Dayangku Intan wanita yang berhati waja.

Oleh: Nafsiah Jani

Foto: Ehsan Dayangku Intan/Koleksi Syed Wafa

Dalam hidupnya penyanyi Dayangku Intan tidak habis-habis diuji dengan pelbagai ujian. Tahun 2018 suaminya, Rosman Yahil, 63, menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi terkena kencing tikus, jangkitan merebak ke bahagian buah pinggang membuatkan Dayang mendermakan sebelah buah pinggangnya buat suami tercinta.

Pemilik nama sebenar, Tengku Intan Tengku Abdul Hamid, 58 diuji lagi pada Februari 2020, bila anak ketiganya, Wanku Intan Syarafana Rosman, (waktu itu berusia 23) meninggal dunia akibat komplikasi selepas pembedahan hati. Anak ketiganya ini dilahirkan tanpa hempedu (Biliary Artresi) menerima hati adiknya, Wanku Mohd Ruknuddean.

Album pertama Dayangku Intan bertajuk Secebis Kenangan

Melihat pada penampilannya mungkin ramai yang tidak menyangka bahawa wanita bertubuh kecil ini begitu lantang bersuara. Kini selain menyanyi, Dayangku Intan juga aktif dengan kerja-kerja NGO bagi memperjuangkan hak-hak rakyat yang kini hidup menderita akibat desakan ekonomi negara.

“Aktiviti seharian saya selain menyanyi ialah menyampaikan ceramah atau buat content dalam youtube bagi membantu masyarakat yang terkesan dengan keadaan negara sekarang ini. Saya ambik prinsip, Allah bagi saya tugas kenalah saya terima dan kena kena redha untuk melaksanakan amanah ynag diberi.

“Tugas yang dilakukan mesti ada pengisian bukan buat benda kosong. Dulu saya menyanyi untuk bantu keluarga. Tapi sekarang kuat tak kuat, saya kena teruskan perjuangan walaupun demam dan sakit. Saya bersama gang-gang NGO kami banyak anjurkan program Demi Negara YB Viral yang boleh diikuti di saluran youtube.

Dayangku Intan muncul dengan album keduanya, Semakin Rindu Semakin Sayang yang begitu mendapat sambutan peminat.

“Ni pun saya baru habis buat program tajaan rakyat Demi Negara. Dulu saya berbakti hiburkan orang, sekarang berbakti membantu negara pula,’’ kata Dayangku Intan yang popular dengan lagu duet, Kita Insan Biasa dan Peralihan Zaman gandingannya bersama Jay Jay.

Dayangku Intan merupakan salah seorang penyanyi wanita yang begitu popular pada separuh dekad akhir 80an. Terkenal dengan rangkaian lagu-lagu hits solo dan duet dan sering menjuarai carta radio-radio RTM dengan kemantapan vokalnya yang serak basah dalam menyampaikan lagu-lagu berentak slow rock dan pop rock.

Selain muncul solo, Dayangku Intan juga sering bergandingan berduet dengan penyanyi lelaki popular seperti Jay Jay dan Datuk Zainal Abidin. Dizaman kegemilangannya, Dayangku Intan sebaris nama-nama artis popular sezamannya iaitu Francissca Peter, Datuk Sheila Majid, Ramlah Ram, Azlina Aziz dan ramai lagi yang seangkatan dengannya.

Dayangku Intan turut berlakon dalam filem “Ali Setan 11”.

Menyentuh mengenai dunia nyanyian, Dayangku Intan anak kedua daripada empat adik beradik menyatakan rasa terkilannya dengan pandangan sesetengah orang mengenai mereka sebagai artis-artis lama.

“Macam biasa, saya masih terima banyak undangan menyanyi. Tapi kadang terpaksa ditolak kerana sedih dengan bayaran yang diberikan. Kata kami orang lama…legend… tapi bila bab bayaran kami hanya dijanjikan token saja berbanding artis baru yang sanggup mereka bayar beribu-ribu untuk dua buah lagu.

