Adira menyanyikan lagu 'Kasih' untuk filem 'Memoir Seorang Guru'.

Oleh: Wawa Najwa

RAMAI yang menitis air mata tatkala menonton filem Memoir Seorang Guru, lakonan Datuk Rosyam Nor, sewaktu previu di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) baru-baru ini.

Memoir Seorang Guru yang diadaptasi daripada karya novelis terkenal, Allahyarham Azizi Abdullah diterbitkan oleh Kalam Ariff Holdings Sdn Bhd (KAHSB) dengan kerjasama Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).

Hingga kini kira-kira sudah 10 buah lagu dendangan Adira yang dijadikan runut bunyi filem dan drama.

Filem arahan Kyoll Hamzah yang turut menampilkan Nabila Huda, Johan Asa’ri, Ellie Suriaty, Zul Huzaimy dan ramai lagi itu bakal menemui penonton di pawagam pada 30 Mei ini.

Mengisahkan mengenai seorang guru, Cikgu Sunan (Datuk Rosyam Nor) yang menentang keras anak perempuannya, Kamariah (Nabila Huda) meneruskan citacitanya untuk menjadi guru kerana tidak mahu perkara yang membelenggunya sehingga bersara terjadi kepada anak kesayangannya.

Adira mendapat jolokan ‘Ratu Soundtrack’ .

Selain jalan ceritanya yang menarik, filem ini juga menampilkan runut bunyi (OST) yang hebat didendangkan oleh Adira Suhaimi yang berjudul ‘Kasih’.

Selepas lebih sedekad dalam industri muzik, Adira sudah merakamkan lebih 10 lagu runut bunyi hingga diberikan jolokan ‘Ratu Soundtrack’.

Naib juara program realiti Akademi Fantasia musim kelapan itu tidak kisah dengan jolokan ‘Ratu Soundtrack’ jika itu dapat membantunya untuk terus relevan dalam era muzik semasa.

Lagu runut bunyi bagi filem ‘Memoir Seorang Guru’ yang diterbitkan oleh Nova Music itu adalah ciptaan Ayden Ali, Adeef Den, Iqie Hugh serta lirik oleh Datuk Arisz Abd Rahman.

Syukur dapat bekerjasama dengan komposer hebat untuk lagu ‘Kasih’.

Adira berkata, dia bernasib baik dapat bekerjasama dengan barisan komposer hebat itu selain bangga diberi penghormatan sekali lagi untuk menyanyikan lagu runut bunyi buat filem terbaharu.

“Sebagai penyanyi, saya okey saja menyanyikan sebarang lagu asal sesuai melodi dan liriknya dengan suara saya. Saya tidak terlalu memilih kerana kebanyakan karya lagu diterima itu memang sedap didengar.

“Kepercayaan diberi oleh komposer dan penulis lirik kepada saya untuk merakamkan sesebuah lagu tidak akan saya ambil mudah. Oleh itu, saya akan pastikan beri komitmen penuh pada tanggungjawab yang diberi.

Filem kisah seorang guru ini bakal temui penonton di pawagam pada 30 Mei ini.

“Saya hanya mampu mengucapkan berbanyak terima kasih di atas segala peluang yang diberi. Bagi saya, menjadi tanggungjawab saya untuk melakukan yang terbaik dalam kerja rakaman sesebuah lagu,” katanya.

Adira menyifatkan dirinya bertuah apabila lagu runut bunyi yang dirakamkan kerap diputarkan baik di panggung wayang, kaca televisyen atau radio. Ini sekali gus, dapat mempopularkan lagu yang dinyanyikan.

“Ia umpama promosi secara percuma apabila lagu yang dirakam dijadikan runut bunyi sesebuah filem atau drama rantaian. Jika mahu mengeluarkan bajet untuk mempromosikan lagu di kaca televisyen memerlukan kos yang tinggi. Jadi bila sesebuah lagu kerap dimainkan di dalam filem atau drama rantaian mudah bagi lagu itu melekat di jiwa penonton,” katanya.

Video muzik lagu ‘Kasih’ boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos di pautan ini https://youtu.be/p86rNp0NWNM.

Previous articleSetelah 5 Dekad, Blues Gang Muncul Konsert Solo!
Next articlePakej Super Jimat Umrah serendah RM4970

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here