Oleh: Wawa Najwa
SEBELUM kisah perceraian rumah tangga Fazura dan Fattah Amin menjadi perhatian ramai, Bella Astillah dan bekas suami, Aliff Aziz terlebih dahulu menjadi bualan ramai.
Bella yang merupakan ibu kepada dua cahaya mata itu hingga kini masih lagi mengharungi kemelut yang sama termasuklah juga daripada bekas mentua.
Menyedari apa yang berlaku adalah takdir hidupnya, Bella atau nama penuhnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 30, lebih senang mengambil langkah meneruskan kehidupan demi masa depan anak-anak, Mohamed Ayden Adrean Mohammad Aliff dan Ara Adreanna Mohammad Aliff tanpa menoleh sejarah silam.
Sejajar dengan pendirian itulah, Bella yang menceburkan diri sebagai pelakon dan penyanyi dalam industri seni tanah air terbaharu tampil dengan single berjudul “Tapi Bukan Denganmu” ciptaan dan terbitan komposer popular Sharon Paul.
Tidak menyembunyikan kenyataan lirik yang ditulis oleh Bella adalah berdasarkan pengalamannya sepanjang bergelar isteri hinggalah kepada status ibu tunggal.
“Lagu ini merupakan sebuah karya yang dekat di hati Bella kerana liriknya Bella yang tulis sendiri. Ia begitu istimewa. Apatah lagi kali ini Bella dapat bekerjasama dengan kak Sharon Paul, seseorang yang sudah banyak pengalaman dalam bidang muzik.
“Bella sangat selesa bekerja dengan Kak Sharon. Orangnya tak pernah marah, dan apa sahaja permintaan Bella dia turuti. Dia terbuka menerima idea dan sentiasa membantu saat masuk studio rakaman. Kak Sharon menerima segala kekurangan Bella sebagai seorang penyanyi dan membenarkan Bella menjadi diri sendiri.
“Inilah sebabnya mengapa Bella suka bekerjasama dengan orang lama sebab mereka sangat berpengalaman dan tahu cara menjaga kita dan mengekalkan mood penyanyi semasa proses rakaman,” kata Bella mengungkap rahsia di sebalik pembikinan lagu tersebut.
Bella yang sedang sibuk menjalani penggambaran sebuah siri drama TV itu mengakui sebelum rakaman selesai ada beberapa kali pertukaran pada lirik lagu dilakukan.
“Dari segi gaya dan melodi, kak Sharon telah mengikuti permintaan Bella dan Bella memang sukakan irama lagu ini. Jadi lirik yang ditulis memang pilihan Bella sendiri. Cuma, proses penulisan telah memakan masa yang agak lama kerana Bella asyik menukar lirik. Tapi alhamdulillah, selesai juga akhirnya,” tambahnya lagi.
Lebih istimewa lagu ini juga menampilkan sebuah video muzik yang telah diarah oleh Bella sendiri.
“Bella nak lagu ni ‘sampai’ ke hati dan dapat diterima dengan baik oleh para peminat dan pendengar lain. Semoga apa yang terbuku dalam lagu ini dapat menyentuh emosi yang mendengar, dan moga-moga mampu menjadi sebuah lagu galau,” katanya.
“Tapi Bukan Denganmu” berada di semua platform digital sejak 4 Oktober lalu dan begitu juga dengan video muziknya juga.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.