Zur Eda...Penyanyi yang mempunyai suara yang tersendiri.

Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Zur Eda/Koleksi Syed Wafa

Zur Eda antara penyanyi era 80-an yang kekal bertahan sampai ke hari ini. Zur Eda, 59, pernah mendapat gelaran ‘Sade Malaysia’ kerana wajahnya dikatakan seiras penyanyi R & B dan soul dari England, Sade Adu. Malah persembahan dan gaya muzik serta suara serak-serak basahnya juga dikatakan mempunyai persamaan dengan penyanyi tersebut.

Sepanjang tiga dekad berkecimpung dalam bidang nyanyian, Zur Eda atau nama sebenar Zuraidah Mokhtar ini cukup popular dengan rangkaian lagu hitnya seperti Kelmarin, Pelitaku dan Lama Tak Jumpa yang popular hingga hari ini.

Kemunculan album pertama Zur Eda…Pelitaku 1987 dan dikenali sebagai Sade Malaysia
Album kedua Zur Eda dengan lagu popularnya Lama Tak Jumpa.

Mungkin ramai yang tidak perasan bahawa penyanyi Zur Eda pernah hampir-hampir `menarik diri’ daripada industri seni berikutan kecewa dengan industri. Namun atas dasar nasihat rakan seperjuangan Rohana Jalil, Zur Eda kembali bankit untuk mewarnai industri dunia hiburan.

“Perjalanan seni saya sungguh mencabar. Saya juga kehilangan sahabat seperti Rohana Jalil yang lebih daripada seorang sahabat… dah macam kakak yang banyak ajar saya tentang dunia nyanyian, penampilan serta banyak memberi semangat untuk saya terus kekal relevan dalam industri. Itulah antara jasa-jasa Rohana pada saya.

Antara kenangan indah Zur Eda bersama sahabat baik Allahyarham Rohana Jalil (tudung biru) dan rakan artis

“Kehilangan Rohana meninggalkan satu impak besar bagi saya kerana dialah tempat untuk saya berbicara, meluahkan rasa hati dan mengadu nasib. Rohana banyak menenangkan …seorang kakak yang tegas tapi dalam tegasnya dia mengajar kita. Saya bangkit dalam bidang seni ini…setelah sekian lama menghilang pun atas nasihat Rohana juga,’’ katanya yang turut merasai kehilangan rakan seperjuangan penyanyi dan pelakon Jaafar Onn.

Rohana Jalil adalah sahabat sejati
Terlalu banyak kenangan Zur Eda bersama sahabatnya Rohana Jalil

Zur Eda menambah tahun 2024 merupakan tahun yang amat bermakna buat dirinya kerana mendapat hadiah yang tak pernah dijangka seumur hidupnya.

“Raya tahun ini saya dapat panggilan dari Yayasan Nurjiwa (milik Datuk Khalid Mohamad Jiwa dan Datuk Siti Nurhaliza) yang ingin menaja saya bersama Razak Ahmad, Rosnah Johari dan Imuda untuk menunaikan umrah pada 27 April hingga 6 Mei lalu. Masa dapat panggilan itu, sujud syukur saya kepada Allah kerana dapat `jemputan’ Allah.

Zur Eda bersama Siti Nurhaliza menerusi Yayasan Nurjiwa yang menaja pemergiannya menunaikan umrah di Mekah.

“Ini merupakan umrah pertama saya dan saya tak pernah menyangka dapat juga menjejakkan kaki ke sana. Jemputan yang tak boleh ditolak dan saya bersyukur dalam keadaan baru nak bangkit semula serta dengan keadaan kewangan yang tidak mencukupi, ada banyak masalah, bagaimana saya nak ke sana. Ialah warga seni…pendapatan berapalah sangat.

“Saya baru saja balik beberapa hari yang lalu. Ketika berada di sana keterujaannya tidak boleh nak digambarkan dengan kata-kata dan saya dapat melakukan tiga kali umrah. Saya bersyukur dengan mudahnya dapat memasuki dan berdoa dalam Raudah serta melakukan sholat sunat di tiang Siti Aishah kerana mengikut kata Datuk Siti carilah tiang Siti Aishah dan sholatlah disana kerana mustajab doanya,’’ katanya yang membuat sholat sunat, sholat hajat dan sholat taubat dan sholat di perkarangan makam Rasullullah SAW.

Zur Eda bergambar kenangan bersama rakan artis (dari kiri) Imuda, Rosnah Johari, Siti Nurhaliza dan Razak Ahmad serta mutawif mereka di Tanah suci.

Menurut Zur Eda sepanjang berada di sana dia telah melakukan yang terbaik serta menyampaikan salam dan doa kiriman suami, anak-anak, adik-beradik, keluarga dan kawan-kawan.

“Rasa tenang sangat kerana dapat `bercakap dengan Allah’ dan syukur sangat kerana mutawif daripada JayIbrahim Al IslamTravel and Tours Sdn. Bhd. banyak membantu. Saya banyak doakan kesejahteraan suami, anak-anak, kawan-kawan yang mengenali saya dan juga agar negara kita, Malaysia terus makmur dan semuanya dapat hidup dalam harmoni.

