Doktorinternet, CC BY-SA 4.0 , via Wikimedia Commons

Oleh : Asmat Fikri

Sistemik lupus eritematosus (SLE) atau lupus, adalah penyakit kronik “autoimmune” di mana antibodi seseorang bertindakbalas dengan tisu badan seseorang pesakit itu sendiri. Ini akan menjejaskan beberapa bahagian sistem tubuh seperti kulit, sendi, buah pinggang, paru-paru, sistem saraf, atau organ-organ lain di dalam badan.

“Lupus” berasal dari perkataan Latin bererti “serigala”. (Ini adalah kerana seorang doktor Perancis yang mula-mula merawat pesakit lupus mengibaratkan tompok-tompok kemerahan di muka pesakit sebagai gigitan serigala.)

Wanita berisiko 10 kali ganda SLE

Tahukah kita, bahawa kaum wanita berisiko lebih tinggi, iaitu 10 kali ganda mengidap SLE berbanding dengan kaum lelaki? Ya betul. Mengikut seperti yang dikongsi Persatuan SLE Malaysia, dianggarkan lebih kurang 90 peratus mereka yang mendapat SLE adalah kaum wanita, sementara 10 peratus yang lain merupakan kaum lelaki dan kanak-kanak. Bagi kaum wanita, SLE biasanya bermula semasa lingkungan umur boleh melahirkan anak, jarang sekali semasa kanak-kanak atau setelah putus haid.

Adalah dianggarkan di Amerika Syarikat seorang dalam 2,000 mengidap SLE. Di Jamaica pula dianggarkan seorang dalam 250 orang mengidap SLE. Setakat ini, Malaysia tidak mempunyai sebarang statistik untuk pengidap SLE. Ini disebabkan SLE mempunyai pelbagai gejala dan melibatkan pelbagai disiplin, akibatnya penyakit ini amat sukar untuk dikesan.

Statistik di Amerika Syarikat juga menunjukkan wanita Amerika berkulit hitam berisiko lebih tiga kali ganda untuk mendapat SLE berbanding wanita Amerika yang berkulit putih. Ia juga dikatakan lebih kerap berlaku di kalangan wanita berketurunan Hispanik (Latin Amerika), Asia dan penduduk asli Amerika.

Walaupun SLE boleh melibatkan beberapa orang dalam sebuah keluarga, risiko ahli-ahli keluarga, seperti anak dan adik beradik lelaki atau perempuan, untuk mengidap SLE adalah sangat rendah.

Jenis-jenis SLE

Terdapat beberapa jenis penyakit SLE atau lupus yang berisiko pada wanita. Berikut adalah jenis penyakit lupus:-

– Sistemik lupus eritematosus (SLE) ialah yang biasanya dimaksudkan apabila kita sebutkan “lupus”. Gejalanya mungkin sederhana atau serius. SLE biasanya menyerang mereka yang berumur di antara 15 dan 45 tahun. Walaubagaimanapun, sebilangan kecil pengidap SLE adalah kanak-kanak dan mereka yang berusia lebih 45 tahun.

– Diskoid lupus eritematosus (DLE) merupakan penyakit kulit yang kronik di mana terdapat tompok-tompok merah (malar rash) di muka, kulit kepala, bahagian badan, kaki dan tangan. Kulit yang terlibat akan menjadi tebal dan bersisik serta mungkin meninggalkan parut. Ruam berkenaan boleh berlarutan hingga beberapa hari atau tahun dan kemungkinan akan berulang setelah sembuh. Sebilangan kecil mereka yang mengidap DLE boleh mendapat SLE di kemudian hari.

– Lupus Neonatal ialah keadaan yang boleh berlaku pada bayi yang baru dilahirkan oleh pengidap SLE. Ini mungkin disebabkan auto-antibodi di dalam darah ibu yang dipanggil anti-Ro (SSA) dan anti-La (SSB). Akibatnya, bayi ini akan mendapat radang kulit, masalah hati, dan masalah darah (low blood counts). Gejala ini akan hilang sedikit demi sedikit dalam masa beberapa bulan. Walaupun kes-kes begini jarang sekali dijumpai, namun bagi bayi yang lahir dengan masalah neonatal lupus mungkin juga mengalami masalah jantung yang mengganggu perjalanan jantung.

Pengambilan sesetengah ubat boleh menyebabkan kesan sampingan yang menyerupai ciri-ciri seakan SLE. Keadaan ini di panggil “drug-induced lupus”. Gejala ini akan hilang jika pengambilan ubat itu diberhentikan. Buah pinggang dan otak jarang terjejas dalam lupus jenis ini.

SLE secara lazimnya tidak mempengaruhi kesuburan anda, tetapi kesuburan anda boleh terganggu sekiranya anda telah menerima ubatan tertentu atau jika anda juga menghidapi penyakit ‘antiphospholipid syndrome’. Dalam situasi begini, anda mungkin boleh menghadapi masalah kehamilan atau keguguran.

*Ikuti artikel akan datang pada bahagian kedua berkaitan penyakit SLE ini dengan lebih mendalam lagi.

Previous articlePengertian Talbiyah Dalam Haji
Next articleIto Tidak Sabar Beraksi Konsert Solo “Blues Gang Apo Nak Dikato!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here