Oleh Nury Kadir
Sekarang ini, kita masih tercari-cari kunci bahagia. Alhamdulillah bagi yang sudah menemuinya. Namun yang belum ada jodoh bertemu bahagia, bersabar dan amalkan tip yang Dr. Aidh al-Qarani titipkan.
Menurut Dr. Aidh al-Qarani, kunci bahagia itu terletak pada satu perkataan. Warisan agama ada pada sebuah ungkapan. Dan, panji kemenangan terletak pada sebuah kalimat. Kata, ungkapan dan kalimat itu adalah La ilaha illallah Muhammad Rasulullah.
Kebahagiaan orang yang mengucapkannya di bumi adalah di saat kelak di langit akan diperkatakan kepadanya, “Engkau benar.”
Kebahagiaan orang yang mengamalkannya adalah jaminan bahawa dia akan selamat dari kehancuran, kehinaan, cacat dan api neraka. Allah berfirman dalam surah Az-Zumar ayat 61, maksudnya: “Dan, Allah menyelamatkan orang-orang yang bertakwa kerana kemenangan mereka.”
Kebahagiaan orang menyeru sesama manusia untuk sama-sama kembali kepada syahadat adalah jaminan akan ditolong, dibantu dan akan dikatakan terima kasih kepadanya. Begitulah janji Allah di dalam surah as-Saaffat ayat 173 yang maksudnya, “Dan, sesungguhnya tentera Kami itulah yang pasti menang.”
Kebahagiaan orang yang senang terhadap syahadat adalah jaminan akan diangkat, dimuliakan dan dihargai. Firman Allah, maksudnya: “Padahal, kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang Mukmin.” (surah al-Munafiqun:8)
Bilal ketika mengucapkan kalimat syahadat masih lagi menjadi hamba. Dia kemudian dimerdekakan. Kerana janji Allah itu benar, “Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya iman.” (surah al-Baqarah:257)
Sedangkan Abu Lahab sangat angkuh untuk mengucapkan kalimah tersebut, maka dia pun meninggal sebagai seorang manusia yang hina. Sebagaimana firman Allah, maksudnya: “Dan, barangsiapa dihinakan Allah maka tidak ada seorang pun yang mampu memuliakannya.” (surah al-Hajj:18)
Sebenarnya bahagia itu mudah, ia bergantung pada hati dan jika merasa tidak bahagia jangan dicari bahagia itu di hujung dunia. Carilah bahagia itu di dalam diri sendiri dan bahagia itu milik Allah maka kita kena meminta pada-Nya.
Lihatlah para sahabat Rasulullah SAW, di mana mereka meletakkan tanda aras kebahagiaan? Abu Bakar sangat bahagia dengan ayat, “Dan, kelak akan dijauhkan orang yang paling takwa dari neraka itu. Yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah) untuk membersihkannya.” (surah al-Lail:17-18)
Bagi Umar al- Khattab tidak satu pun yang lebih membahagiakannya kecuali apabila Rasulullah SAW bersabda, “Aku melihat istana di syurga yang diperbuat daripada batu putih, tiangnya bertatahkan permata putih dan dihiasi batu delima. Lalu aku bertanya “Untuk siapa istana ini?” Dikatakan kepadaku, “Untuk Umar al- Khattab.”
Manakala Uthman pula, bahagianya tidak terhingga saat didoakan oleh Rasulullah SAW, “Ya Allah, ampunilah Uthman apa yang telah lalu dan yang akan datang.”
Bahagia bagi Ali saat mendengar Baginda SAW menyebut,”Dia (Ali) adalah lelaki yang mencintai Allah dan Rasul-Nya dan dicintai Allah dan Rasul-Nya.”
Sa’ad ibn Mu’adz demikian bahagianya apabila mendengar Rasulullah SAW bersabda yang ditujukan khas untuknya. Baginda SAW bersabda, “Bergoyanglah Arsy yang Maha Pengasih kerananya.”
