Oleh: Wawa Najwa
PENYANYI Ara Johari mengakui yang dia telah jatuh cinta apabila pertama kali mendengar demo lagu “Menjaga Jodoh Orang Lain” (MJOL).
Kata Ara atau nama sebenarnya, Nurfarrah Izzatie Johari, 27, berkata, single berentak balada itu mempunyai keistimewaan tersendiri dan mampu menyentuh jiwa sesiapa yang pernah melalui pengalaman sama.
Memandangkan Ara pernah melalui fasa kecewa dalam percintaan, tidak hairanlah dia dapat mendendangkan lagu tersebut dengan penuh penjiwaan sewaktu rakaman.
“Nak dijadikan cerita, kebetulan pula ketika pertama kali dengan lagu itu, saya sedang patah hati. Bila dengar lagu ini rasa sakitnya menusuk ke hati.
“Saya yakin sesiapa yang mendengar juga tersentuh terutama yang pernah ada pengalaman putus cinta dan bekas kekasih sudah berkahwin dengan orang lain” katanya.
Menjaga Jodoh Orang Lain merupakan lagu ciptaan komposer seberang, Ilham Baso yang sebelum ini pernah menyumbang karya- karyanya kepada penyanyi papan atas Indonesia seperti Judika (Bukan Dia Tapi Aku) dan banyak lagi.
Lebih istimewa lagi, gubahan muzik lagu ini turut mendapat sentuhan daripada penggubah muzik terkenal Indonesia Adrian Rahmat Purwanto.
Manakala, proses rakaman dilakukan di Bro’s Studio di Jakarta dibawah bimbingan vokal stail Bowo Soulmate.
“Saya bertuah dapat bekerja dengan pemuzik-pemuzik handal Indonesia. Ianya merupakan satu pengalaman baru dalam career seni saya. Mereka banyak bekerja dengan nama besar seperti Mahalini, Lyodra dan Keisya Levronka.
“Alhamdulillah urusan rakaman berjalan lancar seperti yang dirancang. Bekerja dengan mereka juga mudah dan pantas” akuinya.
Menjaga Jodoh Orang Lain edaran Universal Music Malaysia ini sudah boleh didengari di semua platform streaming sejak 31 Julai 2024.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.