjang, Singapura. Beliau adalah anak bongsu daripada dua beradik, iaitu kakaknya, Mariam yang lebih dikenali Mariani dan anak kepada pasangan suami isteri, Ismail Osman dan Umi Kalsom Mahbon.
Bagaimanapun Saloma dan Mariani mempunyai tujuh adik sebapa iaitu enam adik perempuan dan seorang lelaki melalui dua lagi perkahwinan ayah mereka.
Perkahwinan kedua Ismail dengan Intan beliau mempunyai tiga orang anak iaitu Rafeah (telah meninggal), Aminah (Mimi Loma) dan Zaharah (berkahwin dan menetap di Brunei Darussalam).
Melalui perkahwinan ketiga ayah mereka dengan Basnah, mereka mempunyai tiga adik perempuan dan seorang adik lelaki iaitu Jamaiah, Jaemah (menetap di Holland), Jasmaniah dan Abu Bakar (menetapa di Singapura).
Sejak usia lima tahun Saloma sudah menunjukkan bakat menyanyinya. Apabila ayah dan ibunya bercerai beliau dan kakaknya mengikut bapa mereka balik ke kampung di Tanjung Karang dan tinggal bersama ibu tiri mereka.
Bagaimanapun kerana tidak tahan hidup susah, mereka dua beradik melarikan diri ke Singapura dan tinggal bersama ibunya dan bapa tiri, Mum Yusoff, seorang pemuzik kumpulan keroncong tempatan, The Singapore Boys yang akhirnya dapat membuat persembahan di kelab The New World Cabaret.
Memiliki suara merdu bak buluh perindu ketika menyanyikan lagu “Seven Lonely Days” (penyanyi asal, Georgia Gibbs), akhirnya Saloma yang ketika itu baru berusia 13 tahun memulakan kerjayanya sebagai penyanyi.
Kerjayanya sebagai penyanyi tidak terhenti setakat itu, kerana ketika bapa tiri beliau membawanya melihat persembahan orkestra di Radio Malaya, dengan penyanyinya, Rokiah Hanafi atau lebih dikenali Rokiah Wandah tetapi apabila beliau tidak hadir, Saloma menggantikan tempatnya. Bermula dari saat itu bermulalah diari hidup Saloma sebagai penyanyi orkestra Singapura.
Bagaimanapun apabila kerjaya seninya tidak berjalan dengan lancar, Saloma menerima tawaran Nusantara Film berlakon dalam tiga filem pada tahun 1951 “Pelangi,” Perkahwinan Rahsia dan “Norma.”
Pada Januari 1952, Nusantara Film menawarkan Saloma watak sebagai penyanyi kelab malam dalam filem “Chinta Nusanta” arahan pengarah dan pelawak terkenal Aman Ramlie atau lebih dikenali AR Tompel. Tidak lama selepas itu, Saloma berkahwin dengan AR Tompel pada April 1952. Sayangnya perkahwinan itu hanya bertahan lima bulan dan setelah filem terakhirnya dengan Nusantara Filem, mereka bercerai dan ketika itu Saloma mengandung lima bulan.
Pada tahun 1957, Saloma berkahwin buat kali kedua dengan Kaswan Yusak, kawan sekelas di Sekolah Inggeris, Tanglin. Bagaimanapun jodoh mereka tidak panjang dan bercerai setelah beberapa bulan.
Setelah meninggalkan Nusantara Film, pada tahun 1955, Studio Jalan Ampas menawarkan Saloma berlakon dalam filem “Empat Isteri” arahan B.S Rajhans. Filem tersebut turut dibintangi Daeng Harris, Normadiah, Latifah Omar dan Mariani.
Selepas kejayaannya sebagai penyanyi dan pelakon, Shaw Brothers telah memberi nama yang lebih komersial dengan nama pentasnya ‘Saloma’ berdasarkan filem yang sedang ditayangkan ketika itu “Salome” (1953) yang dibintangi Rita Hayworth.
Pada zaman kegemilangannya, Saloma juga dikenali sebagai ‘Marilyn Monroe Asia.’
Pada April 1958, Saloma kemudiannya bersama pengasas Shaw Brothers, Sir Run Run Shaw ke Manila, Filipina untuk menghadiri Pesta Filem Asean. Filem lakonannya “The Seal of Soloman” memberi tuah kepadanya apabila beliau membawa pulang trofi Anugerah Harvest.
Selain berlakon, Saloma juga banyak menyanyikan lagu-lagu filem terbitan Shaw Brothers disamping membuat persembahan di hotel. Nyanyiannya telah menarik seorang tetamu yang melihat persembahannya dan menawarkan menyanyi di Perth, Australia dan beberapa kelab malam terpilih antaranya, Hotel Oriental dan Melbourne pada tahun 1959. Ini menjadikan beliau penyanyi wanita pertama mendapat kontrak menyanyi di luar negara dan nyanyiannya disiarkan di televisyen Australia.
Saloma telah merakamkan lebih 200 lagu termasuk lagu-lagu filem. Kebanyakan lagu nyanyiannya ciptaan P. Ramlee kerana beliau tertarik dengan kemerduan suaranya.
Antara lagu-lagunya ialah ‘Bila Larut Malam, Tiru Macam Saya, Sekapur Sirih Seulas Pinang, Bossanova, Tari Tualang Tiga, Kasihnya Ibu dan Mengapa Dirindu.’
Selama 30 tahun dalam bidang lakonan, Saloma telah membintangi 30 filem dengan 15 daripadanya arahan P. Ramlee, antaranya “Seniman Bujang Lapok” (1961), “Ragam P. Ramlee”(1964), “Ahmad Albab”(1968) dan “Putus Sudah Kasih Sayang”(1971). Filem terakhir beliau muncul sebagai pelakon undangan istimewa ialah dalam “Bila Hati Sudah Retak” (1983)
Saloma dan P. Ramlee berkahwin pada 21 November 1961. Walaupun perkahwinan mereka tidak dikurniakan anak namun kehidupan mereka diserikan dengan kehadiran anak daripada perkahwinan lalu dan anak angkat. Mereka dikatakan pasangan paling romantis dan bahagia.
Bagaimanapun kebahagiaan mereka hanya bertahan selama 11 tahun apabila P. Ramlee meninggal secara mengejut akibat serangan jantung pada 29 Mei 1973.
Sejak ‘kehilangan’ suami tercinta, airmata menjadi teman setia Saloma dan beliau bagaikan hilang semangat untuk meneruskan kerjayanya. Namun demi anak-anak beliau terpaksa kuat.
Saloma menghembuskan nafas terakhir kerana demam kuning pada 24 April 1983 pada usia 48 tahun. Jenazah Allahyarham disemadikan berhampiran pusara Allahyarham suaminya, P. Ramlee di Tanah Perkuburan Islam Ampang, Kuala Lumpur.
Sebagai mengingati jasa dan sumbangannya pada dunia seni, Saloma telah dianugerahkan Ahli Mangku Negara (1975), Biduanita Negara (1978) dan Kesatria Mangku Negara (1990).
Di samping itu, Restoran Saloma Bistro & Theatre telah dibuka di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Terbaharu Pintasan Saloma, jambatan pejalan kaki dengan kos sebanyak RM31 juta telah dibina berhampiran dengan pusaranya dan dibuka kepada umum pada 5 Februari 2020.
Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh beliau dicucuri rahmat oleh Allah SWT …Amin.
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.