Oleh: Wawa Najwa
Foto: Ehsan Alif Satar
TIAP kali kalau ada kontroversi yang membabitkan nama Alif, namanya mesti terpalit sama. Netizen sengaja mengaitkan namanya dengan isu tersebut, sedangkan mereka tahu yang Alif Satar bukanlah individu yang dimaksudkan.
Alif atau Muhammad Alif Mohd Satar, 34, tidak memerlukan cerita kontroversi untuk mencipta nama kerana populariti yang diraihnya sehingga kini adalah berdasarkan bakat semata-mata.
Anak sulung daripada empat beradik itu mula dikenali pada usia 16 tahun selepas dia berjaya menduduki tempat ketiga dalam rancangan realiti One in a Million (OIAM) musim pertama pada 2006.
Selepas OIAM, bagi meneruskan kerjaya seninya, Alif diberi peluang menghasilkan album studio pertama berjudul “Nakal” pada 2009. Antara lagu yang mendapat sambutan hangat daripada album tersebut adalah “Cukup Indah” dan “Jangan Nakal”.
Manakala album keduanya yang berjudul “Lelaki Seperti Aku” terbitan tahun 2011 juga mendapat sambutan menggalakkan terutamanya lagu “Pendusta”.
Selain dua album studio itu, Alif juga telah menghasilkan album “Definisi” (2013) dan “ASTL” (2023) bersama kumpulan The Locos. Malah Alif juga pernah berkolaborasi dengan Raihan untuk lagu popular kumpulan tersebut iaitu “Bismillah”, “25 Rasul” dan “Puji Pujian”.
Bukan itu saja, beliau juga bergandingan dengan Syamel, Siti Sarah dan Aina Abdul menyanyikan lagu tema rasmi Hari Kebangsaan 2020, Malaysia Prihatin dan “Sehati Sejiwa”, lagu tema rasmi Hari Kebangsaan 2015.
Selain menyanyi, suami kepada Sha Dila Halid yang dinikahi pada 2014 itu juga berbakat sebagai seorang pengacara. Antara program besar yang dikendalikan oleh Alif ialah Anugerah Juara Lagu (AJL), Big Stage dan beberapa rancangan lain terbitan TV tempatan.
Alif yang merupakan bapa kepada Alisha Anugerah, 9, Ariana Mecca, 7, dan Muhammad Ali, 5 tahun yang lahir sama tarikh dengannya iaitu 19 September itu juga berbakat sebagai pelakon.
Alif mula berlakon pada usia 14 tahun di dalam produksi West End London untuk teater muzikal “Peter Pan The Lost Boys”, manakala drama pertama lakonannya adalah “Suria Di Cordoba” sebagai Rudy pada 2011.
Namun begitu, nama Alif sebagai pelakon menjadi bualan ramai apabila beliau melakonkan watak Ahnaf Wafiy dalam drama adaptasi novel “Dia Semanis Honey” bersama Siti Nordiana pada 2016.
“Saya masih ingat lagi pada masa drama ini ditayangkan, keesokan harinya menjadi tular dan saya terus menjadi orang yang paling dibenci dalam negara pada masa itu sebab orang ambil serius tentang watak saya.
“Saya rasa selepas keluar “Dia Semanis Honey”, pengikut Instagram saya naik dua juta dalam masa kurang tiga bulan hanya kerana karakter Ahnaf Wafiy,” imbasnya dalam satu temu bual dengan sebuah portal hiburan.
Ternyata gandingan Alif dan Siti Nordiana atau Nana dalam drama “Dia Semanis Honey” sangat serasi dan kemudian diadaptasikan menjadi teater muzikal pula yang berlangsung di Istana Budaya pada Januari 2017, arahan Dira Abu Zahar atau Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Syed Zalihafe Syed Alwee.
Sementara itu, Alif bersama The Locos juga berpeluang mengadakan konsert pertama mereka di Dewan Filharmoik PETRONAS pada 28 Ogos 2023.
Alif Satar & The Locos yang ditubuhkan pada 2018 sudah membuat pelbagai persembahan di dalam dan luar negara, termasuk Singapura dan United Kingdom.
