Ajai adalah komposer yang disegani ramai.

Oleh: Wawa Najwa
Foto: Ehsan Ajai/Koleksi Syed Wafa

KETIKA usianya 16 tahun, Mohamad Faizal Maas atau Ajai sudahpun bergelar anak seni dengan menganggotai kumpulan Exists. Exists adalah kumpulan muzik yang dianggotai oleh sekumpulan remaja yang berasal dari Johor Bahru dan Ajai adalah pemain keyboard untuk kumpulan tersebut.

Meskipun penampilan awalnya sebagai pemain keyboard untuk empat album kumpulan Exists, namun Ajai, 49, berjaya mengembangkan bakatnya sebagai penyanyi dan komposer yang disegani.

Selepas keluar daripada Exists pada 1998, Ajai kemudiannya membina kerjaya sebagai penyanyi duet bersama Nurul yang dinikahinya pada 1996 selepas percubaan pertama duet mereka menerusi lagu “Aku Cinta, Aku Rindu” yang dimuatkan dalam album solo Nurul.

Album kedua yang dikeluarkan pada 1993 dan pada tahun ini juga Shah menarik diri sebagai gitaris kumpulan tersebut.

Rentetan daripada sambutan terhadap lagu itu, Ajai dan Nurul terus bersatu dan menjadi pasangan duet yang popular menerusi album sulung gandingan yang berjudul “Sehati Sejiwa” yang dikeluarkan pada 2000.

Album ini mendapat sambutan hebat dengan tiga buah single menguasai carta muzik iaitu lagu “Sehati Sejiwa”, “Maafkanku” dan “Bila Kau Tiada”.

Menyusul kejayaan album pertama mereka mengeluarkan album kedua pada 2002 berjudul “Ajai & Nurul” yang lebih moderate dengan single seperti “Keliru” dan “Lagu Rindu” mendominasi carta muzik. Lagu “Keliru” mencuri tumpuan umum sehingga meraih anugerah juara keseluruhan di Anugerah Juara Lagu ke-17.

Album ketiga yang turut memperkenalkan Ezad sebagai penyanyi utama selepas Mamat keluar daripada kumpulan tersebut.

Pada tahun 2004 pasangan ini menerbitkan sebuah album khas kepada pasangan-pasangan duet terdahulu seperti Allahyarham Datuk Hail Amir & Uji Rashid, Royston Sta Maria & Datuk Francesca Peter dan beberapa lagi. Album berjudul “Seiring Sejalan” berjaya meraih jualan memberangsangkan sekali gus mengukuhkan lagi nama pasangan ini.

Pasangan duo itu sempat menghasilkan empat buah album studio iaitu “Sehati Sejiwa” (2001), “Ajai & Nurul” (2002), “Seiring Sejalan” (2004) dan “Serasi Bersama” (2006).

Album duet pertama Ajai dan Nurul yang dikeluarkan pada tahun 2000.

Bersama Nurul sebelum bercerai pada 2006, Ajai dikurniakan seorang anak perempuan Ayu Nazirah, 26, dan selain itu dia juga mempunyai seorang lagi anak perempuan, Danisha, 14, perkahwinannya dengan Norliza Ilias pada 2009 hingga kini.

Selain mencipta nama sebagai penyanyi duet, Ajai juga bijak mengatur kerjayanya sebagai penyanyi solo dan tampil dengan lagu seperti “Bisikan Asmara” (2001) dan saduran lagu Dewa 19 yang berjudul “Aku Milikmu” (2002).

Populariti Ajai sebagai penyanyi solo terbukti apabila meraih trofi Penyanyi Lelaki Popular (ABPBH) di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2002.

Ajai menghasilkan lagu mengikut kesesuaian seseorang penyanyi.

Ajai mula mencipta nama sebagai komposer apabila karya ciptaannya dinyanyikan oleh penyanyi Rem dalam album “Semua Orang Tahu” (1997). Sejak itu namanya mendapat perhatian daripada penyanyi lain seperti seperti Saleem, Datuk Sheila Majid, Kris Dayanti dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Bersama Siti, Ajai terlibat menerusi tiga buah album iaitu “Pancawarna” (1999), “Safa” (2001) dan “E.M.A.S” (2003) di mana gandingan ini berjaya menghasilkan hits unggul seperti “Kau Kekasihku” dan “Percayalah”.

Ajai bagaimanapun diingati kerana terlibat dalam usaha menjenamakan semula dua penyanyi berbakat iaitu Dayang Nurfaizah dan Ning Baizura. Bersama Dayang, Ajai menerbitkan album dan lagu berjudul “Seandainya Masih Ada Cinta” yang menjadi fenomena pada tahun 2001 sekali gus melonjakkan nama Ajai ke peringkat yang lebih tinggi.

Sering diundang sebagai juri untuk program realiti.