Zue Eda tenang di Mekah

“Saya juga bersyukur kerana diberi kesihatan yang baik sekembalinya dari Mekah. Ialah, selalunya orang yang balik umrah, batuk berpanjangan kerana pertukaran cuaca…tapi saya Alhamdulillah, Allah bagi saya rezeki kesihatan yang baik…suara pun okay dan lenguh-lenguh kaki tu biasalah.

“Balik saja dan setelah berehat seketika saya bergegas buat show kerana tawaran tiga show ini saya dah setuju sebelum dapat tawaran buat umrah. Ini kerjaya saya, kenalah saya laksanakan kerja. Waktu di sana saya berharap dan memohon pada Allah agar menjemput, dijemput dan jemput saya lagi ke sana termasuk suami dan keluarga untuk buat umrah dan haji pula selepas ini,’’ ujar Zur Eda lagi.

Zur Eda sempat bergambar kenangan di Tanah Suci

Ditanya tentang lagu baharu, kata Zur Eda lagi, dia belum menemui lagu-lagu yang betul-betul sesuai dengan jiwanya.

“Bukan tak ada komposer yang menawarkan lagu baru tapi saya agak cerewet tentang pemilihan lagu. Kalau boleh biarlah lagu yang relevan dengan usia dan cita rasa saya. Saya lebih suka muzik yang rancak dan bertenaga seperti muzik latin atau bosanova.

Selepas Gegar Vaganza 3 (GV3), Zur Eda muncul dengan single terbarunya berjudul Kau Permataku bagi mengubat kerinduan peminat. Kali terakhir Zur Eda menghasilkan single ialah Kau Pelitaku yang diberi nafas baru pada 2006.

Sepanjang hidupnya, anak kelahiran Melaka ini, Zur Eda pernah diuji pada awal Julai 2015, di mana Zur Eda koma selama empat hari kerana jangkitan pada buah pinggangnya bengkak dan bernanah kerana terdapat batu karang di dalamnya.

Zur Eda berdoa minta dijemput untuk ke Tanah Suci lagi

Manakala pada November 2023, pula suaminya sakit dan terpaksa dimasukkan kedalam ICU selama empat hari dan duduk 10 hari lagi kerana masalah jantung.

“Saya percaya Allah uji umatnya sebab Allah sayang…nak cuci dosa-dosa mereka dan nak angkat darjat mereka. Bila dilanda musibah begitu, sebagai umatnya kita hanya perlu bersabar dan berdoa dan bersujud pada Allah,” kata Zur Eda lagi.

Gaya seorang penghibur berkarisma

Hasil perkahwinan dibina pada 14 Ogos 1985, Zur Eda dan suaminya, Zulkifli Mohamed Yusoff, 62, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata, Siti Sarah, 35, dan Mohd Naqib, 28 serta tiga orang cucu, Siti Aisyah, 7, Mohd Fateh, 5, dan Mohd Umar 1 tahun 6 bulan.

Sepanjang pembabitannya dalam bidang seni, Zur Eda pernah menghasilkan tiga buah album iaitu Pelitaku (1987), Lama Tak Jumpa (1990) dan Kelmarin (1992).

Pasangan dua sejoli…Zur Eda dan suami tercinta, Zulkifli.

Zur Eda Kitchen

Zur Eda bersyukur kerana dalam usianya begini masih banyak tawaran untuk mengadakan show yang diterimanya. Dalam kesibukan memenuhi undangan menyanyi, Zur Eda masih meneruskan perniagaan jualan makanannya di Busk n Food, 6, Jalan USJ 25/1A, One City, Subang Jaya, Selangor

“Sebelum covid lagi saya dah mula meniaga. Buka gerai kecil-kecilan Zur Eda Kitchen dengan meniaga mee curry nyonya dan ayam kalio bersama nasi impit. Ini merupakan menu signature saya sejak dulu hingga sekarang ini. Kadang saya pelbagaikan menu antaranya ada menu nasi ayam, nasi daging utara, soto jawa dan lain-lain lagi.

“Saya memang suka memasak dan sebagai anak seni, bila waktu Covid memang saya `terasa’ kerana tidak mempunyai income dengan show yang tak ada dan juga bisnes yang tidak boleh dijalankan.

Keluarga besar Zur Eda bersama suami, anak- anak dan menantu serta tiga cucunya.

“Syukurlah melalui teknologi terkini dan bantuan media sosial dapatlah saya mempromosikan menu yang saya jual waktu Covid dan adalah pendapatan untuk bayar-bayar hutang. Kalau ada yang berminat nak rasa air tangan saya atau buat tempahan katering, boleh hubungi atau DM saya di Ig,’’ kata Zur Eda yang mengeluarkan Zur Eda Pes Nyonya Kari Mee

Bagi penjagaan kesihatan pula, Zur Eda akui apabila usia makin meningkat sudah pasti pengambilan makanan diutamakan. Dia memang menjaga pemakanan harian dan memastikan bersenam untuk menjaga stamina.

“Saya ini seorang yang bersederhana dalam pelbagai perkara termasuklah tentang pemakanan. Dah berumur ini saya kenalah jaga kesihatan, banyakkan minum air kosong, kurangkan pengambilan gula, garam dan banyakkan makan ulam-ulaman serta bersenam.”

 

Previous articleIngat selsema biasa rupanya radang sinus (resdung)! (Bahagian 1)
Next articleRusdi Ramli fokus kerjaya, enggan cerita hal peribadi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here