Aisha penyanyi baharu yang semakin meningkat.

Oleh: Wawa Najwa

RAMAI yang terkejut apabila penyanyi Aisha Retno tampil menyanyikan lagu dialek Kelantan. Maklumlah selama ini orang tahu yang Aisha mempunyai latar belakang Indonesia kerana ibunya Jean Retno Aryani merupakan penyanyi era 80-an dari sana.

Kata Aisha, beliau tidak kekok untuk menyanyi dialek Kelantan menerusi lagu “Samudera” kerana bapanya, Sayed Sipulijam Sayed Alwee berasal dari Besut, Terengganu.

Jelas Aisha atau Sharifah Aisha Retno , 24, “Samudera”, mengetengahkan elemen warisan budaya negeri Kelantan dalam bait liriknya.

Pakaian yang diguna Aisha untuk video muzik “Samudera”.

“Ramai tak tahu sebenarnya saya ini orang Besut sebab bapa asal dari sana. Sebab itu saya rasa nak tonjolkan budaya orang Pantai Timur. Cuma ada sedikit kontroversi kerana kebanyakan orang tahu saya orang Jawa.

“Saya nak declare yang saya ada separuh darah orang Kelantan. Demo-demo semua jangan risau kerana kawe ada darah Kelantan. Kawe buat lagu ini untuk demo-demo belaka. Dari segi demografi masih ramai lagi orang Pantai Timur yang belum mengenali Aisha.

“Nak buat show kat sana tak boleh sebab penyanyi wanita, banyak kekangan. Saya rasa melalui lagu ini boleh secara perlahan mempengaruhi mereka untuk menyatukan budaya Kelantan dengan EDM yang saya faham sukar diterima. Tapi di waktu yang sama, alhamdulillah mendapat sambutan yang baik,” katanya.

“Samudera” menggunakan dialek Kelantan.

Aishah mencipta lagu “Samudera” bersama Glowrush, Shanekennedy dan Karazey. Manakala bapanya pula menasihati dari segi lirik yang menggunakan perkataan Kelantan.

“Untuk “Samudera”, saya masih kekal dengan hala tuju muzik etnik EDM, kerana kita semua kaya dengan budaya yang boleh ditonjolkan menerusi muzik. Jadi dalam lagu “Samudera”, saya memberi penghargaan kepada warisan budaya Kelantan seperti mak yong dan dikir barat.

“Saya rasa sangat bertuah kerana dapat meneroka budaya yang mengalir dalam darah saya sendiri. Lagu ini saya dedikasikan kepada kaum wanita di luar sana kerana penceritaan lagu ini diinspirasikan daripada legenda Hikayat Cik Siti Wan Kembang yang pastinya menyampai mesej positif dan memberi semangat kepada pendengar.

“Samudera” diinspirasi dari Hikayat Cik Siti Wan Kembang.

“Kita sebagai kaum hawa dan manusia secara amnya, harus menjadi kuat dan tahu bahawa cinta itu universal, ianya luas dan pelbagai termasuk rasa cinta kepada keluarga, kawan-kawan serta sesama manusia.

“Kisah hikayat ini menarik perhatian saya kerana ramai lelaki yang cuba menawan hati Cik Siti Wan Kembang namun gagal. Apa yang ketara, Cik Siti Wan Kembang telah menunjukkan rasa cinta yang sangat kuat terhadap negeri Kelantan. Di situ kita dapat lihat bahawa cinta bukanlah tentang pasangan yang berkasih sayang semata-mata.

“Selain itu, lagu ini juga menjadi simbolik kepada apa yang saya sendiri lalui. Tahun ini, saya melalui banyak cabaran dan pada masa sama banyak juga rezeki yang dikurniakan oleh-Nya. Semua cabaran dan rezeki yang diperoleh ini saya anggap seluas Samudera. Sebab itulah lagu ini sangat bermakna untuk saya kerana setiap bait lirik yang saya tulis, kisahnya dekat dengan saya,” katanya mengungkap maksud di sebalik lagu tersebut.

Aisha Retno mahu dekati peminat di Pantai Timur.

Mengenai proses penghasilan pula, Aisha akui ia bukanlah mudah kerana dia perlu mempelajari budaya negeri Kelantan dengan bersungguh-sungguh.

“Sebenarnya saya ambil masa yang agak lama untuk membuat perbincangan terutama untuk menghasilkan lirik yang diinspirasikan daripada Hikayat Cik Siti Wan Kembang.

“Pada saya, proses menulis lagu “Samudera” kali ini jauh lebih sukar berbandingmenulis lagu “Sutera” dahulu. Semuanya harus dihasilkan dengan penuh teliti lagipun budaya Kelantan, seninya agak berat dan perlu difahami dengan baik. Lagu ini siap dihasilkan pada bulan Julai lalu, kami ambil masa lebih kurang tiga minggu untukmenyempurnakannya.

“Untuk lontaran vokal, saya berguru dengan Encik Rosnan Rahman yang membantu dan mengajar saya untuk melontarkan vokal dalam nyanyian mak yong dengan cara yang betul. Saya pun sudah bekerjasama dengan beliau ketika membuat persembahan mak yong di pertandingan ‘The Hardest Singing Show’ baru-baru ini,” jelasnya.

Previous articleAlvin Chong berjaya tunaikan janji dengan peminat
Next article“Inspektor Aleeza” belum pencen, Abby Abadi masih aktif berlakon

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here