Queen of Soul ..gelaran yang yang selayaknya bagi Azharina.

Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Azharina/Koleksi Syed Wafa

Setiap orang mempunyai impian dan harapan untuk masa hadapan. Dan sekiranya diberi peluang, andai dapat diputarkan waktu ada yang memilih untuk kembali ke masa lampau dan ada juga yang memilih untuk bertahan seperti waktu seadanya.

Begitulah dengan penyanyi Azharina Azhar,39, anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini yang mengakui andai dapat diputarkan kembali waktu, tiga perkara akan diperbetulkannya yang juga digelar Queen of Soul ini.

Azharina bersama bapanya tercinta semasa kecil.

“Andai dapat diputarkan waktu…tiga perkara yang Nina nak betulkan semula antaranya bertahan dalam rumah tangga. Nina tidak akan buat kesilapan yang pernah Nina lakukan. Nina akan bertahan dan akan pertahankan rumah tangga kami. Itulah personal regret yang terbesar dalam hidup yang Nina telah lakukan.

“Tapi Nina bersyukur, walaupun dah bercerai namun hubungan Nina dengan bekas suami masih lagi baik sebagai kawan baik hingga sekarang ini. Jadi Nina tak rasa sebarang kekosongan dalam hidup ini kerana ia telah ditutupi dengan kehadiran dua anak Nina…jadi tidaklah Nina terasa sangat `kehilangan’ tersebut.

Kenangan…Azharina dan adiknya bersama kedua ibu bapanya.

“Semakin berusia ini baru Nina sedar, yang Nina perlu belajar banyak bersabar dalam hidup ini,’’ kata Azharina yang lebih senang membahasakan dirinya dengan nama Nina.

Sebelum ini Azharina pernah berkahwin dengan ahli perniagaan dari Kelantan, iaitu Datuk Shukri Mohamed pada 2005 dan bercerai pada 2008.

Menurut Nina anak sulung daripada empat adik-beradik ini lagi, penyesalan keduanya kerana tidak berhijrah keluar negara sewaktu ada peluang untuknya melebarkan sayap dalam bidang seni.

Persembahan mantap Azharina sewaktu bergelar Juara Bintang RTM.

“Kalau dapat putar waktu, Nina akan kaut semua peluang yang Nina dapat. Waktu tengah popular dulu, Nina pernah dapat tawaran untuk lebarkan sayap keluar negara. Tapi waktu itu Nina bertahan nak menyanyi di Malaysia memandangkan permintaan terhadap Nina terlalu banyak dengan persembahan pentas.

“Selain itu, Nina bersyukur kerana dapat bertahan lebih 20 tahun dalam industri hiburan. Tambah pula Nina ini antara artis kelahiran Sabah yang mampu bertahan lama dalam bidang ini. Mungkin bagi sesetengah artis, ini satu pencapaian kecil tapi buat diri Nina ini satu pencapaian besar untuk diri sendiri.”

Azharina mula menceburi bidang sejak sejak tahun 2001 ketika usianya baru menginjak 16 tahun. Ketika menyertai Pertandingan Bintang RTM , Azharina menjadi juara Bintang RTM 2001 dimana saingannya pada waktu itu adalah Misha Omar, Siti Sarah Raisuddin, Asmidar, Farawahida dan Amir Sofazr.

Album pertama yang turut menggunakan namanya Azharina sebagai tajuk album.

Azharina mewarisi bakat daripada datuknya Allahyarham Datuk Hj. Ahmad Mohd. Yassin (M.Y. Ahmad), seorang penyanyi lagu-lagu asli terkenal di Sabah.

Apabila keputusan SPM diumumkan, Azharina mendapat kelulusan yang cemerlang sehingga ditawarkan biasiswa oleh Kerajaan Sabah untuk melanjutkan pengajian di New York University dalam bidang muzik. Tetapi Azharina terpaksa menolak kerana harus bekerja untuk menyara tiga adiknya dan ibu, Azizah Ibrahim.

Kehebatan vokalnya tidak perlu dipertikaikan lagi dimana daripada lebih 108 pertandingan nyanyian yang disertainya sejak berusia 5 tahun, Azharina sentiasa bergelar juara dalam sebanyak 105 yang disertainya.

Wajah ceria Azharina (tengah) sewaktu bergelar juara Gegar Vaganza di samping sahabatnya Allahyarham Siti Sarah dan Zarul Umbrella.

Antara pencapaiannya adalah bergelar Juara Bintang RTM 2001, lagu Elergi Sepi menang sebagai Lagu Pop Pilihan dalam Anugerah Era 2005 dan menjadi naib juara sebagai Lagu Terbaik dalam Hitz 1 TV 1 pada 2006, Juara GV3 pada 2016 dan tercalon sebagai Penyanyi Wanita Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2017 (ABPBH).

