Oleh: Wawa Najwa
PEMINAT-PEMINAT filem Hindi mesti tak sabar nak dengar lagu-lagu runut bunyi filem kegemaran anda dinyanyikan secara langsung oleh penyanyi sebenar.
Meskipun penyanyi latar lagu Hindi meminjamkan suara mereka kepada aktor atau aktres yang beraksi di dalam filem berkenaan, namun nama mereka tetap juga dicari pendengar dan penggemar lagu Bollywood.
Jika anda suka dengan lagu-lagu seperti “Mehndi Laga Ke Rakhna” “Akele Hum Akele Tum”, Dil To Pagal Hai”, “Bholi Si Surat” dan “Kaho Naa Pyaar Hai”, anda pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menonton konsert “A Lovely Night with Udit Narayan”.
Ini kerana pada konsert tersebut penyanyi latar filem Bollywood tersohor, Udit Narayan yang bersuara merdu itu akan memperdengarkan lagu-lagu kesukaan anda secara langsung di pentas.
Udit, yang bakal mencecah usia 69 tahun pada 1 Disember ini bakal membuai perasaan anda dengan lagu-lagu nostalgia sempena konsert “A Lovely Night with Udit Narayan” di Setia Spice Arena, Pulau Pinang pada 28 November 2024.
Kehadian penyanyi yang berkemampuan mendendangkan lagu dalam beberapa bahasa seperti Tamil, Bengali, Telugu, dan Kannada, itu dibawa khas oleh Filloz International dan LR Asia selaku penganjur.
Udit telah meminjamkan suaranya kepada ramai ikon Bollywood, antaranya Shah Rukh Khan, Amir Khan dan Amitabh Bachchan. Sepanjang tiga dekad kariernya, Udit telah menyanyikan lebih 25, 000 buah lagu dalam lebih 36 bahasa sehingga membuatkan dirinya berjaya mendapat 22.3 juta pendengar di Spotify dan juga memenangi pelbagai anugerah.
Udit mula dikenali pada tahun 80-an dengan lagunya “Papa Kehte Hain,” yang telah berjaya membuatnya memenangi anugerah ‘Filmfare’ yang pertama. Persembahan Udit bagi soundtrack “Qayamat Se Qayamat Tak” juga telah mengukuhkan lagi kemasyhuran namanya di Bollywood yang membawa kepada peningkatan jualan dan pujian ramai peminat Bollywood.
Beliau juga sering bergandingan dengan penyanyi lain seperti Alka Yagnik, Lata Mangeshkar dan Kumar Sanu. Antara filem-filem popular yang mengambil mereka sebagai penyanyi latar adalah “Kuch Kuch Hota Hai”, “Dil To Pagal Hai”, “Mohabbatein”, “Kaho Naa Pyar Hai” dan “Kabhi Khushi Kabhie Gham”.
Suara Udit juga menjadi pilihan pengarah muzik sehingga beliau berpeluang bekerjasama dengan ahli muzik terkemuka seperti Anu Malik, Jatin Lalit, A. R. Rahman, Rajesh Roshan, dan Shankar Mahadevan.
Suaranya juga berjaya menghiasi filem-filem pengarah hebat seperti Yash Chopra, Sanjay Leela Bhansali dan Karan Johar. Udit juga diraikan sebagai Raja Melodi dengan 21 lagunya dipaparkan dalam 40 Lagu Terbaik Bollywood Sepanjang Zaman di BBC.
Tiket-tiket dijual bermula 28 Ogos lalu di ubertickets dengan adanya harga jualan awal istimewa beserta diskaun sebanyak 10% hingga 16 September ini. Harga tiket akan kembali normal pada 17 September 2024. Dapatkan tiket anda sekarang di https://uditnarayan.ubertickets.asia
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.