“Bukan saya cemburu, tapi saya hanya minta mereka ikut harga kami…bukannya mahal sangat. Saya juga hanya minta hormat dan hargailah kami sebagai artis lama. Kata kami legend…tak bolehlah mereka buat kami macam itu. Bukan saya berkira, kadang tu menyanyi percuma pun saya pergi,’’ kata Dayang yang popular dengan lagu Berpaut Di Dahan Cinta.

Dayangku Intan (duduk kiri sekali) bersama gang-gang NGO.

Bercerita mengenai album baru, menurut Dayangku Intan, single terbarunya, Rintihan Pengorbanan pun dah diterbitkan sejak lebih setahun yang lalu.

“Sekarang ini orang suka lagu-lagu lama daripada album terdahulu saya. Rasanya tak perlulah saya nak terbitkan lagu baru lagi. Lagipun lagu-lagu lama saya begitu banyak sekali.”

Sepanjang bergelar artis, Dayangku Intan pernah muncul dengan album Secebis Kenangan (1983) bersama OMRI Records, Semakin Rindu Semakin Sayang (1984) – OMRI Records, Pertanyaan Hati (1986) WEA, Suara Hati (1988) – WEA, Perasaan (1989) dan Cahaya (1992)- WEA.

Penyanyi hebat Dayangku Intan yang mempunyai suara tersendiri.

Manakala mini album pula Suara Hatiku (1994) dan Impian (1995). Single pula Rintihan Pengorbanan (2020) dan Senandung Hari Raya Untukmu (1989)

Selain menyanyi, Dayangku Intan juga pernah membintangi sebuah filem Ali Setan 11.

Dayangku Intan bangkit kerana rakyat

Sebelum ini Dayangku Intan, pernah menjadi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Parlimen Pengerang pada PRU13, Namun Dayang kecundang dalam pertandingan tersebut.

“Nanti kata tak nak bertanding, tiba-tiba saya dicalonkan tak sedap pula. Jadi terpulanglah pada pucuk pimpinan parti. Saya ikut je. Nak ikut saya memang merajuk dengan arena politik tapi memandangkan teruk sangat dunia politik sekarang ini membuatkan saya bangkit semula. Banyak yang nak saya perjuangkan antaranya kebebasan bersuara, membantu rakyat yang susah dan macam-macam lagi yang kami perjuangkan.

Keluarga bahagia Dayangku Intan.

“Saya tak wakili mana-mana pihak sebaliknya kami bangkit sendiri demi rakyat…demi negara. Sudah lebih setahun kami bergerak dan dah banyak program ceramah yang kami anjurkan. Bagi saya ini satu kepuasan dapat membantu rakyat yang susah dan teraniaya.

“Mungkin bakat menyanyi yang Allah bagi saya ni untuk digunakan membantu orang. Takkan dah tua-tua saya nak menyanyi dan menari terkinja-kinja diatas pentas. Allah kurniakan saya bakat menyanyi ini ada tujuannya…iaitu bila saya bersuara, orang kenal saya. Berjaya atau tidak misi saya belakang kira, yang penting saya puas dapat laksanakan amanah yang Allah bagi untuk saya buat,” katanya yang kini tinggal di Ampang bersama keluarganya.

Dayangku Intan, nenek kepada dua orang cucu dan empat anak ini, menambah,“Sebenarnya ramai yang marah dengan kelantangan saya bersuara. Sudah beberapa kali saya dipanggil ke balai untuk memberi keterangan. Tapi saya tak takut kerana saya bukan mencuri, ambik rasuah ataupun bunuh orang. Saya buat semuanya kerana Allah.

“Bila jadi aktivis ini, ada yang marah dan ada cubaan membakar pejabat kami di Taman Melawati. Itu belum lagi bab saya digertak, difitnah, orang gertak nak pukul anak saya dan macam-macam lagi. Namun saya tak peduli kerana saya bergantung dan berlindung pada Allah…itu sebab saya tak takut.”

Previous articleAlif Satar bersih daripada kontroversi, popular kerana bakat
Next articleRahsia Untuk Menjadi Seorang Yang Sukses!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here