Oleh: Asmat Fikri
Pendedahan yang terlalu lama daripada penggunaan merkuri boleh memberi kesan mudarat terhadap kesihatan. Merkuri boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, kerosakan sistem saraf dan boleh mengganggu perkembangan otak bayi dalam kandungan atau bayi yang baru lahir.
Selain daripada kerosakan buah pinggang, merkuri bukan organik dalam produk pencerah kulit juga boleh menyebabkan ruam, penyahwarnaan dan parut pada kulit serta mengurangkan pertahanan kulit untuk melawan jangkitan bakteria dan kulat.
Kesan lain merkuri juga dikaitkan dengan gejala keresahan dan kemurungan. Apa yang membuatkan keracunan merkuri dari produk kecantikan begitu menakutkan? Banyak di antara tanda-tanda yang tidak spesifik dan sukar untuk dikenal pasti. Antara simptomnya termasuk keresahan, kemurungan, kesukaran menumpukan perhatian, insomnia, kebas di kaki dan gegaran (tremor).
Menurut USFDA (US Food and Drug Administration), pendedahan kepada merkuri boleh membawa kesan kesihatan yang serius, termasuk kerosakan kepada buah pinggang dan sistem saraf dan ia boleh memberi kesan kepada perkembangan otak kanak-kanak. Lebih buruk lagi, jika produk-produk ini digunakan dari masa ke masa. Merkuri di dalamnya boleh perlahan-lahan dilepaskan sebagai wap merkuri di udara, yang boleh mencemarkan keseluruhan isi rumah dan memberi kesan kepada kanak-kanak dan keluarga ahli walaupun mereka tidak pernah menggunakan produk tercemar diri mereka sendiri.
Dalam beberapa kajian di Afrika menunjukkan, pengguna produk kosmetik yang mengandungi bahan merkuri bukan organik dalam krim pencerah kulit selama satu hingga sembilan bulan dikesan menunjukkan gejala ‘sindrom nefrotik’ iaitu suatu keadaan di mana kandungan protein yang tinggi dalam air kencing. Pengurangan gelaja sindrom nefrotik ini dapat dilihat dalam hampir tiga per empat daripada golongan wanita setelah mereka berhenti menggunakannya.
WHO (World Health Organisation) juga telah mengeluarkan laporan tentang penggunaan merkuri dalam produk pencerah kulit. Laporan itu menyebut terdapat individu yang mengalami kesan-kesan kesihatan seperti yang dinyatakan di atas berikutan pendedahan kepada merkuri melalui penggunaan krim dan sabun pencerah kulit. Satu laporan kes ini menerangkan seorang wanita berusia 34 tahun yang mengalami sindrom nefrotik, satu keadaan yang dimana simptom protein pada tahap yang tinggi dalam air kencing. Tahap merkuri dalam darah dan air kencing beliau kembali normal selepas sebulan dia berhenti menggunakan krim pencerah kulit.
Bukan hanya kepada pemakai, tapi merkuri ini juga berbahaya kepada bayi. Terutama ketika bayi menyentuh kulit ibu atau wanita yang memakai produk mengandungi merkuri dengan jari dan memasukkan jari terbabit ke dalam mulut. Hal ini menyebabkan merkuri tersebut masuk ke dalam tubuh dan memberi kesan keracunan.
Merkuri yang digunakan dalam sabun atau bentuk kosmetik lain secara amnya akan menjadi bahan kumbahan domestik apabila dibasuh dan seterusnya terlepas ke alam sekitar. Merkuri ini kemudiannya akan bertukar kepada bentuk ‘metil-merkuri’ dan akhirnya boleh memasuki sistem kitaran makanan manusia melalui ikan yang tercemar dengan metil-merkuri ini. Wanita hamil yang mengambil ikan yang tercemar dengan metil-merkuri pula akan memindahkan bahan tersebut kepada bayi dalam kandungannya yang boleh menyebabkan gangguan dalam perkembangan otak dan saraf bayi tersebut.
Penutup
Wanita haruslah bijak dalam menentukan pilihan produk kosmetik apa yang hendak dipakai, apa kita hendak digunakan dan sebagainya. Bijak membuat pilihan ini bakal menjadikan kita sebagai wanita yang sihat dan tidak terdedah kepada mudarat dan bahayanya keracunan merkuri dalam badan kita.
Sebelum membeli atau menggunakan sesuatu produk, semak terlebih dahulu label produk pencerah kulit, anti penuaan atau apa sahaja produk kosmetik untuk kulit sebelum menggunakannya. Lihat sama ada terdapat perkataan ‘mercurous chloride’, ‘colomel’, ‘mercuric’, ‘mercurio’ atau ‘mercury’. Jika ada perkataan tersebut, berhenti menggunakkannya kerana produk seperti ini mengandungi merkuri dan dikhuatiri tidak bernotifikasi dengan BPFK, KKM.
Selain daripada itu, jika produk kosmetik yang digunakan tiada label atau tiada informasi yang jelas berkaitan isi kandungan, berhenti menggunakannya kerana garis panduan pelabelan kosmetik oleh pihak BPFK KKM. Justeru pengguna harus mengamalkan amalan membaca label sebelum menggunakan produk kosmetik.
Bagi pengguna yang mengesyaki telah menggunakan produk kosmetik yang mengandungi bahan merkuri, behenti menggunakannya serta merta. Basuh tangan dan bahagian badan yang telah terdedah kepada produk kosmetik tersebut.
Sebelum membuang produk kosmetik yang mengandungi merkuri, balut produk kosmetik tersebut dalam bekas plastik kedap udara dan pastikan tiada sebarang kebocoran. Ini penting bagi memastikan alam sekitar kita tidak tercemar dengan merkuri yang dikhuatiri boleh memasuki rantaian makanan manusia pada masa akan datang.
ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.