Oleh : Asmat Fikri
Betullah orang tua pesan, awal-awal kehamilan jangan hebohkan lagi, simpan sendiri terlebih dulu. Paling kurang apabila kandungan melepasi trimester pertama iaitu usia kandungan dalam 3 bulan begitu, baru boleh beritahu orang lain berita gembira tersebut.
Dikhuatiri jika berlaku sebarang perkara tidak diingini pada kandungan itu seperti keguguran. Di mana kandungan tidak dapat diselamatkan lagi, akan beri kesan yang tidak baik pada ibu hamil dan keluarga.
Tahukah kita, kebanyakan kes keguguran (80%) berlaku sebelum minggu ke 13 manakala 20% lagi berlaku pada ibu yang kurang dari 22 minggu mengandung.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), keguguran berlaku bila semua atau sebahagian dari kandungan terkeluar atau dikeluarkan dari rahim pada usia kandungan kurang dari 22 minggu. Kandungan yang tidak menunjukkan perkembangan atau tidak lagi menunjukkan tanda-tanda hidup juga dirujuk sebagai keguguran jika berlaku kurang dari 22 minggu. Keguguran ini berlaku kepada 8-20% ibu mengandung.
Faktor penyebab keguguran
Jika kita mengulas tentang keguguran, pastinya banyak perkara yang kita akan sentuh, ia berkaitan faktor, penyebab kenapa berlakunya keguguran, punca, rawatan, ibu yang mengalami keguguran perlu berpantang atau tidak dan banyak lagi.
Mari kita lihat apakah faktor yang boleh menyebabkan ibu keguguran anak dalam kandungan.
Faktor berlakunya keguguran menurut Dr. Hj. Mohamed Hatta Mohamed Tarmizi;
- Usia ibu: ibu yang berumur (lebih tua) berisiko tinggi berbanding yang lebih muda.
- Pernah keguguran sebelumnya: jika keguguran sekali, risko untuk gugur lagi adalah 20%, dan jika pernah 2 kali gugur, risiko adalah 30%. Risiko meningkat kepada 43% kalau pernah 3 kali gugur atau lebih.
- Merokok: merokok lebih dari 10 batang sehari (atau perokok pasif) boleh meningkatkan risiko.
- Alkohol: pengambilan alkohol semasa mengandung walaupun sedikit boleh menyebabkan keguguran.
- Demam panas: melebihi 37.80C atau lebih boleh menyebabkan keguguran.
- Trauma: trauma (kemalangan) dibahagian rahim semasa mengandung boleh meningkatkan risiko. Ini termasuk juga rawatan amniocentesis dan chronic villous sampling.
- Kafein: pengambilan kopi atau bahan berkafein seperti coca cola dan sebagainya secara berlebihan boleh meningkatkan risiko keguguran. Tidak digalakkan mengambil lebih dari 300mg sehari.
- Sebab-sebab lain: risiko meningkat kalau si ibu tercemar dengan bahan seperti jangkitan, sesetengah ubat-ubatan, stres fizikal yang berlebihan, radiasi dan bahan-bahan kimia.
Ada persoalan juga apakah tekanan yang dialami oleh ibu hamil turut boleh menyebabkan keguguran?
Jawapannya tahap tekanan tinggi yang berpanjangan boleh mengganggu sistem imun badan, keseimbangan hormon dan kesihatan keseluruhan. Sistem imun yang lemah juga boleh mengurangkan keupayaan seseorang untuk melawan jangkitan.
Walaupun tiada kajian konklusif untuk mengaitkan tekanan sebagai punca langsung keguguran, kesan tekanan terhadap kesihatan seseorang boleh meningkatkan kemungkinan mengalami keguguran.
Antara faktor lain yang menyebabkan keguguran adalah disebabkan masalah genetik. Data menunjukkan 30% keguguran berlaku sebelum minggu ke-8 dan penyebab utama adalah masalah genetik. Embrio terhasil dari persenyawaan telur isteri dan sperma suami gagal membesar dan membahagi kepada janin. Masalah genetik merangkumi 40-45% dari sebab keguguran.
Manakala si ibu yang mempunyai penyakit juga berkemungkinan akan mengalami keguguran. Penyakit ibu seperti kencing manis yang tidak terkawal, masalah struktur dalam rahim (septum) atau fibroid antara penyakit yang boleh memberi kesan kepada kandungan hingga berlakunya keguguran.
Ikuti sambungan akan datang jenis- jenis keguguran.
ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.