Bahagia itu mudah saja rupanya jika tidak meletakkan kayu ukurnya pada pemilikan dunia dan kemewahan. Rasulullah SAW ada meletakkan beberapa tanda kebahagiaan lewat hadis diriwayatkan oleh Nafi’ Bin Abdul Harith daripada Nabi SAW. Baginda bersabda, ” Antara (tanda) kebahagiaan seseorang ialah rumah yang luas, jiran yang soleh dan kenderaan tunggangan yang elok.” (Riwayat al-Bukhari di dalam al-Adab al-Mufrad)
Hadis tersebut telah disyarahkan di dalam www.muftiwp.gov.my., bahawa manusia akan terzahir padanya kebahagiaan jika ada salah satu perkara berikut. Iaitu rumah yang luas, jiran yang soleh dan kenderaan tunggangan yang elok. Bagaimana ketiga-tiga perkara ini menjadi tanda kebahagiaan bagi seseorang?.
1. Rumah yang luas
Rumah yang luas menenangkan hati dan menghilangkan kegelisahan. Cuba bayangkan jika rumah itu sempit. Tidakkah akan mendatangkan keresahan, perasaan tidak selesa dan lain-lain. Oleh itu Nabi saw pernah berdoa :
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لي ذَنْبِي، وَوَسِّعِ لي فِي داري، وَبارِكْ لي في رِزْقِي
Maksudnya : “Ya Allah, ampunkan dosaku, luaskan bagiku rumahku dan berkatilah aku di dalam rezekiku.” (Riwayat al-Tirmizi)
Kata al-Munawi ianya berbeza mengikut keadaan dan diri seseorang. Ada yang punyai rumah yang besar tapi terasa sempit. Ada yang rumahnya sederhana akan tetapi terasa luas dan besar. Ini berkemungkinan adanya amalan-amalan harian sehingga menjadikan rumah tersebut tenang diduduki dan selesa didiami.
2. Jiran yang soleh
Seseorang merasa aman dan selamat jika jiran sebelahnya seorang yang baik, amanah, patuh pada perintah Allah, yang tidak ada sifat hasad dengki dan lain-lain. al-Munawi di dalam Faidh al-Qadir ketika menjelaskan maksud jiran yang soleh, beliau menyatakan jiran yang tidak menyakiti orang lain.
Jiran yang baik tidak akan menyakiti orang lain, sama ada dengan percakapan dan perbuatannya. Dia akan selalu menasihati kita dengan nasihat-nasihat yang baik, memberi pandangan yang terbaik dan menegur kita jika berbuat kesalahan.
Lihat sahaja bagaimana hubungan Umar dengan jirannya. Jika Umar tidak dapat menghadiri majlis Nabi SAW, jirannya akan hadir dan mengkhabarkan kepada Umar tentang apa yang disampaikan pada hari tersebut. Begitu jugalah sebaliknya. Ini bermakna, hidup berjiran bermaksud saling memberikan manfaat antara satu lain. Ada satu kata-kata menyebut, “Pilihlah jiran dahulu sebelum memilih rumah”.Ibnu Hajar al-Asqalani dalam Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram menjelaskan bahawa jiran yang baik tidak akan menyakiti dan sentiasa mendoakan yang baik-baik untuk kita sebagai jirannya.
3. Kenderaan yang elok
Kenderaan yang elok juga adalah satu keringanan dan kemudahan bagi seseorang. Ia memudahkan seseorang untuk bergerak ke mana-mana sahaja. Dahulu, haiwan tunggangan yang elok adalah satu kenikmatan. Ianya dianggap sebagai sebuah kenderaan untuk memudahkan pergerakan. Menurut Al-Munawi kenderaan yang elok adalah tunggangan yang laju, selesa dan mudah dinaiki. Ia mempercepatkan masa untuk bertemu sahabat handai tanpa perlu ada kesusahan dan kepenatan.
