Oleh: Wawa Najwa
Foto: Ehsan Faizal Hussein/Koleksi Syed Wafa
JIKA aktor Jackie Chan terkenal dengan seni pertahanan diri kung fu, manakala seorang pelakon Malaysia ini pula sinonim dengan jenama sebuah basikal.
Aksi pelakon Faizal Hussein menunggang basikal BMX Apollo dalam filem “Bujang Selamat”, arahan Z.Lokman yang diterbitkan pada 1985 itu masih diingati hingga kini. Gara-gara filem tersebutlah basikal BMX menjadi pilihan ramai pada ketika itu.
Selain filem “Bujang Selamat”, nama Faizal juga cukup popular menerusi watak Azroy dalam “Gila-Gila Remaja”, filem komedi romantik yang diarah oleh Allahyarham Hussein Abu Hassan pada 1986.
Faizal atau nama penuhnya Mohd Faizal Hussein, 57, telah memulakan kerjaya seni lakonnya sejak usia lima tahun hingga kini masih lagi bertahan dalam bidang lakonan walaupun wajah-wajah baharu muncul.
Karya pertama lakonan Faizal sebagai pelakon kanak-kanak adalah menerusi filem “Darah Panglima” arahan S. Kadarisman, keluaran 1972. Selepas itu, peluang untuknya terus mendatang dan beberapa filem yang mengetengahkan beliau sebagai pelakon kanak-kanak adalah “Penyamun Si Bongkok” sebagai Ladim/Putih (1973) dan “Bunga Padi Berdaun Lalang” (1975).
Bagaimanapun anak kepada pasangan aktor dan aktres Hussein Abu Hassan dan Allahyarhamah Mahyon Ismail itu berhenti seketika kerjaya lakonan bagi memberi tumpuan kepada pendidikannya di sekolah.
Faizal kembali beraksi di layar lebar sewaktu berusia 15 tahun menerusi filem “Senja Merah” menerusi watak Anuar arahan bapanya. Ia merupakan filem pertama lakonannya sebagai pelakon sebaik sahaja meningkat alam kedewasaan.
Beliau yang berlakon sebagai Eddie, teman lelaki penyanyi rock Ella dalam filem “Bayangan Mau” (1991) arahan Datuk Yusof Haslam itu adalah sepupu kepada Datuk Rosyam Nor dan mereka pernah berlakon bersama dalam filem aksi thriler, “Kanta Serigala” sebagai Zarul.
Populariti anak bongsu daripada tiga beradik itu bukan saja menarik perhatian penonton tempatan, malah beliau turut ditawar berlakon filem kerjasama antara Hong Kong dan Malaysia, “Fighting Madam 2”, arahan Teresa Woo lakonan Moon Lee, Elaine Lui dan Alex Fong pada 1988. Pada 1989, Faizal muncul dalam filem Indonesia berjudul “Misteri Harta Karun” dengan melakonkan watak Ganda.
Selain itu, beliau turut diberi watak penting dalam siri televisyen British-Amerika, “Strike Back” yang menjalani penggambaran sepenuhnya di Malaysia.
Sejak memulakan kerjaya lakonannya pada 1972, hingga kini Faizal telah berlakon lebih 60 filem dan ratusan drama serta telefilem. Namanya masih relevan hingga kini kerana Faizal adalah salah seorang pelakon lelaki Malaysia terbaik dalam generasinya dan sering mendapat perhatian umum.
Dek pengalamannya itulah, Faizal yang pernah menjadi pengacara program “Jejak Rezeki” sebanyak 13 episod pada 2017 tidak kisah melakonkan watak protagonis atau antagonis mahupun pembantu sentiasa memberikan yang terbaik.
“Alhamdulillah, hingga hari ini saya masih mendapat bayaran yang setimpal dengan kudrat yang diberikan. Saya bersyukur kerana penerbit mengambil kira pengalaman saya yang mula berlakon sejak umur lima tahun hingga sekarang.
“Ada ketikanya walaupun saya bukanlah pelakon utama tapi bayaran saya lebih kurang sama saja dengan hero-hero sekarang. Tak jauh pun bezanya,” katanya yang menyimpan 70 peratus hasil pendapatan sebagai persediaan masa depan.
Jelas Faizal, walaupun ramai yang mengkategorinya sebagai pelakon senior dan berusia namun beliau enggan beralah kepada tawaran yang diberikan kepadanya.
“Saya tak kisah watak yang ditawarkan pun, masih ditawarkan watak hero mahupun antagonis. Pada saya, paling penting adalah mesej yang kita sampaikan pada cerita dilakonkan Dari aspek itu, saya memang tekankan jadi keutamaan diri,” kata Faizal yang sentiasa menjaga disiplin, tenang dan berkongsi pengalaman membuatkan beliau dihormati.
Selain itu, suami kepada Suhaila Sulaiman, 48, yang dinikahinya pada 3 Julai 2004 selepas berkenalan ketika sama-sama menjayakan pementasan teater “Ayu Cendana” pada 1999 dan bapa kepada Fazryn, 19, dan Fazrick, 16, itu sentiasa menjaga statusnya sebagai selebriti.
Pemenang Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-25 pada 2012 menerusi filem “Bunohan”, Pelakon Lelaki Terbaik Drama (“Samad Tedung”) Anugerah Skrin 2019 dan Pembantu Lelaki Terbaik (“Gerak Khas The Movie II”) Anugerah Skrin 2003 itu mengakui lebih selesa melakukan aksi sendiri.
Bersyukur masih diberi peluang melakonkan aksi sendiri, namun beliau tetap mengutamakan kemampuan diri. Sebagai persiapan untuk melakonkan watak lasak, Faizal sering melakukan riadah di rumah dan tidak pernah menjejak kaki ke gim.
“Jika ada projek yang memerlukan saya bergaduh dengan lapan orang penjahat contohnya, saya akan lakukan senaman sebagai persediaan untuk kekal fit.
“Saya tidak pernah pergi gim seumur hidup, hanya angkat dumbel sahaja. Pernah juga makan suplimen jika mahu tambah otot namun tapi tidak pernah diet.
“Bersyukur pada usia begini saya diberi peluang membawakan watak yang susah. Sejujurnya saya lebih gembira melakonkan babak aksi sendiri walaupun pihak produksi menasihati guna pelakon lagak ngeri.
“Pelakon kena tahu tahap kemampuan diri mereka. Sebelum ini saya pernah melakonkan babak aksi yang lebih susah dan mencabar berbanding drama “W: Two Worlds” sebagai Omar Yusof,” katanya yang tampak tak lekang dimakan usia itu.
Sebagai pelakon yang berpengalaman dan berasal dari keluarga seni, Faizal tidak akan berhenti berkarya selagi masih ada permintaan untuknya kerana bidang tersebut sudah sebati dengan jiwanya.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.