Photo by Karolina Grabowska: https://www.pexels.com/photo/woman-holding-her-nose-because-of-sinus-pain-5979735/

Oleh : Asmat Fikri

Selalu hidung tersumbat, berair dan gatal-gatal terutama bila makan sesuatu seperti belacan, udang kering, ikan bilis dan lain-lain. Asyik menggaru hidung dan bersin. Ingatkan selsema biasa hinggakan ada yang mengalaminya sehingga bertahun lamanya. Bila makin ketara sakit ini, pergi dapatkan rawatan, rupanya itu radang sinus atau resdung.

Biasanya resdung orang kaitkan pula dengan perubatan tradisional, namun sebenarnya ianya perlu kepada rawatan daripada pakar bertauliah. Menurut kamus dewan Bahasa dan Pustaka, resdung bermaksud penyakit hidung yang disebabkan oleh radang pada membran sinus.

Menurut Perunding Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) yang juga Pakar Bedah Kepala dan Leher Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Wong Hui Tong, seperti yang dikongsi menerusi akhbar Berita Harian berkata resdung penyakit yang biasa dan menjejaskan kira-kira 10 sehingga 15 peratus populasi di Malaysia.

Resdung yang sudah berada pada tahap kronik dan tidak dirawat, boleh menyebabkan jangkitan hingga ke mata dan otak. Jika penyakit itu sudah mengganggu bahagian mata, bimbang boleh menyebabkan mata merah, membengkak dan juga kabur. Jangkitan yang merebak ke bahagian otak pula jika tidak dirawat, boleh menyebabkan demam tinggi seterusnya sawan.

Image by benzoix on Freepik

Punca resdung

Resdung atau disebut juga allergic rhinitis, adalah tindak balas alahan terhadap alergen tertentu. Resdung terjadi apabila sistem imun badan menjadi terlalu sensitif dan bertindak balas secara berlebihan terhadap sesuatu melalui alam sekitar yang biasanya tidak menimbulkan sebarang masalah bagi kebanyakan orang.

Resdung ini boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu:

1) Bermusim: Gejala bagi resdung jenis ini boleh berlaku pada musim bunga, musim panas dan awal musim gugur. Ia biasanya disebabkan oleh sensitiviti alergi terhadap spora yang terbang di udara atau debunga dari rumput atau pokok yang berbunga.

2) Berpanjangan: Pesakit akan mengalami gejala sepanjang tahun. Ia biasanya disebabkan oleh hama debu, bulu daripada binatang peliharaan, lipas atau kulat. Alergi terhadap makanan jarang menyebabkan gejala yang berkaitan dengan hidung.

Sesetengah orang mungkin mengalami kedua-dua jenis resdung, dengan gejala-gejala bagi resdung bermusim semakin teruk semasa musim debunga yang spesifik. Terdapat juga punca-punca bukan alergi bagi resdung termasuklah minyak wangi, produk pencuci, bau lain yang kuat, asap rokok atau asap lain.

Resdung atau radang sinus ini boleh terjadi disebabkan beberapa faktor lain juga. Antaranya adalah disebabkan virus, bakteria dan kulat. Ia boleh terjadi juga disebabkan agen penyebab seperti alahan, iritasi kimia dan ketumbuhan dalam hidung (polyp).

Image by stefamerpik on Freepik

Gejala dan simptom resdung

Seperti penyakit lain, resdung juga mempunyai gejala atau simptom tertentu bagi mengenalpasti memang betul itu adalah resdung atau sekadar selesema biasa. Gejala-gejala bagi resdung termasuklah:

• Bersin
• Hidung berair
• Hidung tersumbat
• Hidung gatal
• Batuk
• Sakit atau gatal tekak
• Mata gatal
• Mata berair
• Lingkaran hitam di bawah mata
• Sakit kepala yang kerap
• Gejala-gejala jenis ekzema, seperti kulit yang sangat kering dan gatal yang boleh menyebabkan lepuh(blister)
• “Hives”
• Keletihan yang berlebihan
• Hilang deria rasa dan bau
• Batuk teruk pada waktu malam
• Jerawat pada muka
• Selsema berpanjangan
• Hidung berbau busuk

Biasanya akan mengalami satu atau lebih gejala-gejala ini serta- merta selepas berhadapan dengan alergen. Sesetengah gejala, seperti sakit kepala yang kerap dan keletihan, mungkin hanya berlaku selepas terdedah kepada alergen dalam jangka masa yang panjang. Namun, demam bukan gejala bagi resdung.

*Ikuti sambungan bahagian kedua untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penyakit resdung ini.

Previous articleManfaat dan khasiat lada hitam
Next articleZur Eda ‘bangkit’ kerana Rohana Jalil?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here