Oleh Wawa Najwa

Pengarah dan penerbit, Erma Fatima sejak kebelakangan ini dilihat begitu aktif melaksanakan program-program berunsur Islamik.

Bersempena sambutan tahun baharu yang akan disambut pada 31 Disember ini, Erma mahu mengajak masyarakat tempatan meraikannya dengan cara berilmiah.

Erma atau nama sebenarnya, Fatimah Rahmad Ali, 55, memberitahu program ‘Panggilan Intifada’ yang akan diadakan pada 30 Disember dan ‘Darul Ehsan Berselawat’ pada 31 Disember ini di Dataran Karnival, pekarangan Stadium Shah Alam adalah terbuka untuk orang ramai.

Majlis Darul Ehsan Selawat akan berlangsung pada 31 Disember ini, pelbagai ilmu dapat dikumpul jika hadir.

Menurut pelakon yang popular dengan watak Mak Cun itu, beliau dilantik oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) sebagai sukarelawan untuk membantu melaksanakan progam yang diatur.

“Penganjur utama adalah Pejabat Menteri Besar Selangor. Saya menumpang program mereka kerana program kami yang sepatutnya berlangsung di Dataran Merdeka dibatalkan. Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyambut baik kerjasama ini.

“Untuk program ‘Panggilan Intifada’ pula adalah kerjasama antara Ribath Fatimah Azahra dengan MAPIM. Seratus peratus kutipannya adalah untuk membina masjid di Palestin selepas sempadan dibuka nanti. Ini adalah usaha MAPIM. Saya hanya menumpang untuk masuk bersama,” jelas Erma tentang program yang akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini.

Erma berharap dengan adanya program berbentuk ilmiah dapat memberi santapan rohani pada yang hadir dengan pendekatan Islam menyambut tahun baharu.

“Untuk mengajak orang berubah daripada kebiasaan, kita kena mulakan dulu. Ini permulaan yang baik. Moga mendapat sambutan yang baik juga daripada orang ramai terutama golongan muda.

“Sesungguhnya untuk menyusun atur program ini bukanlah mudah. Banyak dugaannya. Ada beberapa penceramah yang sudah setuju tetapi pada saat akhir tak jadi pula. Kerja agama macam ni tak ada modal yang besar. Apa yang saya harapkan adalah sumbangan daripada pihak artis khususnya tetapi saya tahu tak semua faham,” katanya yang menyasarkan kehadiran penonton untuk dua hari itu adalah sekitar 50,000 orang.

Barisan artis yang menjayakan program Panggilan Intifada akan menyanyikan lagu-lagu khas untuk Palestin.

Kehadiran pengunjung ke majlis tersebut bukan sekadar dapat mendengar alunan selawat, qasidah dan tausiyah (ceramah), malah dapat melihat pameran.

“Pameran ini akan menunjukkan tentang rangka binaan masjid dan penempatan untuk Palestine hasil wakaf daripada orang ramai nanti. Perancangannya adalah sebuah kawasan yang akan dinamakan Malaysia.

“Harap sama-samalah kita menjayakan program ilmuan ini sambil membantu saudara mara kita di sana. Lagipun inilah masanya untuk orang ramai mendengar ceramah daripada ulama ternama.

“Antara Habib Jindan Novel, Habib Ali Zainal Abidin Assegaf dan Habib Nael Ben Taher. Habib Jindan adalah ulama tersohor dari Indonesia, kemunculannya amat dinanti-nantikan. Selain itu untuk program ‘Panggilan Intifada,’ Ratu Rock, Ella juga akan turut serta.

“Artis yang terlibat untuk ‘Panggilan Intifada’ bukan menyanyikan lagu-lagu popular. Mereka akan menyanyikan lagu yang berkaitan dengan Palestin. Ella akan menyanyi lagu ‘Allah Allah Agishna’ siap buat klip video Palestin lagi,” jelas Erma serba sedikit tentang perjalanan program.

Bagi yang ingin hadir ke majlis berkenaan diingatkan supaya membawa sejadah dan tikar kerana ada solat berjemaah serta memakai pelitup muka.

Previous articleIPIN anjur program kemasyarakatan, rawatan percuma sakit sendi dan lutut
Next articleLagu ‘Seribu Tahun’ nyanyian Jaz Hayat dapat sambutan peminat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here