Oleh: Nafsiah Jani
Foto: Koleksi Syed Wafa
Siapa sangka penyanyi Lembah Kesepian, Haqiem Rusly , Naib Juara pertandingan Idola Kecil 2008 ketika usianya 10 tahun kini berjaya menempa nama sebagai penyanyi dan berjaya meletakkan namanya sebaris komposer hebat masa kini.
Walaupun berkali-kali menyertai pertandingan dan tidak pernah bergelar juara, namun ini tidak mematahkan semangat Haqiem Rusly untuk terus berjuang dan melangkah dalam dunia hiburan yang dicintainya ini. Berkat kesabaran dan bakatnya yang hebat kini nama Haqiem menjadi sebutan peminat dan pilihan artis baru untuk menyanyikan lagu-lagu ciptaannya.
Pelbagai anugerah yang dimenanginya namun penyanyi, komposer muda, pelakon, Haqiem Rusly masih belum berpuas hati selagi gelaran Anugerah Juara Lagu (AJL) belum menjadi miliknya.
AJL merupakan pertandingan anjuran TV3 untuk memartabatkan lagu terbaik. Lagu yang mendapat undian terbanyak dalam Muzik Muzik sepanjang tahun itu akan mara ke separuh akhir, yang mana dua belas lagu akan dicalonkan oleh panel hakim untuk menjadi pemenang Juara Lagu. Juara AJL bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi.
“Award lain banyak yang saya dah dapat. Cuma award bergelar juara dalam AJL saja yang saya tak dapat lagi. Saya `memburu’ gelaran ini kerana ia adalah sebuah pertandingan berprestij mempertandingkan lagu-lagu ciptaan komposer dan penulis lirik yang hebat. Bila dapat anugerah ini barulah tercapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) saya sebagai komposer dan penulis yang berkaliber
“Hanya gelaran ini saja yang saya buru sekarang ini. Jika berjaya lengkaplah sudah kemenangan saya. Sejak dari kecil lagi saya memang impikan gelaran juara dan saya memang suka bergelar juara (champion),’’ kata Haqiem Rusly sambil ketawa.
Menurut penyanyi Sangkar Derita ini lagi atau nama sebenarnya, Ridzuan Haqiem Rusli,26, tidak menyangka hidupnya berubah 360 darjah selepas menyertai syarikat rakaman FMC.
“Lepas kalah Mentor Milenia 2016, saya rasa macam dah tak ada harapan dalam dunia muzik lagi. Saya pun tak sangka, perancangan Allah itu cantik. Selepas tersingkir pengurus saya sekarang ini, Abang Amy nampak bakat saya dan bila dah join FMC saya terus membina keyakinan diri
“Dulu saya cipta lagu hanya untuk suka-suka dan tak sangka lagu-lagu yang saya buat ketika tingkatan 3 dulu kini diterima peminat. Malah saya juga bertuah kerana syarikat FMC banyak bagi saya peluang untuk serlahkan lagi bakat dalam penciptaan lagu.
“Sebagai seorang seniman, saya gembira dapat buat lagu…ditambah pula bila lagu ciptaan saya viral dan ada artis yang minta lagu. Lagu yang saya bagi pada artis itu juga meletup dan diterima peminat dan inilah yang menguatkan lagi semangat saya untuk terus berkarya.”
Sejak terlibat dalam industri muzik, Haqiem bukan sahaja mencipta lagu untuk dirinya sendiri. Beliau pernah menghasilkan lagu untuk penyanyi lain seperti Tajul Ariff, Usop dan Sufi Rashid.
Bercerita lanjut mengenai idea lagu-lagu ciptaannya, ujar Haqiem Rusly anak ketiga daripada empat orang adik-beradik ini,”Saya banyak dengar muzik pop dan dalam waktu yang sama, saya juga suka dengar lagu-lagu Judika, sifu M.Nasir dan Justin Bieber. Lagu mereka sering saya jadikan rujukan untuk mendapat idea.
“Saya tak belajar muzik dengan mana-mana pusat pengajian sebaliknya ilmu muzik yang saya ada, saya belajar sendiri (learn by heart). Mungkin saya banyak membaca buku kosa kata melayu dan puisi melayu menyebabkan saya boleh menghasilkan lagu yang berbentuk puitis.
“Sebenarnya media sosial juga banyak membantu saya berkarya selain membaca. Bukan itu saja, banyak juga idea saya dapat bila tengok filem-filem di Netflix. Walaupun cerita kelakar, saya banyak dapat idea dan input daripada jalan cerita tersebut. Saya juga pernah tengok twitter dan youtube untuk menonton kisah-kisah benar. Dari situlah timbul idea untuk lagu Adina Marie yang mengisahkan seorang anak yang kehilangan ayahnya.
