Oleh Nafsiah Jani
Kedatangan Ramadan bermakna muncul kembali buah kurma yang sudah semestinya menjadi hidangan wajib ketika bersahur dan berbuka puasa. Selain rasanya yang enak, buah kurma juga mengandungi pelbagai khasiat.
Buah kurma merupakan buah daripada sejenis pokok palma genus Phoenix. Buah ini juga dikenali dengan nama saintifiknya , Phoenix dactylifera Linn.
Selain dimakan begitu saja, kini buah kurma diviralkan lagi dengan butter atau peanut butter dimasukkan sebagai inti. Selain buahnya, kini juga terdapat jus buah kurma yang sudah mendapat permintaan ramai berdasarkan nutrisi didalamnya yang mengandungi banyak kalori dan karbohidrat baik untuk kesihatan.
Buah kurma merupakan bahan makanan yang dapat memberi banyak manfaat kesihatan kepada manusia. Ia mengandungi vitamin, mineral dan peratusan serat tidak larut dan larut air antara 10 hingga 20 peratus serta antioksidan yang dapat menjauhkan kita daripada pelbagai penyakit berbahaya.
Memandangkan khasiatnya yang cukup menakjubkan, buah kurma sepatutnya diambil pada setiap hari dan bukannya bermusim atau dimakan pada bulan puasa sewaktu bersahur dan berbuka puasa.
1. Peratusan serat tidak larut dan larut air antara 10 hingga 20 peratus ini sangat penting untuk tubuh manusia. Serat tidak larut air dapat membantu pergerakan najis dalam sistem penghadaman dan seterusnya menghalang seseorang daripada sembelit. Dengan mengamalkan makan buah kurma secara konsisten, ianya dapat membantu melegakan masalah makanan tidak hadam dan masalah pencernaan. Kajian mendapati, individu yang makan tujuh biji kurma setiap hari akan membuang air besar secara teratur.
2. Rasa manis buah kurma dengan kandungan fruktosa yang merupakan jenis gula semula jadi dalam buah kurma baik untuk tubuh. Kandungan gula itu serta serat yang tinggi dalam kurma sangat bermanfaat untuk mengawal gula dalam darah. Serat mencegah kadar gula dalam darah melonjak terlalu tinggi selepas makan.
3. Kurma juga mengandungi vitamin A yang mempunyai sifat antioksidan dan bagus untuk mata dan kulit. Disamping itu, ia juga diperlukan untuk mengekalkan mukosa dan kulit yang kekal sihat.
4. Buah ini juga kaya antioksidan yang dapat mencegah pelbagai penyakit kronik. Fungsi antioksidan melindungi sel-sel dalam tubuh daripada radikal bebas. Antioksidan yang terkandung dalam kurma dikenali sebagai flavonoid dan fenolik ini cukup baik untuk mengurangkan risiko diabetes dan kanser.
5. Kajian menunjukkan kurma dapat mengurangkan inflamasi pada otak serta mengurangkan risiko penyakit seperti alzheimer serta pembentukan plak pada otak. Ia juga membantu meningkatkan daya ingatan seseorang.
6. Kurma juga baik untuk penyakit jantung. Rendam beberapa biji kurma semalaman lalu ditumbuk dan dimakan pada keesokan paginya. Dengan cara ini, pasti akan dapat membantu menguatkan jantung. Kajian mendapati kurma juga kaya dengan sumber potassium, iaitu dapat membantu mengurangkan risiko serangan strok.
7. Menurut kajian, buah kurma bagus untuk wanita mengandung kerana ia akan memudahkan proses bersalin dan mengurangkan masalah pendarahan. Kurma juga mengandungi kalsium yang penting untuk pertumbuhan gigi dan tulang bayi dalam rahim serta mengandungi vitamin C, riboflavin, asid folik dan vitamin A termasuk 20 jenis asid amino. Kandungan asid amino prolina, asid aspartik, alanina, glisina, valina dan leusina adalah lebih tinggi berbanding asid amino yang lain. Di mana kesemua nutrien ini dapat membantu menyediakan nutrisi yang secukupnya bagi ibu mengandung dan bayi yang bakal dilahirkan.
8. Selain kismis, kurma juga sering dijadikan amalan pemakanan kerana ia mengandungi khasiat yang cukup untuk meningkatkan daya ingatan seseorang. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak di peringkat sekolah, kurma adalah snek yang paling baik dan patut diberikan kepada mereka untuk mengukuhkan daya ingatan.
9. Selain susu, buah kurma juga baik untuk menjaga kesihatan tulang. Buah kurma mengandungi mineral iaitu fostor, kalium, kalsium dan magnesium yang dapat mencegah penyakit tulang seperti osteoporosis. Buah kurma ini juga mempunyai magnesium yang tinggi dan dapat membantu pertumbuhan tulang.
10. Kurma mengandungi zat besi yang tinggi dan dapat membantu mereka yang mempunyai penyakit anemia iaitu kekurangan darah merah. Makan kurma setiap hari juga dikatakan dapat membantu mencegah penyakit anemia yang disebabkan kekurangan pengambilan zat besi dalam pemakanan.
Penulis, Nafsiah Jani adalah penyumbang tetap Lady Bosz. Beliau juga adalah juga bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia.