Oleh: Wawa Najwa
Foto: Ehsan Zarul/Koleksi Syed Wafa
JIKA ada perkara yang tak dirancang berlaku, tiba-tiba mesti ada di kalangan kawan-kawan akan berkata, “Hah! Kan aku dah cakap, ramalanku benar belaka.
Pada hal kawan itu sengaja menggunakan tajuk lagu popular kumpulan Umbrella itu sebagai gurauan di kalangan rakan-rakan untuk mengangkat dirinya supaya nampak hebat.
Tidak dinafikan lagu dendangan kumpulan Umbrella yang dirakam pada 1995 itu hingga kini masih lagi disukai ramai dan buktinya, tiap kali Zarul menggadakan persembahan pentas, ‘Ramalanku Benar Belaka’ pasti menjadi permintaan penonton. dipersembahkan.
Kalau Zarul atau Zairulkefli Husin, 51, kelahiran Pasir Puteh, Kelantan itu tidak menyanyikan lagu ciptaan Saari Amri dan lirik oleh Fitri Amri itu, seolah-olah tak lengkap persembahannya. Lagu ‘Ramalanku Benar Belaka’ adalah di antara lagu yang dimuatkan dalam album sulung Umbrella yang berjudul ‘Seribu Rahmat’.
Album ‘Seribu Rahmat’ yang menampilkan kosenp muzik pop latin serta sedikit balada itu juga turut diserikan dengan lagu popular lain seperti ‘Bukalah Hatimu’ dan ‘Retak Jangan Relai’. Malah album yang diterbitkan di bawah syarikat Mekar Production itu telah terjual melebihi 80, 000 unit serta mendapat anugerah emas dan platinum.
Dek populariti lagu tersebutlah, hingga kini Zarul selaku vokalis Umbrella sebelum menarik diri dari kumpulan tersebut pada 1998 masih diminati walaupun ramai penyanyi baharu tampil mewarnai pentas seni tanah air.
Sekitar tahun 2002 Umbrella muncul dengan album berjudul Payung Sakti dan diterbitkan sepenuhnya oleh Isnin selaku vokalis dan pemain keyboard.
Meskipun tidak lagi bersama anggota kumpulan Umbrella, rezeki Zarul untuk mengadakan persembahan tetap ada dan dia adalah salah seorang penyanyi yang menjayakan Showcase Amal Artis Legenda 4.0 pada awal Jun lalu.
“Show amal ini untuk enjoy saja. Saya dengan abang Nizam Laksamana macam abang panggil adik buat show, saya okey saja. Lain-lain show tak pernah putus untuk setiap bulan. Sekali sekurang-kurangnya ada juga.
“Alhamdulillah, saya tak tinggi tak rendah ada saja income dan tak putus. Saya senang macam ni dan happy. Umbrella masih ada, cuma sekarang mereka buat show dengan Ithnin (keyboard). Mereka pun ada buat rakaman dengan Ithnin sebagai penyanyi.
“Baru-baru ini mereka ada telefon saya dan beritahu mereka bergerak dengan Ithnin. Saya tak kisah sebab mereka pun nak cari makan. Kadang-kadang saya nak bajet macam ni dan mereka dengan macam lain, kadang-kadang clash sebab saya berlakon. Saya tak kisah pun,” katanya terus terang.
Zarul yang merupakan pemenang tempat ketiga rancangan Gegar Vaganza 2016 itu juga adalah bekas pramugara di Malaysia Airlines selepas berkhidmat selama 17 tahun dengan syarikat penerbangan itu.
Kini Zarul lebih menumpukan tumpuan pada program podcast iaitu Borak Dalam Galley yang awalnya adalah video borak-borak yang dimuat naik di saluran YouTube miliknya.
“Saya punya YouTube Channel tu sebenarnya dah lama, saya buat video borak-borak macam podcast cuma tak ada mic (mikrofon) yang betul macam podcast punya mic.
“Saya pernah ajak Amy Mastura, Raja Azmi, Maria Tunku Sabri, Farouk Hussein, Sherry Ibrahim, Nazim Othman dan ramai lagi. Saya dah interview mereka tapi masa tu belum podcast lagi. Bila gelombang podcast masuk Malaysia, jadi saya tukar dan letak nama Borak Dalam Galley, itupun kira tak fikir panjang main bubuh saja.
“Sebab Galley itu ibarat macam tempat kabin kru berborak-borak lepas habis kerja, tempat kita orang bergosip. Jadilah Borak Dalam Galley, dari video YouTube tu saya tukar angin ikut arus semasa,” kongsi Zarul tentang pembukaan Borak Dalam Galley yang semakin mendapat sambutan ramai itu.
Untuk Borak Dalam Galley itu Zarul ditemani oleh CK Faizal yang pernah menjadi tetamu dalam program videonya dulu.
“Saya inteview CK dah lama, dua tiga kali juga dan ada satu episod itu view mencanak-canak naik sebab dia bercerita pasal kisah seram. Nak bagi suasana meriah tu yang saya ajak CK sama sebab dia pun pernah jadi kabin kru, jadi senanglah saya nak berpasangan dengan dia.
“Saya ada soalan sendiri dan dia pun ada soalan dia, jadi rancaklah perbualan itu dan lama-kelamaan diterima dan okey. Awalnya podcast tu buat seminggu sekali dan sekarang baru cuba nak buat seminggu dua kali sebab ramai yang kata tunggu lama kalau seminggu sekali.
“Masalahnya sekarang saya buat seorang diri, saya yang edit, saya yang atur dan jemput tetamu serta booking studio yang disewa. Barang-barang lampu dan kamera, saya yang susun atur. Saya suka bermain dengan lampu dan kalau tengok podcast saya tu mesti nampak lain-lain.
“Saya juga yang buat suntingan. Saya belajar dari YouTube dan campur dengan pengalaman sewaktu saya berada di set drama. Saya tengok macam mana lampu dan kamera diguna pakai sewaktu penggambaran,” kata Zarul yang mula menghasilkan content sebegitu sejak PKP (perintah kawalan pergerakan).
Meskipun sibukan melakukan podcast, Zarul yang mendirikan rumah tangga buat kali kedua pada 26 April 2009 bersama Intan Nur Fathihah, dan mempunyai seorang anak perempuan, Puteri Ayu Nur Arisya, hasil daripada perkahwinan pertamanya bersama bekas isteri, Ayu itu juga tidak lupa tanggungjawabnya sebagai pelakon.
Kali pertama Zarul berlakon adalah menerusi drama Cik Serba Tahu sebagai Bunyamin pada 2017. Pada tahun yang sama juga, buat pertama kalinya dia berlakon telefilem berjudul Misteri Sofa Lama sebagai Nizam.
Manakala filem pertama lakonannya adalah Takluk: Lahad Datu sebagai ASP Taufiq yang diterbitkan pada 2024.
“Masa saya lebih kepada drama dan yang baru disiarkan di TV adalah Dua Darjat terbitan Tanah Beris Film Production. Dalam drama arahan Shuhaimi Lua itu saya memegang watak Zulkifli.
“Ada dua drama dan dua filem sebenarnya. Ogos ini filem bajet besar keluar dan satu lagi yang bajet kecil pun akan keluar. Alhamdulillah, pendapatan saya tak tinggi dan tak rendah ada saja income yang mendatang. Saya senang macam ni dan yang penting happy,” katanya tanpa berselindung.
Ujar Zarul, setakat ini kebanyakan watak yang diserahkan kepadanya adalah watak curang dan watak komedi selenge tak perlu nak kelakar sangat.
Tambahnya, banyak sudah watak komedi yang dilakonkan termasuklah Brownies Lobak Untuk Papa arahan Opie Zami dan drama terbitan Tanah Beris. Selain komedi, Zarul juga sering diberi peranan sebagai watak antagonis dan badan beruniform.
Meskipun setiap kali show, lagu yang sama juga yang dipinta oleh peminat, namun Zarul sempat menghasilkan lagu baharu. Kelakarnya, Zarul hampir terlupa yang dia pernah rakam sebuah single pada 2018.
“Tiap kali show orang nak lagu lama juga, itu satu hal kenapa saya malas nak buat lagu baharu. Ada satu lagu baharu saya rakam pada 2018 dengan Ippo Hafiz dan saya lupa tentang lagu itu. Tiba-tiba Ippo telefon kata, abang tak nak lagu abang ke? Lagu dah siap dan dia akan cari pengedar.
“Awalnya, dia bagi saya dengar lagu tu dan saya suka. Saya dah bayar dia semua. Kalau ada tahun ini adalah, saya tak terdesak nak keluar lagu pun. Lagu baru kalau keluar pun sekadar pelengkap persembahan saja sebab orang lebih sukakan lagu ‘Ramalanku Benar Belaka’. Tak boleh nak buat apa dah,” jelasnya.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.