Lagu-lagu popular ciptaan Ajai itu diperdengarkan secara langsung oleh beberapa penyanyi yang pernah mendapat sentuhan karyanya menerusi konsert solo pertamanya, Konsert By Ajai & Mega Friends di Megastar Arena Kuala Lumpur pada 3 Ogos baru-baru ini.

Ajai yang sebelum ini menjayakan konsert bersama rakan-rakan Exists, ternyata terharu kerana kira-kira 4,000 penonton hadir memeriahkan konsert sulungnya itu.

Baginya, kehadiran peminat yang ramai itu ibarat ‘syurga’ buatnya kerana setiap lagu yang dipersembahkan olehnya mahupun penyanyi jemputan turut dinyanyikan oleh penonton.

“Pertamanya, alhamdulillah syukur pada Allah memberikan kesempatan untuk dibawa by Menara Network bersama nama-nama yang besar dalam industri ke pentas konsert byAjai.

Bersama anggota Exists sewaktu mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik PETRONAS.

“Kami daripada team Menara Network, WTBR (Wake The Baby Records) ingin merakamkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga atas ruang dan tanggungjawab yang diberikan pada kami.

“Kami juga menyusun 10 jari mohon maaf atas segala khilaf dan apa-apa saja kesulitan daripada pihak kami sepanjang menjalankan tugas untuk mementaskan konsert ByAjai. Harap semua gembira dengan konsert ini,” kata Ajai sebagai tanda terima kasih kepada yang menjayakan konsertnya itu.

Pada konsert tersebut, Ajai turut mengimbau kembali nostalgia bagaimana dia boleh bekerjasama dengan Allahyarham Siti Sarah Raissuddin untuk lagu “Saat Hilang Cintamu”.

Berjaya memenuhi impian dengan penganjuran Konsert By Ajai & Mega Friends di Megastar Arena Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Lagu “Saat Hilang Cintamu” ini sangat sentimental buat saya. Ini kerana saya amat mengagumi bakat arwah yang cukup luar biasa. Kali pertama mendengar suaranya, saya dapat rasakan arwah mempunyai bakat dan aura tersendiri. Arwah memiliki ton suara rendah dan tinggi yang cukup baik.

“Bercakap mengenai keperibadiannya, saya dan arwah cukup baik. Hinggakan ketika mula bercinta, arwah bawa Shuib berjumpa saya. Namun soal hidup ini hanya Allah sahaja yang tahu. Tuhan lebih menyayanginya,” katanya yang turut tampil berduet dengan Aufahanie menerusi lagu “Keliru” dan “Lagu Rindu” yang juga karya popular duet Ajai bersama Nurul.

Selain Aufahanie, Ajai turut mengundang Aina Abdul untuk mendendangkan lagu “Selagi Ada Cinta” dendangan Ning Baizura yang dihasilkan pada 2003 itu.

Jelas Ajai, beliau menjemput Aina Abdul dalam persembahannya kerana mengagumi bakat penyanyi tersebut yang turut mencipta lagu sendiri.

“Dia adalah pencipta lagu dan penyanyi yang hebat. Saya doakan apa yang kamu (Aina) sajikan dalam dunia ini akan terus sukses,” kata Ajai yang turut berduet dengan Aina menerusi lagu “Hati Ini Telah Dilukai” dendangan asalnya bersama Kris Dayanti.

Poster konsert sulung Ajai yang berlangsung pada 3 Ogos lalu.

Ajai yang sering dipanggil untuk menjadi juri beberapa program realiti mengakui teruja tiap kali diberi tanggungjawab tersebut kerana secara tak langsung beliau dapat mencungkil bakat baharu yang bertanding.

“Kalau boleh saya nak yang fresh. Saya dari dulu suka develop bakat baharu seperti Dayang Nurfaizah (Seandainya Masih Ada Cinta – 2000) dan Siti Sarah. Masa Siti Nurhaliza (Kau Kekasihku – 1998) pun dia fresh lagi waktu tu dan Ning Baizura (Selagi Ada Cinta – 2002), Rem (Semua Orang Tahu – 1997) dan Ila Sabry.

“Sebab itu jugalah saya pilih Aufahanie untuk menyanyikan semula lagu Siti Sarah. Dalam Big Stage saya dah nampak dia punya komersial value. Tak semestinya, kena ambil pemenang sebab pemenang hanya menang untuk pertandingan.

“Saya puas hati dengan cara nyanyian Aufa kerana dia ada nilai komersial yang saya rasa. Apabila kita bercerita tentang komersial bukan hanya pendengaran suara, tapi the whole package of dia punya personaliti, penampilan. Ada orang kadang-kadang kali pertama melihat seseorang, dia akan merasa best atau tak.

“Kalau kita nak mengenali dia bukan untuk diperdagangkan kita boleh ambil masa tapi bila kita nak bisnes, pada saya kali pertama tengok kita dah sedap hati,” kata Ajai tentang pandangannya bila mencungkil bakat baharu.

Ajai bersama Aufahanie, bakat baharu yang dikesannya dalam sebuah program realiti.

