Oleh: Wawa Najwa

CERITA kepolisan tidak dapat dipisahkan dengan pengarah dan penerbit tersohor, Datuk Yusof Haslam yang menghasilkan kisah pasukan beruniform itu sejak dulu hingga kini.

Kisah polis dimulakan oleh Skop Productions menerusi cerita “Remang-Remang Kota Raya” pada tahun 1980-an dan diikuti dengan drama “Debu-Debu Kota Raya”.

Barisan pelakon “Polis Peronda” sewaktu hadir mempromosi drama tersebut di TV3, baru-baru ini.

Namun drama “Gerak Khas”, yang diterbitkan pada 1999 merupakan drama polis yang terpanjang bersiaran di kaca televisyen dan turut mendapat pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records sebagai “Siri Drama Yang Paling Lama Bersiaran”.

Kini sempena sambutan istimewa ulang tahun TV3, ‘Inspirasi Generasi’, stesen tersebut turut menampilkan drama siri aksi kepolisan “Polis Peronda” sebagai antara kandungan khas buat penonton yang setia dengannya selama 40 tahun bersiaran.

Puteri Sarah melakonkan watak Inspektor Sarah.

Drama “Polis Peronda” akan menemui penonton menerusi lima episod bermula 28 Jun ini, setiap Jumaat jam 10 malam dan strim episod baharu 24 jam lebih awal di Tonton melalui www.tonton.com.my atau muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play atau App Store.

“Polis Peronda” diarah oleh Yusof dan anaknya, Syafiq Yusof serta C. Kumaresan. Manakala pelakon yang menjayakan drama ini ialah Shah Iskandar, Puteri Sarah, Ali Reza, Ramona Zamzam, Raja Afiq, Soffwany Yusoff, Kodi Rasheed dan ramai lagi.

Drama ini menceritakan tentang pengalaman dan tema yang berkait rapat dengan Unit Kereta Peronda (Unit MPV) PDRM dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang berdepan dengan pelbagai senario mencabar dalam tugasan harian.

Shah Iskandar sebagai Koperal Bani.

Ia juga berkisar tentang kehidupan harian sekumpulan unit peronda polis yang berusaha menjaga keamanan dan ketenteraman ibu kota. Selain itu, Polis Peronda juga mampumembawa penonton menyelami dunia kepolisan dengan lebih mendalam melalui jalan cerita yang penuh dengan aksi, misteri dan emosi.

Menurut Yusof, “Polis Peronda” merupakan sebuah drama kepolisan yang julung kalinya memaparkan tentang kerjaya polis peronda, termasuk Petrol Car dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

Siri ini tidak hanya menumpukan kepada aksi penyiasatan jenayah, tetapi juga memberi tumpuan kepada cabaran peribadi yang dihadapi oleh setiap anggota polis, termasuk hubungan keluarga, konflik dalaman, dan moraliti.

Raja Afiq sebagai Lans Koperal Amar.

“Keistimewaannya, sejak hampir 40 tahun saya menerbitkan drama kepolisan, belum pernah ada drama yang memaparkan kisah polis peronda secara mendalam. Polis peronda adalah ‘front liner’ dalam jabatan polis, yang biasanya sampai ke lokasi jenayah atau kemalangan lebih awal.

“Drama ini mengupas peranan dan kehidupan mereka, memperlihatkan masalah dan cabaran harian yang dihadapi, termasuk konflik keluarga dan tanggungjawab sebagai suami dan bapa.

“Dengan ini, kami ingin menonjolkan bahawa anggota polis peronda juga adalah manusia biasa yang mempunyai kehidupan dan masalah tersendiri selain daripada tugas mereka menjaga keselamatan masyarakat.

Soffwany Yusoff sebagai Koperal Delisa.

”Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Bukit Aman dan IPD Gombak, khususnya ACP Arifin, atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan projek ini.

“Selain itu, dengan kerjasama yang erat antara Skop Productions, TV3, dan Polis Diraja Malaysia, kami berjaya menghasilkan drama yang memaparkan kisah kehidupan dan kerjaya anggota polis peronda dengan realistik dan mendalam,” katanya.

Tidak ketinggalan, pengarah itu juga turut memuji barisan pelakon seperti Puteri Sarah, Ramona Zamzam, Shah Iskandar, Raja Afiq dan Ali Reza yang telah memberikan komitmen tinggi, meskipun banyak cabaran yang dihadapi ketika penggambaran di jalan raya yang sibuk.

Ramona Zamzam sebagai Inspektor Elly.

Bagi Puteri Sarah atau nama penuhnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 39, yang memegang watak Inspektor Sarah berkata, dia menerima tawaran berlakon kerana mahu menyahut cabaran bekas bapa mentuanya, pengarah Yusof.

“Ini adalah satu watak baharu yang belum pernah saya lakonkan dan menerusi peluang ini saya nak lakukan yang terbaik. Lagipun sudah lama saya idamkan ingin berlakon watak aksi.

“Memang seronok dapat tawaran berlakon dalam drama ini, di waktu yang sama ada rasa takut sebab saya tak pernah jadi polis. Sebelum ni jadi perempuan teraniaya, tersakiti, cinta dan kali ini satu karakter lain daripada yang lain. Masa Datuk Yusof Haslam tawarkan watak tu, saya sahut cabaran,” akui Sarah tentang rasa debarannya itu.

Pelakon bersama pengarah Yusof Haslam dan Syafiq Yusof.

Sebagai persediaan untuk melakonkan watak Inspektor Sarah, ibu kepada dua orang anak ini melakukan banyak persediaan terutama dari segi stamina.

“Berlakon dalam naskhah genre aksi bukanlah satu perkara yang mudah malah banyak persediaan yang perlu dilakukan termasuk dari faktor stamina.

“Saya memang ada join kick boxing dan pergi gym. Untuk drama “Polis Peronda” ini, pelakon bukan duduk pejabat sahaja tapi kita semua kena keluar, berlari dan sebagainya. Memang penat tapi itu pengalaman menarik,” katanya.

Previous articleCherry On Top meneruskan legasi keluarga dalam muzik
Next articleI Can See Your Voice Malaysia kembali mencari penyamar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here