Lagu 'Lelah' dendangan Aqeesh Aleeya merupakan runut bunyi untuk drama 'Rindu Kasih 2'.

Oleh: Wawa Najwa

MESKIPUN ‘Rindu Kasih 2’ sudah berakhir, namun peminat setia drama arahan Pali Yahya itu masih tidak boleh lupa dengan runut bunyi drama tersebut yang berjudul ‘Lelah’, dendangan Aqeesh Aleeya.

Drama bersiri 20-episod itu merupakan kesinambungan drama rantaian ‘Rindu Kasih’ menampilkan bintang-bintang utama, Ummi Nazeera, Izzue Islam dan Fazlina Ahmad Daud.

‘Lelah’ dendangan Aqeesh yang bergenre balada dengan gabungan muzik moden dan klasikal itu merupakan ciptaan sepenuhnya oleh komposer Sharon Paul dan Mim Hamzah.

Aqeesh Aleeya senang bekerjasama dengan Sharon Paul.

Malah ‘Lelah’ juga merupakan single keempat dendangan Aqeesh selepas single pertama, ‘Aku Malu’, diikuti lagu ‘Kau Ada’ dan ‘Retak’.

“Harapan saya untuk lagu ‘Lela’h adalah semoga lagu ini dapat diterima oleh semua orang dengan hati terbuka dan dapat faham perasaan yang saya cuba sampaikan melalui lagu ini. Selain itu, saya berharap pendengar dapat juga mengaitkan perasaan dan emosi mereka menerusi lagu ini.

“Lagu ini mengisahkan tentang perasaan seseorang perempuan yang sudah penat ataupun lelah dengan hubungan bersama pasangannya yang selalu menyakitinya dan menghancurkan hubungan ini.

“Bagi saya, semua single yang pernah dihasilkan mempunyai kelebihan tersendiri dan untuk lagu ‘Lelah’ ini kelainannya adalah ia diselitkan sikit gabungan muzik moden dan klasikal,” kata Aqeesh yang nama penuhnya, Nur Balqis Aleeya Shahrom.

Aqeesh, 20, mula membabitkan diri dalam industri hiburan tanah air sejak berusia 9 tahun lagi ketika menyertai pertandingan ‘Bintang Kecil 2013’ dan selepas itu, pertandingan ‘Bintang Kecil 2014’ di mana dia dinobatkan sebagai naib juara.

Membabitkan diri dalam industri hiburan sejak usia 9 tahun.

Pada tahun 2017, Aqeesh menjuarai pertandingan bakat dalam talian ‘Bakat Ohsem Malaysia’ (BOM) 2017 anjuran hurr.tv ketika berusia 13 tahun.

Berkongsi pengalamannya bekerjasama dengan komposer Sharon Paul adalah pengalaman yang cukup berharga.

“Antara pengalaman berharga merakamkan single ini adalah saya dapat bekerjasama dengan komposer terkenal Sharon Paul yang banyak memberikan ilmu baharu ketika merakamkan lagu ini. Ini kali kedua saya bekerjasama dengan Sharon. Dia sangat baik dan senang bekerjasama dengannya.

“Cabarannya ialah sehari sebelum rakaman lagu ini saya mengalami demam dan selesema. Selain itu, saya perlu bergegas selepas kuliah dari kampus di Negeri Sembilan ke studio rakaman di Kuala Lumpur,” katanya.

Single ‘Lelah’ nyanyian Aqeesh Aleeya yang diterbitkan Nova Music boleh distrim di semua pelantar penstriman muzik. Video muzik rasmi Lelah juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos di pautan ini https://youtu.be/Sx7EWMNJJio?si=Npub9vWPaemkaSjw

Previous articleKSIA latih mereka yang berminat menjadi pempengaruh berhemah
Next articleManfaat dan khasiat lada hitam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here