Walaupun namanya turun seketika namun melalui program realiti Gegar Vaganza 3 (GV3) 2016, menjadi titik permulaan kariernya untuk kembali bersinar kembali bila Azharina bergelar Juara GV musim tersebut.

Azharina merupakan album pertama Azharina yang diterbitkan pada tahun 2003 selepas beliau bergelar Juara Bintang RTM. Beliau popular melalui lagu Elegi Sepi, seterusnya mulai terkenal dengan beberapa hits single beliau antaranya Rawan, Rasa, Tsunami Kasih dan banyak lagi.

Anak kelahiran Sabah yang mampu bertahan lebih 20 tahun dalam industri seni.

Azharina sedih kenangkan nasib anak-anak bila ketiadaannya nanti.

Seperti semua tahu, Azharina pernah membuat pengakuan dirinya yang sedang menghidap penyakit kanser dan terbaru barulah pasti jenis kanser rahim yang dideritai Azharina.

“Sejujurnya Nina memang dah tak mahu bercakap lebih panjang mengenai penyakit ini. Nina mahu orang bercakap lebih mengenai karier berbanding cerita sakit yang Nina hadapi sekarang ini

“Nina tak mahu ada perasaan simpati dan kesian. Tapi biasalah itu naluri seorang manusia. Tapi Nina memilih untuk jadi seorang yang positif bercakap tentang kerja dan Nina akan terus bekerja hingga akhir hayat.

Azharina artis yang berani tampil dengan pelbagai rekaan unik.

“Kini Nina masih buat rawatan kimoterapi dan Allhamdulillah setakat ini semuanya berjalan dengan baik. Nina sentiasa berfikiran positif. Sambil buat rawatan, Nina juga akan menjalankan tugas menyanyi seperti biasa kerana inilah perkerjaan Nina selama ini untuk menyara anak-anak dan keluarga Nina,’’ kata Azharina lagi.

Azharina menambah, selepas buat rawatan dia selalu mengasingkan diri daripada anak-anaknya.

“Anak-anak Nina masih kecil lagi, Rahmat Azharin Aziz, 10, dan Redha Azharin 7 dan mereka perlukan mama dalam hidup mereka. Ialah budak-budak, apa yang mereka faham tentang sakit ini sebab mereka masih terlalu muda untuk mengerti penyakit yang mama mereka hidapi.

“Masa doktor sahkan Nina hidapi kanser rahim, Nina terdiam seketika dan dalam kepala Nina terbayangkan wajah anak-anak sebab mereka masih perlukan kasih sayang Nina. Waktu tu Nina rasa dunia `runtuh’ fikirkan masa depan anak-anak.

Mama penyayang kepada Rahmat Azharin dan Redha Azharin.

“Lagipun anak-anak Nina tak ada sesiapa orang yang boleh menjaga dan bertanggungjawab terhadap mereka, kecuali pembantu Nina, Ani.

Sebenarnya memang sukar nak buat keputusan…apa yang perlu dilalui. Jika ada kebarangkalian yang tidak diingini apa yang mampu Nina lakukan untuk anak-anak dan Nina selalu berbincang dengan Ani.

“Kadang-kadang tu, balik dari rawatan, Nina akan mengasingkan diri dan tidur berasingan dengan anak-anak. Nina tak mahu mereka nampak kesakitan yang Nina alami kerana takut pelajaran anak-anak akan terganggu,’’ kata Azharina yang kini sedang sibuk dilokasi penggambaran.

Tahun depan Azharina bakal muncul dengan single terbaru bersama penyanyi Singapura, Nana Karia. Selepas itu akan muncul juga single terbaru solonya lagi.

Azharina terus bersinar dalam dunia seni tanah air.

Bercakap mengenai impiannya yang belum kesampaian lagi, jelas Azharina lagi,“Boleh kata semua impian Nina dah tercapai, cuma yang belum tercapai lagi ialah dapat menyanyi diluar negara. Ada sesetengah orang itu bertuah dan ada juga yang tidak. Ialah kita tidak tahu rezeki kita. Sekarang bukan faktor umur jadi penghalang macam dulu -dulu…sekarang rezeki kita… kita tak tahu.

“Mungkin di masa akan datang ada rezeki Nina nak lebarkan sayap ke luar negara. Kalau tak pun Nina nak anak-anak belajar hingga ke peringkat tertinggi dan belajar di luar negara. Itulah impian Nina sekarang ini, nak lihat kejayaan anak-anak. Tapi tak tahulah Nina sempat tengok atau tidak dan selalu berdoa agar Nina sihat hendaknya.”

Previous articleFaizal Hussein diingati kerana lakonan hebat, basikal BMX!
Next articleBukan Senang Untuk Berjaya!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here