Oleh : Nafsiah Jani
Sewaktu kemunculannya pelakon Raja Azrey banyak membintangi drama terbitan produser tempatan. Namun minatnya lama-kelamaan beralih untuk aktif dibelakang tabir berbanding sebelumnya.
Ini berikutan banyak drama iklan pendek arahannya yang semakin mendapat tempat di hati founder -founder produk kecantikan dan peminat.
“Dulu orang kenal saya sebagai pelakon. Biarpun banyak karya sudah saya keluarkan, tak sangka baru-baru ini, iklan raya saya bertajuk Egois kisah seorang ayah dan anak ini memberikan impak yang sangat baik sepanjang penglibatan saya sebagai pengarah.
Secara tidak langsung perkara tersebut telah membakar semangat saya untuk terus berkarya dan bergiat aktif di belakang tabir.
“Orang lebih kenal saya sebagai pelakon, biarpun dah banyak karya yang saya arahkan terutama iklan raya seperti Egois ini. Tak sangka pula karya saya kali ini menjadi viral dan menarik minat orang nak menonton.
“Secara jujur, saya sangat terkejut dan tidak percaya bila melihat sambutan daripada netizen. Baru sahaja di Youtube, tontonan sudah mencecah ratusan ribu. Alhamdulillah. Mana tidaknya sehari tontonan mencecah 100k penonton,” katanya yang turut berbangga kerana iklan pendek ini turut mendapat komen dan dilakonkan semula di Indonesia.
Ujar Raja Azrey lagi, iklan raya berdurasi 21 minit itu diterbitkan khas untuk Arora Skincare. Artis-artis yang berlakon di dalam iklan tersebut juga merupakan nama-nama besar dalam industri misalnya, Nasir Bilal Khan, Fauzi Nawawi, Puspa Gomen dan Danish Hazriq.
Ini kali kedua iklan pendek raya Arora Skincare yang saya buat. Tahun lepas ceritanya berkisar mengenai kemanusiaan dan ceritanya kurang mendapat sambutan. Setelah saya kaji, saya lihat netizen sukakan cerita yang sedih-sedih dan trending
Selain Egois, Raja Azrey turut mengarahkan dua lagi iklan raya terbitan Kinohimitsu dan butik pakaian Msberipink Closet.
Raya Azrey menambah, dia seronok dan bersyukur dapat bekerja di belakang tabir setelah melihat banyak komen yang positif mengenai drama iklan pendek arahannya.
“Penonton faham mesej yang saya mahu sampaikan. Sedikit sebanyak ini dapat buka peluang saya untuk terus berkarya dan selepas ini jika ada peluang mengarah drama mainstream pula kerana iu adalah impian saya sejak dulu lagi. Tapi apa boleh buat masih tak ada rezeki dan peluang lagi.
“Selama ini saya banyak mengarah dan menulis skrip untuk penerbitan di media sosial saja. Seronok buat kat media sosial sebab kalau tak sempat menonton mereka boleh melihatnya semula berbanding televisyen, cerita itu akan mengambil masa yang lama untuk ditayangkan kembali.
“Bukan saya tak minat nak muncul di kaca televisyen sebab saya jarang diberi peluang dan tak ada peluang lagi sama ada untuk berlakon mahupun mengarah. Harapnya lepas ini bila bakat saya terserlah adalah peluang untuk saya muncul berlakon dan mengarah kembali untuk mainstream pula,’’katanya yang telah mula berjinak jinak dengan dunia pengarahan sejak 2009.
Raja Azrey juga baru selesai menjalani penggambaran drama iklan pendek “Kakak” AQ Health dan Pertubuhan Pembangunan Tenaga Mahir Nasional dan iklan Kinohimitsu.
Dalam kesibukan berkarya, Raya Azrey juga sibuk dengan Akademi Raja Azrey yang berpusat di Cheras bagi menyediakan pelapis-pelapis dunia lakonan.
“Hari pertama mereka yang ikuti bengkel saya akan belajar teori di dalam kelas. Hari kedua dan ketiga mereka akan terus buat praktikal masuk set dan didedahkan dengan dunia lakonan secara langsung dengan penggambaran Ketupat Terbang.
“Sebagai pengajar saya gembira sebab dapat melahirkan ramai bakat-bakat baru. Setakat ini ada lapan orang anak didik saya yang dah bergelar pelakon.Tiada apa yang membanggakan saya selain dapat melahirkan bakat-bakat baru dan pelapis untuk industri drama tanah air.”
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.