Oleh: SYED WAFA
Foto: KOLEKSI SYED WAFA
BAGAIKAN sudah menjadi tradisi di negara kita setiap kali para karyawan seni samada penyanyi, pelakon atau pencipta lagu terkenal meninggal dunia akan ‘keluarlah’ berita dengan ayat yang sangat klise dan membosankan!
Tanpa rasa bersalah ayat-ayat klise seperti ‘hari ini kita kehilangan sebutir bintang…bla…bla…bla’ akan disiarkan di televisyen setiap karyawan seni meninggal dunia tanpa rasa bersalah!…Hakikatnya kita sendiri yang pinggirkan mereka sebelum mereka pergi buat selama-lamanya.
Kenapa pihak tertentu yang berwajib tidak mengenang atau memberi penghargaan sewajarnya kepada ‘bintang’ yang telah menyinari dunia seni hari ini dengan bakat anugerah-Nya sama ada sebagai pelakon, penyanyi atau pengarah?
Apakah bakat dan nama mereka hanya akan diingati apabila telah tiada?
Bila bercakap mengenai bintang, saya teringat dengan ‘sebutir bintang ini’ yang lahir dari darah seni ayah dan ibunya iaitu Allahyarham Biduan dan Seniman Datuk Ahmad Daud dan Allahyarham Primadona Datin Saadiah.
Itulah Fauziah Ahmad Daud atau lebih mesra disapa Kak Ogy ‘bintang’ yang telah mewarnai industri filem tempatan sejak lima dekad lalu dengan filem pertama lakonannya “Hati Batu” pada usia 11 tahun.
Selain Ogy, “Hati Batu” arahan M. Amin yang diterbitkan Cathay Keris pada tahun 1973, dengan pelakon utamanya Latifah Omar, S. Azam, Fazal Ahmad Daud dan Siti Tanjung Perak membuktikan beliau bukan setakat penyeri sesebuah filem.
Sebaliknya bakatnya itu telah membawa Kak Ogy membintangi sebuah filem airmata “Permintaan Terakhir” arahan Jamil Sulong terbitan Merdeka Film Productions pada tahun 1975.
Selain Kak Ogy sebagai Salina/ Lynn turut berlakon dalam filem berkenaan adalah Uji Rashid, Sony Abdullah, Saadiah, Ahmad Daud dan Nozie Nani.
Menjejaki kejayaan Kak Ogy dalam bidang lakonan, beliau dikatakan menerima 12 anugerah dalam pelbagai kategori sebagai pelakon filem dan drama sepanjang lima dekad penglibatannya sebagai pelakon!…Satu pencapaian yang hebat dan wajar digelar “Living Legend” seorang legenda yang masih hidup dan aktif dalam dunia seni yang diceburi oleh beliau.
Pada tahun 1979, ketika usianya 17 tahun, Kak Ogy diberi watak utama sebagai Hasnah dalam filem “Ceritaku Ceritamu” arahan ibunya, Saadiah.
Kak Ogy bukan sahaja berjaya menghayati watak Hasnah, gadis kampung yang bercita-cita tinggi dalam bidang fesyen yang sanggup meninggalkan keluarga demi impiannya malah lakonannya itu telah melayakkan beliau memenangi Anugerah Pelakon Harapan pada Festival Filem Malaysia Pertama (FFM1) pada tahun 1980.
Bermula dari itu, satu demi tawaran berlakon filem diterima dan sepanjang lima dekad Kak Ogy telah membintangi hampir 40 filem dengan kebanyakannya diberi peranan utama.
Lakonan Kak Ogy dalam filem “Ali Setan” sebagai Asmidar, siswi sebuah universiti di utara tanahair bukan sahaja telah meletakkan namanya sebagai artis remaja yang berbakat dan diminati malah ia juga mencatatkan kejayaan manis buat Kak Ogy.
