Oleh: Wawa Najwa
SELEPAS keluar dengan album “Belagu II” yang diterbitkan pada 2023, kini penyanyi Dayang Nurfaizah tampil dengan album studio rakaman yang ke-11 berjudul “Janji’.
Bagaimanapun untuk peringkat awal, penyanyi yang nama lengkapnya, Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 43, memilih untuk mempromosi salah sebuah lagu yang terdapat dalam album tersebut iaitu “Lemah”.
Lagu “Lemah” berkisar perihal emosi yang mendalam itu dicipta oleh penyanyi dan komposer Hael Husaini serta disusun oleh Mac Chew.
“Lagu ini amat bermakna bagi saya. Saya telah mencurahkan hati saya ke dalam karya ini dan harap lagu ini dapat menyentuh pendengaran dan hati pendengar dengan mendalam.
“Bekerja dengan Hael sentiasa menjadi pengalaman yang luar biasa. Keterampilan muziknya dalam mencipta melodi yang indah dengan emosi yang tulus dan tema yang boleh dikaitkan memang tiada bandingan lagi. Sesungguhnya, saya tidak sabar untuk melihat bagaimana kerjasama terbaharu kami berkembang,” kata Dayang jujur.
Sementara itu, Hael yang sebelum ini mencipta lagu “Dia” untuk dendangan Dayang, mengakui beliau selesa bekerjasama dengan penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu.
“Bekerja dengan Dayang adalah satu penghormatan. Suara dan tafsirannya memberi jiwa kepada lagu dengan cara yang benar-benar istimewa,” akui Hael tentang kelebihan yang dimiliki oleh Dayang Nurfaizah yang sudah 25 tahun bergelar anak seni itu.
Album “Janji” yang memuatkan 13 lagu itu mempamerkan kedalaman emosi dan kepelbagaian Dayang dalam mempersembahkan campuran balada dan lagu berentak rancak/pertengahan, semuanya berpusat pada tema cinta, harapan, dan kekuatan.
Untuk video muzik “Lemah” pengarah Lily Samsuddin diberi tanggungjawab untuk menampakkan emosi lagu itu secara visual menggunakan metafora yang kaya.
Semua itu bukan masalah kerana Lily mempunyai pengalaman luas dalam pengarahan dan penghasilan video muzik, malah kepakarannya akan memberikan visi yang segar dan bertenaga buat projek tersebut.
Single utama “Lemah” akan tersedia untuk penstriman di semua platform utama pada 18 Oktober ini, diikuti dengan pelancaran album penuh “Janji” pada 22 November 2024.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.