Oleh Wawa Najwa
Ternyata percaturan pihak penganjur Orange International (OI) yang menggandingkan Wali Band, Charly Setia Band dan Fadhilah Intan di atas satu panggung memberi kelebihan kepada penonton di sebelah utara.
Konsert Wali X Setia ‘Cari Jodoh’ & ‘Dawai’ In Penang yang berlangsung di Spice Arena, Pulau Pinang pada 18 Februari lalu mendapat sambutan hangat daripada peminat tempatan.
Ketua Pegawai Ekskutif dan Pengasas Orange International Dato’ Fadzli Idrus berkata, pada mulanya, hanya Wali sahaja yang akan menjayakan persembahan tersebut.
“Siapa sangka bulan jatuh ke riba apabila Charly Setia pula berminat untuk turut serta menjayakan konsert berkenaan, bonus tidak ternilai buat siapa yang menontonnya kerana kami menawarkan tiket pada harga yang sama.
“Di samping itu, penonton turut disajikan dengan persembahan oleh penyanyi Indonesia yang sedang meningkat naik, Fadhilah Intan yang tular dengan lagu Dawai selain kemunculan penyanyi popular Malaysia, Saixse dan juga Khai Bahar,” jelasnya.
Untuk konsert pada malam tersebut, penyanyi utama Wali Faank mendendangkan kira-kira 12 buah lagu hit mereka seperti ‘Cari Jodoh’, ‘Ada Gajah Di Balik Batu’, ‘Si Udin Bertanya’, ‘Yank’, ‘Aku Bukan Bang Toyib’ dan lain-lain.
“Terima kasih buat semua peminat kami di Malaysia yang hadir menyaksikan Wali beraksi, kamu semua adalah yang terbaik!
“Kami sangat berbesar hati dapat menghiburkan anda semua dan ‘asyik’ dengan sing-along bersama-sama kami,” katanya.
Manakala Charly Setia pula menyanyikan lagu-lagu popular mereka antaranya, ‘Cinta Sampai Mati’, ‘Jangan Pernah Berubah’ dan ‘Asmara’.
Seterusnya, malam konsert menjadi gamat apabila penyanyi Fadhilah Intan menyanyikan lagu ‘Dawai’ yang ditunggu-tunggu ramai, dan lebih istimewa apabila dia turut menyanyikan lagu ‘Bukan Cinta Biasa’ yang dipopularkan oleh Datuk Sri Siti Nurhaliza.
Malam konsert bertambah hangat apabila giliran Saixse pula muncul di pentas dengan menyanyikan lagu ‘Malam Pagi’ yang dinyanyikan bersama oleh semua penonton yang hadir dan Khai Bahar pula membawakan lagu ‘Luluh’, ‘Bayang’, ‘Oh Wanita’ dan sebuah lagu bonus, ‘Lemas’.
“Kami amat berpuas hati menyaksikan konsert yang dibawakan kedua-dua pihak penganjur, pelbagai ‘perisa’ muzik yang disajikan dengan genre yang berbeza dapat memenuhi citarasa setiap penonton yang hadir,” kongsi salah seorang penonton.
Rata-rata penonton yang hadir mengenakan baju berwarna hijau yang menjadi tema pada malam konsert sebagai tanda sokongan terhadap program Eco-Schools yang disarankan oleh kerajaan.
“Terima kasih kepada semua pembeli tiket dan penonton yang hadir menggamatkan konsert, sekali lagi saya selaku pihak penganjur bersama-sama MN berterima kasih kepada pembeli-pembeli tiket awal yang memahami dengan pertukaran tarikh dan ‘kejutan’ ini,” akhiri Fadzli.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.