A.Aida wanita yang berjiwa kental.

Oleh : Nafsiah Jani
Foto: Ehsan A.Aida/ Koleksi Syed Wafa.

Siapa yang tidak kenal pelakon, penulis skrip, pencipta lagu dan penerbit Datuk Zaidah Awang 54, atau nama glamournya A. Aida yang begitu lantang bersuara bila memperkatakan atau membahaskan sesuatu isu. Kelantangannya bersuara membuatkan ramai yang ‘gerun’ dengannya.

Bukan itu saja, selaku penerbit drama dan filem, A. Aida juga mempunyai formula bagi memastikan drama-drama terbitannya menjadi trending. Itu sebabnya, beliau cukup mementingkan penampilan pelakon. Beliau hanya memilih pelakon gred A yang berwajah hensem, kacak, sado, muda, cantik saja untuk berlakon dalam drama-drama terbitannya.

Bertanya wanita hebat, pemilik A. Aida Production Sdn. Bhd. ini mengenai impiannya yang masih belum kesampaian, “Alhamdulillah…apa yang saya hajati, 99 persen Allah dah makbulkan dan satu persen lagi itu adalah kehidupan saya sekarang ini. Sekarang saya dah diberi amanah untuk mengendalikan sebuah stesyen televisyen berbentuk islamik iaitu Salam HD sejak 2016.

“Steysen TV islamik Channel di Unifi TV ini dah nak masuk 10 tahun saya kendalikan. Ini kiranya amal jariah, saham dan bekal akhirat saya nanti bila buat program-program berbentuk keagamaan ini.

“Melalui program islamik yang saya terbitkan, saya harap dapat berdakwah dan memberi industri serta masyarakat sebuah pelajaran dan pengetahuan tentang agama Islam. Kalau nak tengak karya-karya saya yang terbaru, tengoklah Salam HD di saluran 113.

Lagu “Mimpi” ciptaan bersama A.Aida bersama penyanyi Haqiem Rusly memenangi tempat ketiga Anugerah Juara Lagu ke-36 pada 2022.

“Dalam saluran ini terdapat banyak program, dimana 70 persen produk kami berbentuk Islamik. Selain itu, kami juga ada menyiarkan drama, dokumentari, majalah, dan produk-produk dari luar negara.”

Menurut A. Aida lagi, kesibukannya ini membuat dia cukup memilih untuk menghasilkan sesebuah drama.

“Sekarang ini saya memang tak ada masa nak buat atau terbitkan apa-apa produk syarikat lain. Saya hanya buat drama untuk pihak TV3 sahaja sebab kami mempunyai banyak komitmen dan saya tidak mempunyai kakitangan yang mencukupi.”

A.Aida bersama sahabat baiknya, Farahdhiya.

Kata anak kelahiran Kemaman, Terengganu ini lagi, kalau tidak ada halangan dia akan ke Bogor, Indonesia untuk menjaga anak sulungnya itu.

“Kalau jadi, saya akan menjaga anak saya yang kini sedang mengikuti pengajian selama empat tahun di sana (program perubatan veterinar). Kalau ada rezeki saya nak buat sesuatu di Bogor.

“Bogor ini merupakan sebuah tempat yang paling cantik pernah saya melawat dan lihat. Puncaknya itu, macam Cameron Highlands, Taman Safari mereka pula cukup menakjubkan. Dah banyak Taman Safari yang saya lawati di dunia ini tapi Taman Safari di Bogor ini memang tidak dapat ditandingi kerana isinya.

“Dia Menantu Rahsia” antara drama yang diterbitkan syarikat A.Aida yang mendapat sambutan penonton.

“Tempat lain kadang tu hanya ada dua ekor singa, tapi di sini mereka mempunyai lebih 10 ekor singa peliharaan. Unta peliharaan mereka bukannya dua ekor sebaliknya berbelas-belas ekor. Unta-unta yang dipelihara pula memang pelik-pelik dan saya kagum dengan Taman Safari ini. Apa yang boleh saya katakan, saya dah nampak sesuatu disana. Tunggu.”

Sepanjang penglibatannya dalam bidang seni, A. Aida cukup bertuah kerana di anugerahkan pingat kebesaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) pada 2015 yang membawa kepada gelaran Datuk.

“Cinta Kita” antara drama terbitan A.Aida Production Sdn. Bhd.

Selaku penerbit drama, A. Aida banyak menghasilkan drama yang berkualiti dan selalu menjadi siulan peminat. Antara dramanya yang menjadi sebutan ialah Halimah Jongang, Fatimah Juling, Menantu Sepuluh Ribu, Selamat Datang Cinta, Kisah Cinta Kita, Cik Sempurna, Bukan Hanya Sekadar Cinta, Andainya Takdir, Ms Cinta, Cucu Tauke Beras, Dia Menantu Rahsia, Sekali Lagi Cinta Kembali dan banyak lagi.

