Oleh: Wawa Najwa
RATU Rock Negara, Ella belum puas menghibur peminatnya. Selepas siri jelajah konsert ‘Jilid Akhir: Ella Puteri Kota’ berakhir, penyanyi itu bakal mengadakan sebuah konsert yang lebih istimewa.
Bersama penganjur Hitman Solutions dan RockQueen, Ella akan beraksi lagi untuk ‘Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia’ di Plenary Hall, KLCC pada 9 Ogos ini.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal berkata, bekerjasama dengan Ella dan pasukan RockQueen adalah satu pengalaman yang amat mengagumkan.
“Selepas menganjurkan empat buah konsert ‘Jilid Akhir: Ella Puteri Kota’ tahun lepas, kami masih menerima permintaan yang tinggi dari peminat-peminat Ella untuk menyaksikan Ella beraksi sekali lagi di atas pentas.
“Oleh itu, sebagai tanda penghargaan kami mengambil keputusan untuk berkolaborasi sekali lagi demi mencipta satu lagi konsert yang istimewa buat peminat setia Ella.
“Untuk satu malam sahaja, Ratu Rock Malaysia akan mempersembahkan gabungan yang unik dan getaran rockernya dengan elemen band dan orkestra. Kami tidak sabar untuk berkongsi konsert ini dengan anda semua,” katanya.
Sementara itu Ella atau nama sebenarnya, Nor Zila Aminuddin memberitahu, kali terakhir dia mengadakan konsert dalam genre orkestra adalah pada tahun 2017.
“Saya gabungkan dua perkara yang saya sayangkan, sebuah persembahan yang lebih intim dan meluangkan masa bersama peminat-peminat tersayang. ‘Jilid Rockestra Ella’ kali ini adalah peluang untuk saya terokai gabungan muzik dari album-album saya yang dipersembahkan dalam bentuk yang cukup istimewa iaitu orkestra,” katanya.
Jelas Ella lagi, perbezaan konsert yang diadakan sebelum ini dengan ‘Jilid Rockestra Ella’ adalah gabungan antara genre rock dengan 15 orang pemain muzik orkestra profesional.
“Konsert sebelum ini menceritakan tentang perjalanan seni dan kisah 35 tahun kerjaya saya, yang merupakan representasi lengkap diskografi saya sebagai penyanyi rock.
“Selain gabungan rock dan orkestra, konsert kali ini memberi kami peluang mempersembahkan kreativiti kami dalam berkarya dengan penambahan lagu-lagu hits yang belum sempat dimainkan, dan masih di bawah pimpinan pengarah muzik iaitu Dato’ Hashridz Murshim Hassim (Dato’ Acis),” katanya.
Sebagai seorang anak seni yang prihatin, Ella masih mengekalkan solidaritinya terhadap Palestin dan akan terus bersuara demi manusiawi sepanjang berlangsungnya konsert nanti.
“Konsep konsert masih lagi dalam perbincangan namun secara keseluruhannya adalah rapi, dari segi elemen muzik, set pentas, fesyen ‘glam rock’ dan semuanya akan kami ambil kira, namun secara keseluruhannya boleh saya rangkumkan dalam satu ayat, ‘rockchic rockestra’.
“Saya jangkakan durasi konsert akan berlangsung sekitar dua jam 30 minit dengan 25 buah lagu yang bakal dipersembahkan, tidak termasuk dengan rangkain lagu-lagu medley yang telah kami gubah demi memenuhi permintaan perminat.
“Apa yang pasti, ketika konsert nanti pasti ada kejutan dengan artis jemputan yang istimewa. Selain artis jemputan, akan ada segmen khas dimana saya akan mendendangkan beberapa buah lagu asli diiringi tarian buat penonton yang hadir.
“Saya tidak mahu kongsi selebihnya kerana malam tersebut bakal menjadi spektakular, harapan saya semoga konsert ini bakal menjadi kenangan indah buat semua yang hadir, dengarkan muzik saya dengan sajian audio visual dan pengalaman luar biasa untuk dikenang,” cerita Ella tentang perjalanan konsertnya kelak.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.