“Cakap pasal idea ini, susah nak cakap…kadang dalam sebulan nak dapat idea untuk buat dua atau tiga lagu pun susah. Buat lagu bila-bila masa saja boleh tapi bila nak terbitkannya saya kena fikir boleh ke lagu itu pergi jauh. Macam lagu Mimpi, dalam masa sejam saya boleh siapkannya. Ini semua rezeki yang Allah bagi, kalau rezeki Allah nak bagi time itu jugak kita boleh dapat idea kerana Allah yang menggerakkan segalanya dan kita hanya merancang.”
Sepanjang tujuh tahun terbabit dalam industri seni, telah banyak anugerah yang dimenangi dan diterima Haqiem Rusly. Antara anugerah yang pernah diterima Haqiem ialah AJL ke-32 (2017) lagu Tergantung Sepi dipilih sebagai pemenang dan Selamat Tinggal Sayang pula dipilih sebagai Lagu Paling Viral.
Begitu juga dalam Anugerah Planet Muzik 2018 (APM) lagu Tergantung Sepi juga turut dipilih sebagai pemenang. Manakala sewaktu ERA Digital Muzik Awards 2018, Haqiem memenangi Penyanyi Kolaborasi Terbaik melalui lagu Jatuh Bangun bersama Aman RA dan Temubual Terbaik Carta ERA.
Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH-2018), Artis Sensasi Popular dan lagu Selamat Tinggal Sayang, memenangi Lagu Paling Boom. Dalam Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2019, lagu Jatuh Bangun bersama Aman RA memenangi Lagu Pilihan. Begitu juga sewaktu Konsert Throwbaek 2019, Haqiem dipilih sebagai Komposer Meningkat Naik dan begitu juga dengan Anugerah MACP 2019, dipilih menerima award Komposer Muda Berpotensi.
Anugerah Bintang Paling Popular,Penyanyi Lelaki Popular Malaysia dan Lagu Paling Boom Popular iaitu Lembah Kesepian (ABPBH- 2020). Anugerah MeleTOP Era 2020, Penyanyi MeleTOP dan lagu Lembah Kesepian dipilih sebagai Lagu MeleTOP, ABPBH ke 34 (2021) Haqiem memenangi kategori Anugerah Penyanyi Lelaki Popular dan mendapat tempat ketiga melalui lagu Mimpi dalam AJL ke-36 tahun 2022.
Haqiem dah bersedia jadi produser
Dalam diam, Haqiem suami kepada Wan Anis Sofea Wan Zamzuri kini sedang merancang jauh untuk masa depan mereka sekeluarga. Perancangan studio ini sudah dirancang Haqiem sejak tiga tahun yang lalu dan kini barulah dia bersedia untuk bergerak setelah mendapat tunjuk ajar daripada Ajai dan Sharon Paul.
“Studio Bulan Karisma ini saya buat di rumah ibu saya di Ulu Langat. Kalau ada yang berminat nak saya terbitkan album atau lagu mereka silalah datang ke studio saya ini. Saya dah puas jadi penyanyi dan kini saya nak rasa nikmatnya menjadi produser pula.
“Kalau produser lain mungkin saya serba salah nak mintak tambah itu dan ini bila lagu dah siap mixing dan master. Kalau terbitkan sendiri, saya boleh tambah lagi apa yang saya rasa kurang dari segi bunyi gitar atau dram. Itulah kelebihannya jadi produser untuk album sendiri.
“Dari segi pendapatan, jadi produser ini pendapatannya tidaklah selumayan jadi penyanyi…tapi bila fikir untuk jangka panjang, andai kata saya tak mampu bertahan…inilah kerja saya nanti. Ialah kita tak tahu bagaimana masa hadapan kita,” kata Haqiem yang boleh dihubungi menerusi Ig dan tik tok Bulan Karisma Studio.
Haqiem juga tidak menyangka penangan tik tok menyebabkan lagu barunya yang viral iaitu Sangkar Derita telah mendapat tontonan 8.5 juta dalam masa tiga bulan.
Sebelum ini, Haqiem pernah tampil dengan album pertamanya, Segalanya yang dikeluarkan pada April 2018 memuatkan 8 lagu termasuk sebuah lagu berbahasa Inggeris, “Qiemillio”. Kini Haqiem sedang mengumpul lagu untuk album keduanya yang dirancang pada tahun hadapan.
Antara lagu ciptaannya ialah Perjalanan, Sayang, Selamat Tinggal Sayang, Lembah Kesepian, Bangkit, Adina Marie, Hitam Saksi Putih, Disebalik Rahsia dan Sangkar Derita
Penulis, Nafsiah Jani adalah penyumbang tetap Lady Bosz. Beliau juga adalah juga bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia.