Oleh : Syed Wafa
Foto : Ehsan Hajah Oomi Jannah
Agak sukar sekarang untuk mendapat rawatan tradisional Melayu bagi penjagaan ibu-ibu selepas bersalin seperti berurut atau bertungku dan bengkung dari pakar dalam bidang tersebut. Malah agak mengecewakan masyarakat Melayu terutamanya kalangan wanita kini bagaikan tidak berminat untuk mengamalkan cara tradisional yang diwarisi oleh turun temurun nenek moyang kita.
Baru-baru ini, Ladybosz berbesar hati dan bertuah dapat bertemu dengan seorang pakar rawatan tradisional yang terkenal dan disegani iaitu Hajah Oomi Jannah bt Haji Abdul Hamid (AMZ). Beliau adalah merupakan seorang pakar perunding perbidanan bertauliah dalam perawatan tradisional terutamanya selepas bersalin dan dalam pantang. Oomi mempunyai pengalaman lebih 48 tahun dalam bidang tersebut.
Sungguh istimewa, Oomi juga pakar dalam herba-herba tradisional malah semua ramuan seperti akar kayu untuk dijadikan minyak urut adalah hasil dari tangan beliau sendiri. Beliau bukan sahaja pakar dalam bidang penjagaan ibu-ibu lepas bersalin malah begitu terkenal dalam pelbagai rawatan tradisional antaranya mandi bunga bagi naikkan seri wajah, rawatan untuk mendapatkan zuriat bagi pasangan yang tidak mempunyai anak, mendapatkan jodoh terutamanya golongan wanita yang masih tidak bertemu pasangan, gangguan sihir dan banyak lagi.
“Selalunya rawatan yang Oomi lakukan bermula dari hujung rambut hingga hujung kaki termasuklah pakej berpantang. Oomi warisi segala ilmu ini turun temurun dari keluarga kami yang berasal dari Thailand.
“Oomi juga menyediakan rawatan untuk ibu-ibu dalam tempoh berpantang selepas bersalin untuk berkunjung ke rumah sepanjang berpantang dengan harga yang sungguh berpatutan. Malah vip terutamanya golongan diraja juga banyak yang meminta perkhidmatan Oomi untuk rawatan selepas bersalin.
“Terus terang Oomi katakan, kami menggunakan bahan-bahan asli yang begitu mujarab untuk semua rawatan bagi melegakan, memulihkan dan meremajakan semula tubuh badan. Sementara sesi rawatan berpantang yang terdiri daripada bertungku, mandian herba, bengkung serta urutan bayi juga memberi kesegaran dan kebaikan kepada ibu dan juga anak yang baru lahir ,” kata Oomi bersungguh-sungguh.
Tambahnya lagi, rawatan lulur juga yang dapat melegakan sakit sendi, demam serta meningkatkan peredaran darah disamping menyegar, melembutkan kulit serta menyingkirkan kulit mati.
“Rawatan lulur akan mengambil masa 90 minit sahaja. Dalam tempoh tersebut, pelanggan akan berasa selesa dengan kehangatan rempah ratus yang menghasilkan haba dan akan meresap ke dalam badan,” ujar Oomi lagi.
Oomi juga agak kecewa masyarakat kini terutamanya orang Melayu sendiri tidak begitu meminati dengan rawatan tradisional dan mereka lupa cara nenek moyang kita yang terdahululah lebih berkesan dan terbaik.
Anak kelahiran Pattani,Thailand dan dibesarkan di Kedah dan kini menetap dan beroperasi perniagaan beliau di Bukit Damansara,Kuala Lumpur. Oomi juga merupakan pemilik Treasures of Oomi, kini juga sebagai “Consultant” pruduk kecantikan terkenal Mustika Ratu, bekas pemilik bersama Warisan Ibunda Melayu Sdn. Bhd. dan pengasas Thoriq Enterprise yang telah beroperasi selama 24 tahun serta banyak berjasa kepada golongan wanita dan ibu-ibu yang memerlukan perawatan khusus buat wanita.
Oomi juga merupakan pakar dalam masakan tradisional orang Melayu antaranya ayam golek, nasi tomato, laksa utara, mee kari dan banyak lagi.
“Oomi banyak terima tempahan jika ada keramaian atau majlis-majlis tertentu malah pihak istana juga ada membuat tempahan terutama sepanjang bulan Ramadan,” kata Oomi sambil tersenyum
Walaupun kini sudah mencecah 69 tahun, dari raut wajah Oomi masih tampak jelita dan anggun serta masih kuat dalam melakukan kerja-kerja rawatan tradisional dalam membantu masyarakat.
Pelanggan Oomi bukan sahaja terdiri dari masyarakat Melayu malah terdapat juga pelanggan dari masyarakat Cina, India, Nasrani dan lain-lain lagi. Terdapat juga pelanggan dari luar negara yang datang bertemu Oomi untuk mendapat rawatan.
Atas jasa dan pengorbanan Oomi yang banyak membantu masyarakat dalam rawatan tradisional dan begitu tinggi ilmu dalam bidang tersebut, beliau telah diberi anugerah Darjah Ahli Setia (AMZ) oleh KDYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada tahun 2004.
Bagi mereka yang ingin mendapat perkhidmatan dari pakar perubatan tradisional yang begitu berpengaruh bolehlah hubungi Oomi di media sosial beliau di Facebook iaitu Hajah Jannah.
Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan Oomi sentiasa dirahmati oleh Allah SWT…Amin.
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.