Selaku penerbit drama, A. Aida yang juga pengarah Urusan A. Aida Production Sdn. Bhd, juga tidak ketinggalan muncul dengan filem pertama terbitan syarikatnya iaitu Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda pada tahun 2020.

A.Aida (dua dari kiri) ceria dihari pernikahan puteri sulungnya.

Sepanjang kerjayanya, A. Aida telah membintangi lebih 100 buah drama dan 3 filem. Selain itu, A. Aida juga pernah mengarahkan beberapa buah drama dan muzik video dan menulis lagu bergandingan dengan Datuk Eddie Hamid. A. Aida juga pernah bekerja di belakang tabir sebagai penolong pengarah dan pengurus penerbitan.

A.Aida juga banyak menghasilkan lagu antaranya Halimah Jongang, Kisah Cinta Kita lagu tema drama Dia Menantu Rahsia nyanyian Hafiz Suip. Malah lagu ciptaannya bersama Haqiem Rusly iaitu Mimpi memenangi tempat ketiga pada Anugerah Juara Lagu ke 36, 2022 (AJL 36).

Tak jumpa jodoh lagi, A. Aida tetap tolak suami orang

Kegagalan empat kali perkahwinannya yang terdahulu sedikit pun tidak membuat A. Aida serik untuk berkahwin lagi jika ada jodoh untuknya. Malah boleh dikatakan sebanyak 80 peratus lelaki yang cuba mendekati dan mengajaknya berkahwin kebanyakannya adalah suami orang.

A.Aida bersama kuda peliharaannya.

“Memang ramai lelaki yang cuba dekati dan ajak saya kahwin. 80 peratus yang datang saya lihat kebanyakannya macam suami orang. Suami orang, memang saya tolak kerana saya tak layak untuk berkongsi suami dengan wanita lain.

“Lagipun saya memang tak mahu menyakiti hati wanita lain. Saya ada segalanya… mengapa saya nak susahkan diri kacau rumah tangga wanita lain. Lebih baik saya cari lelaki solo atau bujang yang boleh jaga dan memahami diri ini,’’ kata A. Aida lagi.

A.Aida menambah, “Saya tak serik nak kahwin lagi. Hingga kini saya masih mencari dan nampaknya masih tak jumpa lagi kerana kebanyakannya tidak menepati kriteria yang saya inginkan. Antara kriteria lelaki pilihan saya, lelaki yang berbadan fit, badan yang sado dan six- pack.

A.Aida (dua dari kanan) bersama rakan artis dan wartawan.

“Berpewatakan menarik, hensem, smart, kemas dan kalau boleh saya suka yang berambut panjang. Lelaki itu yang penting tak ada perut…tidak buncit dan kalau buncit perutnya, memang bye-bye jawabnya.

“Tak dapat badan six- pack pun tak apa. Tapi jangan buncit…ialah takkan nak jalan bergandingan dengan saya sewaktu acara red karpet, penampilannya macam mengandung sembilan bulan.”

Jelas A. Aida lagi, dia juga harap lelaki pilihannya nanti mempunyai pekerjaan dan tidak terlalu bergantung kepadanya.

A. Aida tidak takut dengan dengan cabaran.
Gaya seorang wanita berjaya

“Sekurang-kurangnya bila ada kerja taklah dia selalu minta duit saya. Mula-mula memanglah saya okey, tapi bila dah asyik minta duit… takut abang sayang jadi abang melayang. Kalau ada rezeki, saya impikan suami yang ada pegangan agama dan boleh boleh membimbing saya.

“Saya terlalu memilih kerana… off course…dengan penampilan saya, itu sebabnya saya pun nak juga lelaki yang berpenampilan. Lelaki itu kena rajin ke gym sebab lima hari seminggu saya akan luangkan masa untuk berlatih gym di rumah saya.”

Ditanya tidakkah terlalu lambat untuk mencari lagi jodoh buat dirinya, kata A.Aida ibu kepada Wan Az Aleesa, Wan Az Evanatassha dan Rahul ini,”Bagi saya umur saya hanya sekadar angka. Umur tidak penting kerana semua wanita perlukan teman untuk berbicara, berkongsi cerita dan jalan-jalan ke sana ke mari bersama-sama.

A.Aida bersama anak- anaknya, (dari kiri) Wan Az Aleesa, Rahul, A.Aida dan Wan Az Evanatassha.

Bila anak-anak dah besar, baru terasa sunyinya. Anak sulung dah kawin dan kini tinggal di Bogor, Indonesia, anak kedua sambung belajar dan anak bujang pula suka duduk dalam bilik. Tinggallah emaknya terkontang-kanting sorang diri.”

Kini A.Aida lebih senang menghabiskan masa bersama tiga ekor kuda peliharaannya, hiking bersama kawan-kawan dan juga bermain golf.

 

Previous articleAjai suka cari yang baharu, mudah dibentuk
Next articleJangan Mengeluh!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here