Filem terbitan Amir Communications pada tahun 1985 dengan cerita asal dan skrip oleh Osman Abadi yang diarahkan Jins Shamsuddin dan produsernya, Harun Hassan filem yang turut dilakonkan oleh Azmil Mustapha, Izi Yahya, Liza Abdullah, Ebby Saiful, Shah Rezza dan Sheila Majid bukan sahaja telah melonjakkan nama pelakon berbakat ini malah ia telah melayakkan Kak Ogy menerima Anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-6 yang berlangsung pada 14 Disember 1986 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Kejayaan Kak Ogy bukan terhenti setakat itu, malah pada FFM7 pada tahun 1987, Kak Ogy sekali lagi dianugerahkan Pelakon Wanita Terbaik kerana lakonannya sebagai Puteri dalam filem arahan Rahim Razali “Puteri.”
Lakonannya sebagai Mak Piah dalam filem “Langit Cinta” arahan Osman Ali terbitan Nuansa Sdn. Bhd. pada tahun 2016 telah melayakkan Kak Ogy dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-28 yang berlangsung di Dewan Plenary, Kuala Lumpur Convention Centre pada 3 September 2016.
Bukan setakat itu sahaja, malah dua kali Kak Ogy menerima anugerah yang dipertandingkan di TV3 dengan yang pertama pada Anugerah Skrin 2008 sebagai Pelakon Wanita Terbaik (drama) kerana lakonannya yang penuh penghayatan dan berkesan dalam drama “Suara Saleha.”
Kak Ogy sekali lagi mencatatkan kenangan manis apabila lakonanya sebagai Mak Piah dalam filem “Langit Cinta” telah melayakkan beliau menerima anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (filem) pada Anugerah Skrin 2016.
Sementara itu, Kak Ogy mencatatkan kenangan manis apabila tiga kali menerima Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) iaitu bagi kategori Pelakon Filem Wanita Popular dan Bintang Paling Popular pada tahun 1987 dan Anugerah Sepanjang Hayat pada ABPBH 2015.
Sementara itu, KakOgy turut mencatat kenangan manis apabila memenangi dua anugerah anjuran RTM iaitu Anugerah Tribute P. Ramlee 2015 sebagai Pelakon Wanita Terbaik dan Anugerah Sri Angkasa 2016 bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik Drama TV.
Pada Tellygeram Awards 2020, Kak Ogy dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
Populariti Kak Ogy bukan setakat memenangi anugerah yang dipertandingkan malah beliau adalah pelakon Malaysia yang telah berjaya mencatat sejarah apabila diundang berlakon empat filem usahasama Malaysia-Indonesia iaitu “Gadis Hitam Putih” (1985) arahan Wahyu Sihombing dilakonkan Fauziah Ahmad Daud, Lydia Kandou, Deddy Mizwar dan Azmil Mustapha.
Dewi Cinta” terbitan tahun 1986 arahan Abdi Wiyono dilakonkan Fauziah Ahmad Daud, Richie Ricardo dan Azmil Mustapha.
Filem “Bayangan Cinta” arahan Abdi Wiyono dilakonkan oleh Lydia Kandou, Fauziah Ahmad Daud dan Eman Manan.
Sementara “Bayi Tabung Uji” (1988) arahan Nurhadie Irawan dibintangi Widyawati, Assila Amer, Deddy Miswar, Aziz Singah dan Fauziah Ahmad Daud.
Walaupun tidak dinafikan sebagai anak seni, Kak Ogy telah mencatatkan banyak kejayaan tetapi setelah rumahtangga yang dibina pada 23 Disember 1990 dengan Eman Manan berakhir dengan perceraian pada 2 Julai 2003.
Mengenali Kak Ogy yang kini hidup bahagia bersama permata hatinya, Nur Aminah Aishah, 16 tahun.
Bagaimanapun apabila bercakap tentang tugas dan tanggungjawab, saya amat menghormati sikap profesional beliau apabila menyentuh soal kerja.
Saya amat bertuah kerana pernah bertugas sebagai Pengarang (Editor) Majalah ‘OhGee’ milik Kak Ogy bersama adiknya Faizal Ahmad Daud (Boy). Sebagai pemilik majalah berkenaan Kak Ogy tahu apa yang dia mahukan dan beliau banyak mengajar
saya untuk menjadi seorang Pengarang yang profesional yang mana beliau sentiasa mengutamakan kualiti.
Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan Kak Ogy sentiasa dirahmati oleh Allah SWT…Amin.
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.