Oleh: Wawa Najwa
MESKIPUN sekarang ini muzik di peringkat global dikuasai oleh irama K-Pop namun penggemar irama Bollywood masih ada di mana-mana saja.
Antara penyanyi Bollywood yang menonjol pada era ini adalah Arijit Singh, di mana suaranya sering diguna sebagai penyanyi latar untuk filem-filem Hindi lakonan aktor antaranya, Shah Rukh Khan, Akshay Kumar, Aditya Roy Kapur dan Saif Ali Khan.
Jika sebelum ini asyik dengar suaranya saja, kini adalah masanya untuk anda menonton penyanyi berusia 37 tahun itu melontarkan vokalnya di hadapan anda.
Penyanyi lagu “Janam Janam” dan “Gerua” bersama Antara Mitra dari filem “Dilwale” yang dihasilkan pada 2015 pasti membuatkan penonton terbuai mendengar suaranya jika hadir konsert ‘Arijit Singh Live In Malaysia’ pada 16 November ini, di Axiata Arena Bukit Jalil.
Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group, Rohit Rampal selaku penganjur konsert (Hitman Solutions) telah bekerjasama dengan penganjur dari Australia, Cinestar Events, untuk membawakan penyanyi ‘playback’ terkenal Bollywood itu.
“Ini merupakan kali ketiga Arijit Singh datang ke Malaysia untuk membuat persembahan setelah hampir 10 tahun, di mana konsert terakhirnya diadakan pada tahun 2014 yang lalu di Dewan Wawasan Convention & Exhibition Centre dengan sambutan yang luar biasa.
“Ramai peminat dari seluruh dunia terutamanya di Malaysia yang menantikan kepulangan beliau sejak sekian lama dan saya jangkakan konsert kali ini pasti menjadi sebuah pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” kata Rohit.
Beliau juga berharap peminat Arijit Singh bersedia untuk memenuhi setiap ruangan Axiata Arena demi menyaksikan artis fenomena Bollywood ini.
“Buat sekian kalinya dengan himpunan lagu-lagu terbaharunya di lokasi yang lebih besar, dan kami janjikan persembahan yang bertenaga dengan pengalaman yang istimewa.
“Konsert kali ini bakal menjadi konsert Bollywood terbesar di Malaysia buat tahun 2024, dengan menampilkan lagu-lagu klasik dan popular daripada Arijit Singh sejak sedekad lalu. Kami ingin memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati setiap aspek konsert ini dari muzik sehingga ke produksi pementasan,” jelas Rohit.
Sementara itu, Cinestar Events merupakan penganjur konsert Bollywood terkemuka di Australia, terkenal dengan kemahiran mereka dalam menganjurkan acara spektakular yang menampilkan nama-nama besar dalam industri hiburan Bollywood.
Dengan pengalaman lebih daripada 17 tahun dan lebih 100 pertunjukan, senarai acara mereka termasuk bintang-bintang Bollywood seperti Salman Khan, Sonakshi Sinha, dan ramai lagi.
Menurut Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif Cinestar Events, Yogesh Sharma, berkata, pihaknya telah menganjurkan lebih daripada seratus acara Bollywood di Australia dan kini mahu membawa keajaiban Bollywood ke kawasan baharu.
“Bekerjasama dengan Hitman Solutions, yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam penganjuran acara Bollywood di Malaysia, membuktikan dedikasi kami untuk mencipta acara yang akan menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
“Bersama-sama, kami teruja untuk menggabungkan kepakaran dan semangat kami untuk menghasilkan konsert Bollywood paling spektakular di Malaysia setakat ini,” akuinya.
Tarikh pra-jualan tiket Arijit Singh Live In Malaysia akan bermula pada 2 September 2024 (Isnin) pukul 12 tengah hari, dan jualan tiket umum akan dibuka pada keesokan harinya pada 3 September 2024 (Selasa) bermula pukul 12 tengahari di laman web www.hitmanlive.com
Jualan tiket tersedia dalam kategori: Silver (RM298), Gold (RM398), Platinum (RM598), Diamond (RM698), VIP (RM788), VVIP (RM988) dan MIP (RM1,188).
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.