Oleh: Wawa Najwa
SETIAP kali menganjurkan konsert, perkara yang membimbangkan penganjur adalah tentang jualan tiket. Adakah tiket terjual atau sebaliknya, maka pelbagai promosi dilakukan untuk memastikan tiket terjual walaupun di saat akhir.
Namun bagi penyanyi Sufi Rashid pemilik SAH Entertainment selaku penganjur konsert Aura: Ernie Zakri Live in Concert yang akan berlangsung di Dewan Plenary Kuala Lumpur Convention Centre, pada 25 Januari 2025 sudah mampu tarik nafas lega.
Ini kerana dalam tempoh tujuh jam selepas tiket mula dijual pada 27 September lalu sambutan yang diberikan oleh peminat-peminat Ernie amat luar biasa hinggakan habis terjual.

Sambutan luar biasa yang diberikan oleh peminat untuk mendapatkan tempat bagi menyaksikan persembahan penyanyi kesayangan mereka yang dikenali dengan kehebatan teknik vokal.
Dengan tiket habis terjual dalam masa yang begitu singkat, ini bukan sahaja mencerminkan aura besar Ernie, tetapi juga membuktikan betapa peminat menghargai bakat luar biasa beliau.
Bagi Ernie pula, beliau amat terharu dengan sokongan padu yang diberikan oleh peminat yang tidak menunggu saat akhir untuk membeli tiket.

“Alhamdulillah, saya sangat berterima kasih atas sokongan yang luar biasa daripada semua. Bagi saya, setiap tiket yang terjual bukan sekadar nombor, tetapi perlambangan kasih sayang dan kepercayaan peminat terhadap usaha dan dedikasi saya selama ini.
“Saya tak sabar untuk memberikan persembahan terbaik buat peminat-peminat yang sentiasa ada di sisi saya sepanjang perjalanan ini. Ia adalah impian saya untuk berkongsi muzik dan perjalanan karier saya melalui konsert ini.
“Setiap detik yang dilalui bersama mereka adalah kenangan yang tidak ternilai. Konsert ini bukan hanya mengenai muzik, tetapi juga pengalaman, kegembiraan, dan sambutan penuh emosi yang kita dapat nikmati bersama,” katanya terharu.
Jelas penyanyi lagu “Masing-Masing” itu pada konsert berskala besar itu, beliau akan menyajikan satu malam penuh magis, menampilkan pelbagai lagu hit seperti “Ku Bersuara”, “Gundah” dan “Boneka” serta lagu daripada album “Aura” yang akan dipersembahkan secara eksklusif untuk konsert ini.

Dengan latar belakang muzik yang penuh perasaan dan sokongan pemuzik profesional, konsert ini bakal menjadi satu pengalaman muzik yang tidak akan dilupakan.
Ernie yang juga pemenang pelbagai anugerah dalam industri muzik, terkenal dengan kekuatan vokalnya yang luar biasa serta kemampuan menampilkan persembahan yang memukau.
Malah, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beliau berjaya memahat namanya sebagai antara penyanyi yang disegani di Malaysia, dengan kejayaan demi kejayaan yang diraih melalui lagu-lagu yang menduduki carta teratas dan persembahan pentas yang hebat.
Dengan tiket habis terjual dalam masa yang begitu singkat, ini bukan sahaja mencerminkan aura besar Ernie, tetapi juga membuktikan betapa peminat menghargai bakat luar biasa beliau.

Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.