Kata Imam al-Tahawi ,“Ia (kenderaan yang baik) menjauhkan hati dari kegelisahan. Kenderaan yang baik menjadikan penunggangnya sibuk dengan zikir kepada Allah ataupun sibuk dengan perkara lain disebabkan kenderaannya yang tidak elok yang mana ia menyakitkan orang yang menaikinya.”
Akhir sekali, dipetik beberapa amalan dari Dr.’Aidh al-Qarani untuk menjadi orang yang paling bahagia:
1. Sentiasa bersyukur -Alhamdulillah-sentiasa bersyukur kepada Allah atas nikmat agama, akal, kesihatan, ditutup aib, pendengaran, penglihatan, rezeki, keluarga dan banyak lagi nikmat lain. Kerana, ada manusia yang hilang akalnya, hilang nikmat sihat, tidak bebas dan terpenjara, dilumpuhkan atau ditimpa bencana.
2. Tawakal – Serahkan segala-galanya kepada Allah. Terimalah ketentuan-Nya dengan hati terbuka, berlindung hanya kepada Allah dan bergantunglah kepada-Nya. Lazimkan diri menyebut, Hasbunallah wa ni’mal wakil (Allah adalah sebaik-baik penjaga).
3. La hawla wala quwwata illa billahi – Bacalah berulang-ulang kerana ia akan membuatkan hati menjadi tenteram, memperbaiki keadaan, membuat yang berat menjadi ringan dan Allah yang Maha Berkuasa menjadi redha.
4. Istighfar – Dengan istighfar akan diberi rezeki, akan ada jalan keluar, keluarga, ada ilmu berguna, akan ada kemudahan dan dihapuskan dosa.
5. Melazimi doa Nabi Yunus– Doa itu memiliki rahsia yang sangat ajaib untuk melepaskan seseorang dari kesulitan.
لَّآ إِلَٰهَ إِلَّآ أَنتَ سُبْحَٰنَكَ إِنِّى كُنتُ مِنَ ٱلظَّٰلِمِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah daripada kalangan orang yang menganiaya diri sendiri.” (Surah Al-Anbiyaa: 87).
6. Bacalah selalu “Ya dzal jalali wal ikram” dan “Ya hayyu ya ayyum birahmatika astaghits” agar ditunjukkan jalan keluar, kegembiraan dan ketenangan.
7.Jika hati rasa tidak bahagia dan tidak tenang alunkan zikir yang selalu Rasulullah SAW ucapkan ketika menghadapi kesukaran.
اَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ الْعَظِيمُ الْحَلِيمُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَرَبُّ الأَرْضِ وَرَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ
(La Ilaha Illallahul ‘Azhimul Halim, La Ilaha Illallahu Rabbul ‘Arsyil ‘Azhim, La Ilaha Illallahu Rabbus Samawati wa Rabbul’ Ardhi wa Rabbul ‘Arsyil Karim.)
Maksudnya, “Tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah Yang Maha Agung lagi Lemah-Lembut, Tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah Tuhan Pemilik Arsy yang agung, Tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah Tuhan pemilik langit dan bumi, dan pemilik Arsy yang mulia.” (HR. Bukhari).
Menurut Ibnu Abbas, “Hadis ini agung. Zikir yang ada dalam hadis di atas harus diperhatikan dan diperbanyakkan mengucapkannya ketika dalam kesulitan, dan ketika menghadapi perkara-perkara yang besar.”
Ath-Thabari berkata, “Kaum salafush-shalih selalu berdoa dengan hal itu dan mereka menyebutnya doa ketika dalam kesulitan.”
Mencari bahagia itu tidak sukar jika kita tidak cerewet dengan apa yang ada. Biarkan perkara lalu pergi tidak kembali lagi, tidak perlu difikirkan lagi. Jangan dinanti hari esok, hiduplah hari ini untuk hari ini. Kerahkan seluruh tenaga untuk lakukan yang terbaik pada hari ini supaya esok yang datang pun baik-baik sahaja.
NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.