Oleh Nafsiah Jani
Timun batang adalah antara makanan yang paling kerap menjadi pilihan ulam kerana senang untuk dimakan segar, dijadikan salad timun dan boleh di jerukkan. Terdapat banyak khasiat dan kebaikan timun batang untuk badan kita.
Kandungan kalorinya yang rendah menjadikan timun batang antara makanan yang sesuai kepada mereka yang ingin menurunkan berat badan. Kandungan serat yang tinggi memudahkan lagi pergerakan usus dan pembuangan najis.
Selain kandungan air yang tinggi, timun batang atau nama saintifiknya Cucumis sativus juga kaya dengan pelbagai jenis nutrisi seperti protein, serat, vitamin C, vitamin K, magnesium, potassium dan manganese. Tidak hanya bermanfaat untuk kesihatan tubuh, timun juga berkhasiat untuk menjaga kesihatan tubuh badan dan kulit wajah.
Timun batang juga kaya dengan kandungan kalium potassium dan magnesium yang penting untuk kesihatan jantung. Magnesium juga turut membantu mengawal sistem badan termasuklah tekanan darah, gula dalam darah, fungsi otot dan saraf.
Selain sedap dimakan, timun juga digunakan untuk merawat kulit wajah. Kandungan air yang tinggi di dalamnya dapat membantu melembabkan kulit kering dan juga mengurangkan warna kemerahan pada kulit wajah.
.
Apabila disebut timun ramai beranggapan ia hanya sesuai dihidangkan sebagai pelengkap ulam-ulaman, acar atau dijadikan penambah dalam masakan dan makanan seperti nasi lemak. Rasanya yang segar dan mengandungi banyak air bukan saja sesuai diolah sebagai makanan tetapi juga sebagai jus minuman.
Pemilihan timun yang manis dan tidak pahit sangat penting untuk menghasilkan jus yang enak. Semakin besar ukuran timun, rasanya akan semakin pahit. Untuk mendapatkan jus timun yang sedap, pastikan tekstur timun padat apabila ditekan, warna kulit timun hijau terang, tidak berkedut atau kusam.
Setiap buah yang diambil atau dimakan pasti ada kebaikan dan keburukan bagi sesetengah orang. Oleh itu, makanlah buah atau sayuran itu berpada-pada dan bukannya secara berlebihan. Dikhuatiri pengambilan yang berlebihan akan mendatangkan mudarat terhadap tubuh badan.
Khasiat dan kebaikan timun batang yang perlu anda semua tahu adalah:
1. Timun kaya antioksidan dan mampu mencegah kerosakan sel dalam tubuh disebabkan oleh radikal bebas. Kandungan beta karoten, vitamin C dan mineral di dalam timun dapat mencegah proses penuaan semula jadi. Untuk cantik semulajadi amalkan minum jus air timun yang di blender ataupun timun yang dihiris direndam bersama lemon selama 4 jam sebelum diminum. Amalkannya setiap hari dan anda pasti takjub dengan hasilnya.
2. Timun batang juga bagus untuk membantu mereka yang ingin menurunkan berat badan kerana timun termasuk makanan rendah kalori. Kandungan air dan seratnya akan membuatkan kita rasa cepat kenyang dan lambat lapar. Untuk mendapatkan nutrisi sepenuhnya, elakkan daripada mengupas kulit timun kerana ini akan mengurangkan kandungan serat dan beberapa vitamin yang lain.
3. Kajian menunjukkan timun mengandungi polifenol dipanggil lignan, yang membantu merendahkan risiko kanser. Penelitian yang dijalankan penyelidik di Pusat Kanser Amerika Syarikat, Robert H. Lurie menyatakan timun boleh membunuh berbagai jenis sel kanser, mengecilkan tumor dan merangsang sistem kekebalan tubuh.
4. Air yang terdapat di dalam timun membantu membuatkan badan kekal terhidrat kerana 96% daripada kandungan timun adalah air. Air sangat penting kerana dehidrasi adalah salah satu faktor menyebabkan badan tidak dapat berfungsi dengan baik, sembelit dan membuatkan najis menjadi keras. Kandungan air yang terdapat di dalam timun membantu sistem percernaan.
5. Jus timun juga membantu mendapatkan tidur yang lena apabila kita mengambilnya pada waktu malam. Pengambilan ini menyebabkan tubuh badan kita tetap terhidrasi sepanjang malam dan kita mendapat tidur yang nyenyak dan secukupnya sepanjang malam kerana kandungan magnesium di dalamnya.
6.Timun mengandungi kalium yang membantu menyeimbangkan kadar sodium dalam badan dan menstabilkan tekanan darah. Oleh itu, mereka yang ada penyakit darah tinggi digalakkan untuk mengambil banyak timun sebagai jus ataupun dijadikan ulam dalam makanan.
7. Mata anda tidak sihat, penat, kelihatan letih dan bengkak. Untuk mengatasi masalah ini ambil timun dan potong nipis. Hirisan timun tadi letakkan dekat mata dan biarkan seketika. Timun ada anti-inflamasi dan boleh mengurangkan bengkak pada mata. Selamat mencuba.
8. Timun batang juga bagus untuk mendapatkan kulit yang tegang. Masker yang dihasilkan dari timun boleh mengatasi masalah ketegangan kulit. Kandungan air yang tinggi, ada vitamin A,B ,C dan mineral tertentu seperti magnesium, silica menjadikan timun bagus untuk kulit.
9. Kandungan silika yang terdapat dalam timun dapat merangsang dan menguatkan otot-otot. Campuran jus timun dan lobak oren dapat melegakan mereka yang mempunyai masalah artritis gout dengan merendahkan paras asid urik
10. Timun juga mampu menghilangkan bau mulut. Ambil beberapa hirisan timun dan tampalkan pada lelangit mulut. Biarkan seketika selama setengah jam kerana kandungan fitokimi yang terdapat dalam timun dapat membunuh bakteria yang menyebabkan nafas berbau.
11. Timun batang juga baik untuk buang pinggang. Timun mampu merendahkan paras asid urik dalam tubuh seseorang dan sekaligus menjadikan buah pinggang selamat dan terjaga selagi kita mengamalkan pengambilan timun sebagai makanan harian.
Penulis, Nafsiah Jani adalah penyumbang tetap Lady Bosz. Beliau juga adalah juga bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia.