Oleh : Asmat Fikri
Risiko bersalin secara czer ada dua peringkat yang kita boleh tengok secara jelas iaitu semasa kehamilan dan selepas kelahiran. Seperti yang dikongsi oleh para doktor di laman Hello Doktor, memang ada risiko yang besar jika pembedahan dilakukan berulang kali semasa kelahiran.
Antara risiko semasa hamil
Selepas prosedur bersalin pembedahan, risiko plasenta previa pada kehamilan akan datang meningkat sebanyak 1.5-6 kali ganda. Plasenta previa adalah keadaan di mana plasenta berkembang di atas saluran serviks. Lebih banyak C-section yang anda jalani, lebih besar risiko untuk kehamilan seterusnya.
Komplikasi plasenta lain kesan pembedahan czer termasuklah plasenta akreta, plasenta inkreta dan plasenta perkreta. Kesemua komplikasi ini secara kolektif dirujuk sebagai spektrum plasenta akreta – melibatkan kelekatan placenta ke dalam dinding rahim. Komplikasi rahim pecah pula adalah pada kadar 0.5%. Ia meningkat seiring dengan jumlah pembedahan czer yang dijalani.
Semasa proses kehamilan
Sama seperti mana-mana pembedahan, terdapat risiko bersalin secara czer di mana pakar bedah secara tidak sengaja boleh memotong dan mencederakan tisu dan organ di sekelilingnya, khususnya di bahagian usus dan pundi kencing. Malah ketika jahitan berlaku, jahitan czer boleh berlaku komplikasi apabila tisu parut bersambung dengan tisu dan organ yang lain. Selain itu, risiko si ibu untuk mengalami pendarahan berlebihan selepas bersalin lebih tinggi sekiranya melakukan pembedahan secara czer.
Selepas proses kelahiran
Parut endometriosis boleh berlaku selepas pembedahan czer. Ini bermakna ibu yang telah menjalani dua atau lebih pembedahan czer mempunyai risiko tiga kali ganda berbanding mereka yang hanya menjalani sekali pembedahan czer. Selepas lima kali czer, risiko bahaya akan meningkat sebanyak enam kali ganda.
Jangkitan pada luka pembedahan juga merupakan salah satu komplikasi paling biasa berlaku selepas pembedahan C-section. Jangkitan luka boleh menyebabkan kematian ibu sehingga 3%.
Kajian mendapati bahawa lebih banyak pembedahan czer, lebih berisiko pembedahan seterusnya untuk nyawa ibu dan bayi. Sesetengah individu boleh menjalani pembedahan C-section sehingga enam atau tujuh kali tanpa sebarang komplikasi tetapi ada juga ibu yang mengalami masalah gangguan spektrum dan plasenta akreta selepas sekali menjalani pembedahan czer.
Penutup
Melihat kepada risiko-risiko yang akan wujud disebabkan bersalin secara czer berulang kali, maka doktor sering menasihatkan pesakit agar lebih berhati-hati untuk kelahiran akan datang atau menghadkan jumlah kelahiran. Ia bukan bermakna kita menolak rezeki dari Tuhan, tapi ia lebih kepada menyelamatkan nyawa ibu. Bagi mereka yang telah beberapa kali bersalin secara czer, sebelum merancang untuk mengandung dapatkan nasihat dan sokongan dari doktor terlebih dahulu dalam apa jua keputusan yang bakal diambil.
ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.