Oleh Nury Kadir
Talbiyah adalah doa atau bacaan yang paling penting semasa mengerjakan haji dan umrah. Ia dibaca sepanjang perjalanan dari tempat miqat hinggalah masuk ke Masjidil Haram. Lafaz Talbiyah adalah seperti di bawah:
لَبَّيْكَ اللّٰهُمَّ لَبَّيْكَ. لَبَّيْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ. اِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَاْلملْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ
Maksudnya, “Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu, tiada sekutu bagiMu.”
Hal itu disebut dalam hadis dari Abdullah bin Umar r.a, katanya: “Ketika Rasulullah SAW hendak berangkat dan telah siap di atas kenderaannya yang berdiri di samping masjid Zulhulaifah, baginda mengucapkan Talbiyah seperti ini, Labbaika Allahumma Labbaika. Labbaika La Syarika Laka Labbaika. Innalhamda Wan Ni’mata Laka, Wal Mulka La Syarika Laka.” (Riwayat Muslim)
Ada satu lagi hadis lain yang juga menyebut mengenai Talbiyah iaitu dari Fadhal r.a., katanya: “Rasulullah SAW sentiasa membaca Talbiyah sehingga tiba waktu melontar jamrah.” (Riwayat Muslim)
Manakala satu lagi hadis dari Abdullah bin Abdullah bin Umar dari bapaknya menyebut, “Kami berangkat pergi bersama-sama Rasulullah SAW dari Mina ke Arafah. Sementara itu, dalam rombongan kami ada yang membaca Talbiyah dan ada yang membaca takbir.” ( Riwayat Muslim)
Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan Talbiyah. Perlukah ada tempoh masa tertentu untuk mengucapkannya atau sepanjang masa berada di Tanah Suci boleh dibaca?
Bagi menjawab persoalan tersebut dipetik pendapat yang pernah dinukilkan di dalam laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (www.muftiwp.gov.my). Sebagai permulaan dijelaskan dahulu maksud Talbiyah. Talbiyah merupakan satu ucapan yang menandakan kehadiran para tetamu Allah yang dilafazkan oleh setiap jemaah haji.
Ucapan tersebut dilaungkan setelah berihram ketika berada di tanah suci. Maksud yang dikehendaki dari laungan Talbiyah ini ialah menyahut seruan Allah SWT, pembuka ucapan dan pengakuan atau ikrar, iltizam serta komitmen perjanjian dan kata-kata langsung atau berdialog dengan Allah SWT.
Hal ini bersandarkan hadis daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ لَبَّيْكَ لاَ شَرِيكَ لَكَ لَبَّيْكَ إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيكَ لَكَ
Maksudnya: “Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu, tiada sekutu bagiMu.” (Riwayat Muslim)
Sunat membaca laungan Talbiyah ini dimulai daripada berniat ihram hingga permulaan tawaf bagi yang mengerjakan umrah dan hingga mulai melontar jamrah al-Kubra atau mulai tawaf atau bercukur mengikut amalan mana yang didahulukan bagi yang mengerjakan haji.
Dalam hadis As-Sa’ib bin Khallad, Rasulullah SAW bersabda:
أَتَانِي جِبْرِيلُ فَأَمَرَنِي أَنْ آمُرَ أَصْحَابِي أَنْ يَرْفَعُوا أَصْوَاتَهُمْ بِالإِهْلاَلِ وَالتَّلْبِيَةِ
Maksudnya: “Telah datang kepadaku Jibril A.S, maka dia memerintahkan aku untuk memerintahkan sahabat-sahabatku agar mengangkat suara-suara mereka ketika berihlal atau bertalbiyah” (Riwayat al-Tirmizi)
Bacaan Talbiyah disunatkan bagi lelaki untuk menyaringkan dan meninggikan suara dan tidak pula disunatkan bagi wanita. Justeru, bacaan Talbiyah akan berterusan, berulang-ulang dan bergema di seluruh Tanah Haram Mekah di mana berhimpunnya berjuta jemaah haji dari seluruh pelosok dunia.
Firman Allah SWT:
وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ
Maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.” (Surah al-Hajj: 27)
Talbiyah sememangnya digalakkan oleh Nabi SAW bagi setiap jemaah haji. Bahkan, perkara ini dianggap sunat (mustahab). Walaubagaimanapun, jika seseorang jemaah haji itu meninggalkan perbuatan talbiyah, haji yang dilakukannya tetap sah namun mereka tidak mendapat pahala fadilat Talbiyah tersebut.
Ini jelas berdasarkan hadis berikut, daripada Abu Bakar al-Siddiq r.a, bahawa Nabi SAW telah ditanya, Maksudnya: “Apakah haji yang paling afdal? Baginda menjawab: “Menyaringkan ucapan Talbiyah dan menyembelih binatang korban.” (Riwayat al-Tirmizi)
Pun begitu, ketika di Arafah, Talbiyah dihentikan sementara untuk memberi tumpuan kepada bacaan zikir (kalimah tauhid), “Laailaaha illallaahu wahdahu la syarikalah lahul mulku walahul hamdu wahuwa kulli syaiin qadiir.”
Selain daripada Talbiyah tidak ada bacaan khusus ketika melihat Kaabah atau melangkah masuk ke Masjidil Haram kecuali doa yang biasa kita baca ketika memasuki masjid. Bacaannya sama untuk semua masjid walau di mana pun kita menghadirkan diri.
Doa masuk masjid yang ringkas:
اَللّٰهُمَّ افْتَحْ لِيْ اَبْوَابَ رَحْمَتِكَ
“Allahummaf tahlii abwaaba rohmatik”
Maksudnya: “Ya Allah, bukalah untukku pintu-pintu rahmat-Mu.”
Begitu juga halnya ketika melihat Kaabah, tidak ada doa yang khusus untuk dibaca. Jika ada yang tercatat pada buku panduan haji atau umrah, ia sekadar panduan sahaja. Jika ada kelapangan dan tidak mendatang kesukaran kepada kita atau jemaah haji yang lain maka digalakkan untuk membacanya. Namun jika membaca doa di dalam buku panduan itu hingga menyusahkan orang lain dan menghalang laluan kerana kita perlu berhenti serta membaca satu persatu doa yang ditulis, itu menyulitkan. Cukuplah sekadar membaca zikir-zikir yang Nabi SAW ajarkan dan memuji kebesaran Allah.
Amalan paling afdal ketika di Mekah adalah memperbanyakan tawaf sunat. Setiap kali selesai tawaf hendaklah dilakukan solat sunat dua rakaat kerana Rasulullah SAW melakukan solat dua rakaat setelah selesai tawaf tujuh pusingan.
Seorang ulama Tabi’in, Tawus bin Kaisan pernah berkata, “Mereka yang melakukan umrah dari Tan’im, saya tidak tahu apakah mereka mendapat pahala atau mendapat azab?” kemudian beliau ditanya, “Kenapa pula mereka mendapat azab?” Lalu beliau menjawab, “Kerana mereka meninggalkan tawaf mengelilingi Kaabah dan keluar sejauh empat batu kemudian pulang kembali. Tempoh yang digunakan untuk pergi dan balik dari Tan’im itu boleh dimanfaatkan untuk melakukan 200 tawaf. Setiap kali mereka tawaf mengelilingi Kaabah itu adalah lebih afdal daripada berjalan tanpa faedah.”
NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.