Oleh: Nafsiah Jani
MUKA berjerawat! Itulah masalah yang cukup ditakuti remaja atau sesiapa sahaja yang menghadapi masalah tersebut. Muka yang dipenuhi jerawat atau parut jerawat boleh menjejaskan penampilan, hilang keyakinan diri, menimbulkan rasa malu, serta mencetuskan gangguan emosi hingga membawa kepada kemurungan.
Jerawat muncul di pipi disebabkan penyebaran bakteria daripada tangan, telefon dan juga sarung bantal anda. Begitu juga dengan amalan pemakanan kerana makanan yang bergoreng, pedas, kopi, coklat dan kekacang juga boleh memburukkan keadaan kulit yang berjerawat.
Selain remaja, orang dewasa juga boleh mengalami masalah muka berjerawat. Jerawat disebabkan kelenjar sebum di kulit muka dan pori muka tersumbat. Kekotoran yang terdapat di udara juga turut membantu munculnya jerawat.
Pengumpulan sebum di muka merupakan permukaan terbaik untuk pertumbuhan bakteria ‘Propionibacterium acnes’. Bakteria ini akan bertindak balas dan merangsangkan sistem imun dan ianya akan mengakibatkan keradangan dan menumbuhkan jerawat.
Pakar dermatologi juga menyarankan mereka yang menghadapi masalah muka berjerawat sebaik-baiknya menggunakan produk yang berlabel oil-free, noncomedogenic atau nonacnegenic supaya jerawat tidak mudah muncul di muka.
Sebenarnya ada banyak petua menghilangkan jerawat namun bukan semua yang boleh diamalkan. Dalam usaha untuk menghilangkan jerawat dan mendapatkan kulit wajah yang bersih lagi cantik, sila berjumpa doktor atau pakar kecantikan untuk mendapatkan nasihat agar tidak timbul masalah di kemudian hari.
Di bawah ini kami sertakan beberapa tips untuk anda menghilangkan atau memudarkan jerawat di muka atau mana-mana anggota badan yang berjerawat. Selamat mencuba.
- Campurkan bedak sejuk bersama sedikit asam jawa yang dicampur dengan air untuk menjadikannya dalam bentuk pes. Sambil berselawat sebanyak tiga kali, setiap malam sapukan pes tersebut di muka dan biarkan selama setengah jam. Kemudian bersihkan masker tersebut. InsyaAllah lama-kelamaan jerawat akan beransur kecut dan menghilang.
- Air batu juga boleh menghilangkan jerawat. Caranya dengan masukkan air batu ke dalam kain bersih dan olesnya secara perlahan pada jerawat. Digalakkan untuk melakukan cara ini tiga kali sehari. Jerawat akan mengecut dan anda akan gembira dengan hasilnya.
- Jika muka berjerawat, seseorang itu tidak digalakkan untuk mengambil minuman bersusu, keju ataupun yogurt dalam rutin sehariannya. Secara tidak langsung ia akan membantu menghilangkan jerawat dan juga mengatasi masalah muka berjerawat batu.
- Selain membantu menguruskan badan, cuka epal juga dapat membantu menghilangkan serta memudarkan parut jerawat serta cela yang terdapat di muka. Basahkan kapas dengan cuka epal dan sapu pada parut jerawat. Biarkan selama lima minit dan muka bolehlah dicuci bersih. Cuka epal ini bersifat asid dan anda dinasihatkan buat seminggu sekali.
- Aloe vera ataupun lidah buaya juga mampu menghapuskan jerawat di muka. Kandungan gel dalam aloe vera ini dapat membantu mengecutkan jerawat dengan cepat. Amalkan bila anda hendak tidur. Sapukan lendir aloe vera pada jerawat dan parut jerawat. Biarkan semalaman dan esoknya barulah kulit muka dibersihkan. Seminggu kemudian, anda akan kagum dengan hasilnya.
- Campuran minyak zaitun, lemon dan bedak sejuk juga mampu membantu mereka yang menghadapi masalah muka berjerawat. Ambil enam biji bedak sejuk dan campurkan bersama satu sudu kecil minyak zaitun. Gaul sebati bahan tersebut bersama perahan lemon. Oleskannya di muka seperti masker. Biarkan selama 30 minit dan kemudian bersihkan muka. Lakukan seminggu sekali.
- Kisar timun dan tapis hampasnya. Hampas timun boleh kita jadikan masker. Biarkan selama 30 minit sebelum kita membilas dan membersihkan muka. Kemudian semburkan air timun sebagai penyegar. Selain menghilangkan jerawat, bahan ini juga mampu mencerahkan kulit muka anda. Cuba jangan tak cuba.
- Rajin-rajinlah scrub muka sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dengan campuran satu sudu kecil kopi, sedikit gula dan air. Sambil menyapu scrub tersebut, gosokkan muka dengan perlahan bagi menanggalkan sel kulit mati yang terdapat di wajah dan digantikan dengan sel kulit baru.
- Penggunaan set penjagaan wajah yang tidak sesuai dengan kulit juga boleh menyebabkan muka berjerawat. Jerawat ini berpunca ‘pengeluaran’ minyak yang berlebihan di muka menyebabkan liang roma tersumbat dan timbulnya masalah jerawat. Oleh itu belilah produk penjagaan muka yang bersesuaian dengan kulit wajah anda.
- Amalan pemakanan yang tidak sihat juga boleh menyebabkan muka berjerawat. Oleh itu, ambillah makanan yang seimbang daripada sayur-sayuran dan buah-buahan. Untuk mendapatkan kulit yang cantik dan bebas jerawat, elakkan mengambil makanan yang diproses, berminyak atau mengandungi banyak gula.
- Selain minum banyak air kosong, kita juga digalakkan untuk bersenam. Bersenam dapat membantu badan kita melepaskan hormon endorphin dan hormon ini dapat menggurangkan pengeluaran minyak pada kulit wajah. Peluh yang dikeluarkan ketika bersenam selama 30 minit juga dapat menyingkirkan toksin dalam badan seseorang. Penyingkiran toksin membantu mengurangkan jerawat dan menjadikan badan kita lebih sihat dan bertenaga.
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.