Oleh: Wawa Najwa
MULAI 23 September ini menerusi saluran Astro Ria untuk Slot Tiara, penonton dapat menonton drama rangkaian 40 episod iaitu ‘Ternyata Sebuah Bahagia’, lakonan Zamarul Hisham, Sarimah Ibrahim dan Elvina Mohamad.
Drama drama terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd., yang diarah oleh Nur Ain Sharif itu memilih lagu “Perisai Cinta” dendangan Liza Hanim sebagai runut bunyi.
Pemilihan Liza untuk menyanyikan lagu itu memang tepat kerana beliau memang mampu membawa lagu-lagu bergenre balada dengan baik.
Berkongsi erti di balik lagu ciptaan dan lirik oleh Omar K bersama Shazriq Azeman, Liza berkata, sudah lama beliau ingin menyanyikan lagu ciptaan Omar K.
“Saya memang dah lama ingin menyanyikan lagu-lagu Omar K kerana muzik beliau seiring serta sesuai dengan zaman dan bersifat kekinian namun peluang itu tidak pernah ada sebelum ini.
“Jadi saat dapat berkolaborasi buat pertama kali, saya begitu teruja dan gembira. Apatah lagi ini kali pertama bertemu dengannya. Kalau Shazriq Azeman pula, saya pernah berjumpa dengannya di pentas “All Together Now”, namun ini kali pertama juga kami bekerjasama,” jelas Liza.
Tambah, lagu “Perisai Cinta” adalah suara hati watak wanita utama drama tersebut yang bernama Janice, lakonan Sarimah.
“Namun bagi saya lagu ini mempunyai dua maksud. Interpretasi saya mungkin berbeza kerana saya melihatnya sebagai sebuah lagu yang mempunyai pesan ketuhanan.
“Lagu ini menjelaskan bahawa dalam setiap kesusahan dan setiap yang kita lakukan, kadangkala kita lalai dan kita rasa seperti kita perlu bergantung pada seseorang manusia. Dalam lagu ini manusia yang dimaksudkan itu adalah seorang lelaki harapan watak wanita utama tersebut.
“Namun kala dia sedar bahawa lelaki itu juga punya nafsu dan mampu lalai dan alpa, dia akan sedar satu-satunya tempat bergantung adalah Allah Taala dan bukan manusia biasa,” hurai Liza tentang pandanganya mengenai lagu tersebut.
Kata Liza sewaktu rakaman, beliau tidak menghadapi masalah dan selesa bekerjasama dengan Omar K dan Shazriq Azeman kerana masing-masing sangat menghormati dan berbudi bahasa.
“Jadi rakaman berjalan dengan sangat lancar dan mudah. Lagipun saya datang dengan penuh semangat seperti setiap rakaman saya sebelum ini. Saya sudah hafal lagu dan faham jalan ceritanya.
“Alhamdulillah, semua berjalan lancar dan saya anggap lagu ini ada keajaiban tersendiri kerana ia begitu cepat untuk diselesaikan. Saya dapat menangkap intipati lagu ini dengan cepat dan sekitar 45 minit sahaja semuanya sudah selesai,”tambah Liza lagi.
Harapan Liza adalah semoga lagu ini mendapat sambutan dan mampu memberikan kesan kepada semua yang mendengar, khasnya para peminatnya yang sedia ada dan mungkin peminat-peminat baharunya.
Lagu “Perisai Cinta” boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music sejak 6 September lalu.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.