Oleh : Nafsiah Jani
Kalau anda tidak kemana-mana, penuhi hujung minggu ini dengan menyaksikan persembahan bangsawan Geliga Panca Sakti pada 26 & 27 Januari ini jam 8.30 malam di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur.
Persembahan bangsawan arahan dan skrip oleh Fairul Pujangga ini merupakan projek akhir Subjek Lakonan Bangsawan dan subjek Pengurusan Produksi Tingkatan 4 dan Projek akhir menengah rendah untuk topik Lakonan dan Sinematografi. Projek ini anjuran bersama Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur dan DBP Kuala Lumpur dengan kerjasama Kelab Katarsis Seni
Marilah kita semua memberi sokongan kepada pelajar-pelajar tersebut dengan membeli tiket berharga RM30.00. Sokongan anda sekurang-kurangnya dapat memberi semangat dan sokongan moral kepada pelajar yang terbabit dengan pementasan ini.
Teater Geliga Panca Sakti ini mengisahkan tentang pencarian permaisuri pertama Raja Darius yang telah hilang setelah perkahwinan raja itu tidak mendapat restu ayahanda dan bondanya suatu masa dahulu.
Dalam masa yang sama, isteri pertama raja itu telah menyamar menjadi nenek Embun yang tinggal secara rahsia di negeri Seludang Mayang dan meninggalkan anaknya yg masih bayi, Putih Arjuna di satu kawasan hutan. Anak kecil itu ditemui oleh Raja Darius lalu dibelanya hingga menjadi seorang panglima di negeri itu.
Setelah dewasa, mereka terus mencari keluarga pertama Raja Darius yang telah dikhianati oleh Bendahara Prahara dan isteri kedua bersama-sama anak tirinya yang mahu merampas takhta. Onar yang dibuat oleh tiga pengkhianat itu menyebabkan Raja Darius yang diracuni permaisurinya jatuh gering dan hampir mati.
Namun raja terselamat dengan penawar geliga panca sakti yang diperolehi Putih Arjuna bagi merawat raja. Kebenaran akhirnya terbongkar dan nenek Embun juga mendedahkan bahawa Putih Arjuna itu adalah anak kandung raja yang dicari-cari selama ini. Percayakah Raja Darius?
Untuk mengetahui kesudahannya, datanglah beramai-ramai untuk memberi sokongan pada anak-anak muda yang bakal mewarisi seni dan budaya kita. Untuk tempahan tiket sila hubungi Freezuddin 013 3734540.
Penulis, Nafsiah Jani adalah penyumbang tetap Lady Bosz. Beliau juga adalah juga bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia.