Oleh Syed Wafa
Foto Afhzahafiez Kamaruddin/Koleksi Syed Wafa
Setiap tahun penulis lirik terkenal dan yang tidak asing lagi, Datuk Habsah Hassan atau lebih mesra dipanggil Kak Chah tidak lupa mengadakan majlis tahlil buat sahabat baiknya yang juga ‘Penghibur Nombor Satu Asia’, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.
“Sebenarnya sudah menjadi rutin tahunan saya untuk mengadakan majlis tahlil buat sahabat baik saya, Sudirman.
“Majlis ini bukan sahaja untuk mengenang Sudirman, ianya juga untuk karyawan seni atau insan-insan seni yang telah pergi meninggalkan kita antaranya Mama Juwie, Raja Ahmad Alauddin, Ridzuan Hashim dan ramai lagi.
“Melalui majlis tahlil ini sebagai tanda ingatan dan kasih sayang kita kepada mereka yang tidak putus, yang banyak berjasa pada dunia seni tanah air kita,” kata Kak Chah sayu.
Majlis tahlil ini turut dihadiri lebih 20 orang ahli Kelab Peminat Sudirman, sahabat artis beliau antaranya Zaiton Sameon, Rubiah Suparman, Datuk Freddie Fernandez yang juga pengerusi Karyawan. bekas PR EMI iaitu Lerry yang pernah menguruskan kerjaya seni Sudirman serta rakan media yang begitu rapat dengan beliau iaitu Intan Zabidin.
“Ketika Abang Sudir menjadi penulis di Karangkraf, saya diarahkan untuk menjadi pembantu beliau, dari situ saya banyak belajar perkara baru dan arwah seorang yang komitmen dengan tugasnya,” kata Intan Zabidin mengenang kenangan bersama Sudirman.
“Dia adalah sahabat yang baik dan ikhlas, selepas saya mengalami kemalangan, Sudir tidak putus-putus bantu saya dari segi kewangan dan semangat,” kata Zaiton Sameon mengenai sifat mulia sahabatnya, Sudirman.
“Saya harapkan majlis ini akan berterusan dan semoga Allah SWT sentiasa merahmati roh mereka,” kata Kak Chah lagi.
Majlis yang diadakan di Restoran Puteri Pencahala ini dihadiri lebih 50 orang.
Menurut Kak Chah di bulan Ramadan ini juga diadakan bufet Ramadan bermula 13 Mac hingga 7 April. Pasti pengunjung merindui bufet di sini kerana hidangannya yang pelbagai dengan harga yang sungguh berpatutan.
Bagi mereka yang ingin membuat tempahan berbuka di sini bolehlah hubungi di talian +6012-3147652
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.