Sehingga kini Ajai telah mencipta dan menulis lagu lebih kurang 2,000 hingga 3,000 dan ada juga lirik untuk lagu ciptaannya dihasilkan oleh penulis lirik luar. Malah Ajai kata Ajai, apa yang dipersembahkan pada konsert sulungnya itu hanyalah sebahagian kecil lagu hits ciptaannya.

Ungkapnya lagi, kebanyakan tulisannya tidak berkisar tentang dirinya tapi ada ketikanya lagu tersebut memakan diri sendiri.

“Lirik saya bukan berkisar tentang diri saya tapi kadang-kadang lagu itu memakan diri juga. Macam lagu sebelum “Hati Ini Telah Dilukai”, waktu itu tak cerai lagi. “Aku Cinta Aku Rindu”, banyak lagu makan diri balik itu semua secara tak sengaja.

“Tulisan saya kebanyakan berkisar kepada cerita masyarakat. Mungkin ada penulis menulis berdasarkan pengalaman sendiri, ada yang mungkin universal seperti lagu cinta untuk mak, abang ke, kekasih atau kawan terbuka.

“Saya memang suka menulis sebab saya budak Sastera. Kiranya, saya boleh main dengan ayatlah sebab belajar tata bahasa. Ilmu muzik ini saya belajar di Yamaha, umur 5 tahun saya dah masuk kelas. Bila umur 16 tahun saya dah dapat gred 5 punya ijazah untuk Yamaha. Tapi saya tak sambung Yamaha sebab saya dah ada band.

Antara penyanyi yang diundang menjayakan konsert solo pertama Ajai.

“Boleh buat pelbagai genre as long note itu ada do re me faso la tido. Tapi balada adalah permainan saya. Ada orang pemainan dia mungkin lagu fast, dan ada orang untuk balada. Masing-masing ada trade mark dan kekuatan tersendiri,” katanya yang pernah memikul tanggungjawab sebagai A & R (Artists and Repertoire) di syarikat Warner Music sebelum ini.

Selain mencipta dan menulis lirik untuk karyanya, Ajai juga suka bekerjasama dengan penulis lirik luar yang berpengalaman seperti Datuk Habsah Hassan.

“Saya pernah guna lirik Kak Chah (Datuk Habsah Hassan), S.Amin Sahab dan arwah Loloq kerana lagu saya bergantung kepada lirik. Saya pilih mereka sebagai penulis lirik sebab kadang-kadang saya bermain dengan kata-kata tata bahasa dan saya rasa ada sesetengah lagu saya nak tata bahasa lagu ini lagi mendalam. Jadi saya guna Kak Chah, Loloq, Ad Samad dan Lukhman S.

“Bila kita dah masuk industri, kita nak juga bekerjasama dengan nama yang tersohor ini. Nama yang kita pernah dengar dulu, macam kak Chah tulis lirik untuk Sudirman Hj. Arshad. Lukhman S tulis untuk Gersang, jadi saya nak tahu macam mana lirik mereka. Saya pun ada lirik arwah Mama Juwie dan arwah Huzz. Saya sempatlah bekerjasama dengan insan-insan yang saya membesar,” katanya bangga dapat bekerjasama dengan penulis hebat.

Bersama isteri dan dua anak kesayangan.

Tatkala ditanya dalam simpanannya ada berapa banyak lagu atau setiap lagu dicipta khas untuk si penyanyi. Kata Ajai, beliau mencipta sesuatu lagu bukan untuk simpanan.

“Saya create lagu itu sebab ciptaan saya bukan berdasarkan gedung. Artis tu datang, saya akan bagi satu lagu saja kepadanya. Saya tak akan bagi dua tiga sebab orang kata penyanyi itu boleh buat pilihan tapi pada saya tak ada pendirian tepat kepada writer (pencipta) itu sendiri.

“Dia tak percaya pada lagu dia sampai nak kena bagi dua tiga lagu. Kalau saya klien, saya risau sebab ada banyak lagu mana satu nak pilih. Biar satu saja, biar muktamad, itu adalah daripada writer yang kita cipta ikut outfit kelebihan penyanyi itu berdasarkan higher dan low note penyanyi itu. Sebelum cipta lagu, kita kena buat kajian duu terhadap penyanyi tersebut,” jelas Ajai tentang cara dia bekerja.

Melihatkan sambutan yang hebat untuk konsert sulungnya itu, tidak mengejutkan kalau akan ada Konsert By Ajai & Mega Friends 0.2. Bukan setakat Hafiz Suip, Hazama, Ila Sabry, Dayang, Siti Nurhaliza dan Ning Baizura yang menyanyikan lagu ciptaan Ajai, malah ramai lagi. Mungkin untuk konsert seterusnya, akan ada penyanyi lain yang bakal tampil.

Previous articleCara-cara hilangkan parut
Next articleA.Aida gembira 99 peratus impiannya tercapai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here