Oleh : Nafsiah Jani
Dalam kesibukannya mempromosikan single terbarunya, Sangkar Derita, Haqiem Rusli masih berkesempatan memenuhi undangan bagi menjayakan Majlis Konvokesyen Pertanian Kali Ke-12 Tahun 2024 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) 6 Jun ini.
Haqiem Rusli bakal menyanyikan tiga buah lagu popularnya, Jatuh Bangun, Mimpi dan Sangkar Derita yang kini tontonan di youtubenya telah mencecah lebih 8 juta tontonan.
Majlis anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan menyaksikan sejumlah 982 orang graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian bagi tahun 2023 bakal menerima anugerah.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Latihan Pertanian (BPKLP), Hizatul Haliza Hashim berkata, “Kesemua graduan adalah terdiri daripada 96 orang graduan Diploma Kemahiran Malaysia, 482 orang graduan Sijil Kemahiran Malaysia, 337 orang graduan Sijil Pertanian, 43 orang graduan Sijil Veterinar Malaysia dan 24 orang graduan Sijil Perikanan yang telah berjaya menamatkan pengajian tahun 2023.
“Pada hari ini juga, kami turut meraikan tujuh penerima Anugerah Khas Bagi Tahun 2023 iaitu Anugerah Khas Pengarah Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Latihan Pertanian, Anugerah Khas Ketua Pengarah Perikanan, Anugerah Khas Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar.
Anugerah Khas Ketua Pengarah Pertanian, Anugerah Khas Usahawan Agrobank, Anugerah Khas Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Anugerah Khas Pingat Emas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
“Kami juga berbangga kerana majlis akan dirasmikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu,” katanya yang berbangga kerana Haqiem Rusli dapat sama-sama memeriahkan majlis tersebut.
Selain Haqiem Rusli, majlis turut diserikan dengan persembahan band dari ASWARA, gamelan dan persembahan koir Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
Penulis, Nafsiah Jani adalah penyumbang tetap Lady Bosz. Beliau juga adalah juga bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia.