Oleh Syed Wafa
Lagu ‘Selendang Rindu’ dan ‘Kau Penggoda’ antara lagu hit Rohayu Majid yang sehingga kini begitu diminati dan menjadi malar segar. Artis era 90an ini sentiasa dirindui oleh peminat beliau bukan sahaja di Malaysia malah di Singapura dan Brunei.
Baru-baru ini bertempat di Restoran Tanjung Puteri, Kuala Lumpur, Rohayu Majid telah melancarkan Rohayu Majid Fan Club (RMFC) dengan meriah dan jayanya.
RMFC ini begitu ditunggu sekian lama oleh peminat setia beliau dan saat bersejarah ini begitu bermakna bagi mereka.
“Sebenaranya RMFC ini ditubuhkan pada penghujung bulan september dengan keahlian seramai 50 orang sahaja ketika itu,” kata Rohayu Majid.
“Syukur pada Allah sehingga kini dah mencecah ratusan ahli, Alhamdulillah..dengan adanya RMFC menambahkan semangat Ayu untuk meneruskan kegiatan seni Ayu.
“Dengan sokongan padu dari mereka semua buat Ayu ingin terus aktif dalam bidang seni ini. RMFC ini ditubuhkan secara tidak lansung satu persediaan untuk Ayu nak buat comeback,” kata Rohayu Majid lagi.
Di antara rakan artis yang hadir dan turut memberi sokongan pada malam tersebut antaranya Dato Fauziah Nawi, Anne Abdullah, Liza Abdullah, Datin Effa Ismail, Haleeda, Herdawati dan ramai lagi.
Acara kemuncak pada malam tersebut diserikan dengan memotong pulut kuning sempena majlis pelancaran RMFC.
Menurut Rohayu Majid lagi, beliau merancang untuk mengadakan beberapa aktiviti anjuran RMFC bersama peminat-peminat beliau sebagai tanda penghargaan.
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.