Selepas menjayakan siri jelajah di United Kingdom (UK), Alif Satar & The Locos (ASTL) bakal mencipta sejarah apabila berkongsi pentas dengan penyanyi Datuk Shake yang mencipta nama di Perancis. Mengikut perancangan, Alif dan Datuk Shake akan digandingkan pada konsert di Paris, Perancis, Oktober depan.
Geng Subuh Macam Jumaat
Alif yang berpeluang melakukan ibadat Haji iaitu rukun Islam kelima bersama isteri pada 2023 berkata, dia mula memanjatkan doa agar diundang menjadi tetamu Allah sejak lama.
“Sebelum ini, setiap hari sejak tahun 2017 saya berdoa kepada Allah agar menjemput saya dan isteri untuk menunaikan haji. Setiap tahun, saya sentiasa mengharapkan undangan itu diberikan.
“Alhamdulillah, doa saya telah diangkat oleh Allah. Sukar digambarkan perasaan gembira yang bukan kepalang. Terima kasih Allah, terima kasih yang tidak terhingga kerana doa saya dimakbulkan,” katanya.
Tambah artis serba boleh itu, sewaktu di sana dia sentiasa berdoa kepada Allah agar sekembalinya ke tanah air, dia dianugerahkan haji mabrur. Ternyata doanya dimakbulkan Allah.
Di antara ramai artis, setakat ini (pada pandangan penulis) hanya Alif yang mampu mengumpul ramai orang pada satu masa dan di waktu orang sedang enak dibuai mimpi iaitu Subuh.
Keprihatinan Alif mengajak orang ramai terutama anak muda untuk bersolat Subah berjemaah di masjid mendapat pujian ramai.
Menurut Alif, idea untuk mengajak orang ramai berjemaah sewaktu Subuh tercetus selepas dirinya hadir diri ke kelas agama.
“Gerakan Subuh berjemaah ini bermula sewaktu saya sertai kelas agama dan waktu itu tengah hangatnya mengenai isu di Palestin. Waktu itu, ustaz yang mengajar cakap ramai orang selalu tanya dia macam mana orang Islam nak menang dan dia pun tanya satu soalan saja, ‘Kau solat Subuh di masjid tak?’
“Lepas itu ada yang kata tidak sebab takut mengantuk jadi tak solat di masjid. Ustaz tu pun cakap, ‘Macam mana nak lawan Zionis kalau mengantuk pun korang takut?,” kata Alif tentang awalan gerakan yang dilakukannya itu.
Tegas Alif, dia menjadi lebih terkesan apabila terdapat hadis yang menjelaskan ciri-ciri orang munafik ialah mereka yang berat untuk menunaikan solat Subuh dan Isyak.
Akuinya, apabila mendengar hadis tu, terasa hatinya ditikam-tikam kerana dia sering mengajak pengikutnya untuk melakukan senaman pada pukul 5.30 pagi dan kemudian baru menunaikan solat Subuh.
“Itu yang saya ubah aktiviti iaitu solat dulu kemudian baru buat senaman pada waktu pagi. Kita kena betulkan persekitaran itu semula dan sebab itu saya mulakan gerakan solat Subuh berjemaah di masjid ini.
“Alhamdulillah, saya sama sekali tidak menyangka gerakan yang diuar-uarkan di media sosial itu turut disambut baik sehinggakan dipraktikkan oleh beberapa institut pengajian tinggi.
“Rasa sangat bersyukur apabila saya dapatkan gunakan platform media sosial untuk mengajak orang ramai melakukan perubahan sebegitu rupa,” katanya terus terang.
Bagi Alif, gerakan #GengSubuhMacamJumaat yang dimulakannya bukanlah satu bentuk dakwah berat, sebaliknya hanya usaha kecil dalam menjalankan tanggungjawab sebagai umat Islam.
Ujarnya, gerakan yang dilakukan itu bukanlah miliknya secara peribadi, tetapi ia adalah milik setiap individu yang sedang berusaha ke arah memperbaiki diri menjadi umat Islam yang lebih baik.
“Ini adalah rukun Islam kita yang kedua, ini perkara paling asas. Ini bukan soal bijaknya buat gerakan seperti ini, tidak. Ia memang tuntutan agama yang saya rasa, ramai orang Malaysia macam saya juga yang merasakan, inilah perubahan yang mahu dibuat,” akui Alif yang juga aktif bersukan.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.