Hanya Kian Egan, Nicky Byrne dan Shane Filan yang akan mengadakan persembahan di Genting Highlands.

Oleh: Wawa Najwa

SETIAP kali menjayakan konsert di peringkat global, nama Malaysia tidak pernah tercicir daripada menjadi persinggahan kumpulan Westlife.

Untuk tahun ini, sekali lagi kumpulan yang berasal dari Ireland itu memilih Malaysia sebagai destinasi untuk mereka menghiburkan peminat tegar.

Jika pada tahun lepas konsert Westlife The Wild Dreams Tour Live in KL 2023 berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, tahun ini mereka akan berada di puncak Genting Highlands bagi menjayakan Westlife The Hits Tour 2024 di Arena of Stars, Resorts World Genting pada 9 Jun depan.

Westlife The Hits Tour 2024 anjuran MMIC Entertainment Group dengan JS Concert Productions sebagai promoter itu hanya akan berlangsung satu malam saja dan bukan dua malam seperti persembahan mereka sebelum ini.

Kumpulan Westlife terkenal dengan lagu-lagu yang tak jemu didengar, segera dapatkan tiket untuk menonton persembahan mereka.

Bagaimanapun persembahan Westlife kali ini tidak lengkap sepenuhnya kerana yang akan hadir hanyalah Kian Egan, Nicky Byrne dan Shane Filan, manakala Mark Feehily tidak dapat hadir atas faktor kesihatan.

Meskipun begitu, peminat Westlife tetap akan terhibur kerana kumpulan yang ditubuhkan pada 1998 disukai ramai kerana lagu-lagu dendangan mereka yang malar segar itu.

Antara lagu dendangan Westlife yang menjadi siulan ramai dan masih diminati hingga kini seperti “Uptown Girl”, “My Love”, “Swear It Again”, “Flying Without Wings”, “World of Our Own”, “Hello My Love” dan banyak lagi.

Dek populariti lagu dendangan mereka itulah Westlife berjaya menjual lebih 55 juta unit album, memperoleh 36 album No. 1, mengumpul lebih daripada 3 bilion aliran global, melepasi 1 bilion tontonan YouTube dan menjual lebih 5.5 juta tiket konsert di seluruh dunia.

Westlife telah menerima pelbagai anugerah termasuk satu World Music Award, dua Brit Awards, empat MTV Awards dan empat Record of the Year Awards.

Tiket ke Westlife The Hits Tour 2024 berharga RM1,188 (VIP), RM988 (PS1), RM788 (PS2), RM588 (PS3) dan RM388 (PS4), tertakluk kepada yuran pemprosesan RM4. Tiket boleh dibeli atas talian menerusi MMIC Entertainment Group di mmic.bigtix.io, Resorts World Genting di rwgenting.com dan BookMyShow di my.bookmyshow.com

Previous articleTanda-tanda suci daripada haid (Bahagian 1)
Next articleKSIA latih mereka yang berminat menjadi pempengaruh berhemah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here