Oleh: Wawa Najwa
SIAPA di sini yang minat dengan lagu-lagu dendangan Dato’ Awie? Kalau anda peminat tegar Awie mesti boleh hafal lagu-lagu nyanyiannya sama ada lagu bersama kumpulan Wings atau solo.
Untuk membolehkan anda berkaraoke bersama Awie, jangan ketinggalan untuk hadir pada konsert solo beliau yang diberi nama “Journey”.
Konsert yang akan berlangsung di Dewan Merdeka, WTC Kuala Lumpur pada 3 Ogos ini adalah sempena meraikan perjalanan 30 tahun Awie dalam dunia seni sejak 1985 sebagai artis solo.
Journey akan menawarkan pengalaman unik kepada penonton dengan gabungan monolog dan persembahan teatrikal daripada Awie.
Penonton bakal disajikan dengan lagu-lagu popular yang mengimbau kenangan dari album-album kompilasi beliau yang memegang rekod Album Solo Artis Lelaki Paling Laris di Malaysia. Konsert ini juga merupakan konsert solo terakhir beliau.
Sejujurnya Awie sangat terharu dengan sambutan yang diberikan oleh peminat untuk konsert Journey ini.
“Saya terharu dan tidak menyangka sambutan terhadap konsert solo saya sehebat ini. Saya terperanjat apabila dimaklumkan tiga kategori utama tiket habis dijual dalam beberapa jam.
“Oleh kerana permintaan yang tinggi daripada peminat, saya telah berbincang dengan pihak penganjur dan mereka bersetuju untuk membuka kategori tiket yang baru agar semua peminat yang tidak sempat membuat pembelian tempohari, boleh berbuat demikian sekarang.
“Konsert ini bakal meninggalkan satu kenangan yang paling manis buat semua peminat. Tema dan konsep unik yang tidak pernah dipersembahkan sebelum ini merupakan bingkisan yang begitu peribadi dari saya untuk semua. Hanya yang terbaik untuk semua peminat yang hadir pada 3 Ogos nanti,” kata Awie memberi bayangan untuk persembahannya nanti.
Istimewanya konsert ini akan menampilkan barisan pemuzik handalan seperti Rozario Rasul yang akan bertanggungjawab sebagai Pengarah Muzik yang juga bertindak sebagai pemain keyboard.
Manakala pemain gitar pula ialah Ritz MetalAsia (Guitar Satu), Addy Cradle (Guitar Dua), Fly Halizor (Bass), Ujang Exist (Dram), dan Pa’ang Zaman (Percussion).
Untuk konsert tersebut, Awie akan mempersembahkan lebih daripada 20 buah lagu-lagu popularnya terutama dari album solo dan album Wings, termasuk dari album Awie (1994), O-Tak (1996), Satu (1998), Rentap (2000) dan Santai (2005).
Menariknya lagi, konsert “Journey” Awie juga turut berkolaborasi dengan sebuah institusi kewangan terkemuka yang tersenarai dalam Fortune 500 Asia Tenggara iaitu Maybank.
Awie merupakan artis tempatan pertama yang dipilih sebagai rakan Maybank bagi konsert ini. Khas untuk konsert ini, pemegang kad Maybank akan menikmati potongan harga 10% untuk semua pembelian tiket menggunakan kad Maybank.
Selain itu, pembeli tiket juga boleh membuat pembayaran sebanyak 50% terlebih dahulu dan melunaskan baki selebihnya seminggu sebelum konsert bermula.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TruePixel Sdn. Bhd., Samsul Kamal, beberapa kategori tiket telah pun habis dijual dalam beberapa jam sahaja selepas dilancarkan.
“Ramai yang menantikan konsert solo Dato’ Awie dan kami tak sangka selepas beberapa jam dilancarkan beberapa kategori sudah habis dijual.
“Laman web kami juga mencipta rekod menerima jumlah kunjungan yang paling tinggi pada jam pertama tersebut. Kami telah mula menjual tiket seminggu lebih awal bagi mereka yang membuat pra-pendaftaran dan pada masa yang sama menikmati diskaun bagi setiap pembelian,” jelasnya.
Untuk konsert solo ini beberapa kategori tiket telah diperkenalkan iaitu Royal Box: RM1,500 (beserta meet and greet), VIP+: RM1500 (beserta meet and greet), VIP: RM1,000, Diamond: RM700, Platinum: RM418, Gold: RM288 dan Silver: RM218. Tiket-tiket boleh dibeli di laman sesawang rasmi www.pixeltix.com.my
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.