Oleh: Nafsiah Jani
Pendatang baru, Asya’B meluahkan rasa syukur apabila dapat bekerjasama dengan penerbit terkenal Zul 2By2 dan Bajai bagi menghasilkan single sulungnya berjudul ‘Sayang Padamu’.
Siapa sangka bermula dengan sering mengikuti siaran langsung TikTok, komposer terkenal Zul 2By2, Asya’B penyanyi kelahiran Singapura memberanikan diri menghantar mesej langsung (DM) kepada Zul 2By2.
Bertitik tolak dari situlah, Aisya’B atau nama penuhnya Nurasya Abdul Rahim,34, diberi peluang mengembangkan bakatnya dalam bidang nyanyian di negara ini.
“Saya memang selalu ikuti ‘live’ abang Zul di TikTok. Selepas meninggalkan komen dan mesej, Abang Zul minta saya untuk ‘naik kotak’ atau berkomunikasi secara ‘live’ di media sosial terbabit. Satu hari tu, dia cakap dia nak nyanyi lagu Marah Bukan Sifatku daripada kumpulan New Boyz yang merupakan karya ciptaannya.
“Sejujurnya, saya ingat abang Zul ini hanyalah seorang penyanyi yang popular dengan lagu Kau Mawarku saja. Tapi bila dia kata yang dia juga seorang pencipta lagu dan banyak hasil karyanya yang begitu popular. Barulah saya sedar semua lagu-lagu ciptaannya adalah lagu-lagu kegemaran saya.
“Selepas beberapa hari, abang Zul sempat juga bertanya sama ada saya mempunyai lagu ciptaan sendiri. Saya bagilah lagu Sayang Padamu yang saya tulis ketika berusia 16 tahun dan saya nyanyikan secara akustik menggunakan gitar. Alhamdulillah abang Zul kata lagu saya bagus dan dia buatkan sebuah demo yang cukup indah untuk saya,” kata Aisya’B lagi yang mungkin akan membuat sambungan lagu kepada Sayang Padamu ini.
Asya’B kini sudah 15 tahun bergelar pendidik dan mempunyai kerjaya tetap sebagai guru besar sebuah tadika di Singapura, namun dia tetap akan meneruskan minatnya sebagai penyanyi.
“Walaupun saya meminati muzik tetapi bidang pendidikan juga adalah jiwa saya. Sejak kecil lagi saya memang meminati bidang muzik. Di sekolah saya sudah mula menyanyi dengan menyertai kumpulan koir dan orkestra, dari situ saya banyak belajar tentang teknik pernafasan dan nyanyian.
“Saya juga sering masuk pertandingan dan pernah menang pertandingan Gold With Honours di Singapore Youth Orchestra (SYF) pada 2005 sebagai pemain alat muzik trombone. Selain trombone, saya juga boleh bermain gitar.
“Saya akui pasaran muzik di Singapura agak tinggi dan di Malaysia pula saya nampak peluangnya sangat luas sebab pasarannya agak besar…itu sebabnya saya nak lebarkan sayap ke Malaysia pula,” katanya yang pernah menembusi kategori Nova Media Baru di Anugerah Planet Muzik 2012.
Walaupun lambat bermula, namun Asya’B tidak menganggapnya sebagai halangan untuk mengejar cita-citanya sebagai penyanyi. Asya’B mempunyai banyak pengalaman sebagai penyanyi kerana selepas tamat persekolahan dia bekerja separuh masa sebagai penyanyi di kelab malam dan pub di Singapura.
Menurut Asya’B, dia gembira dapat bekerjasama dengan Anje Maya dan Zul 2By2 dalam menghasilkan lagu buat penyanyi, Zack Zakwan.
“Tak sangka, bakat saya Abang Zul hargai dan pelawa saya bersama dengannya dan komposer Anje Maya untuk buat lagu penyanyi Zack Zakwan. Hasilnya lahirlah lagu Rindu Dalam Diam. Saya bersyukur kerana lagu ini berjaya mendapat tempat dihati peminat.”
Sebelum ini Aisya’B banyak menyanyikan semula lagu-lagu penyanyi asal dan berkongsinya di saluran Youtube sejak 2006. Malah, dia juga percaya dengan kemajuan teknologi media sosial yang sedikit sebanyak dapat membantu dari segi pemasaran dan promosi seseorang artis. Sayang Padamu yang dilancarkan sejak September lalu telah berada di semua platform penstriman.
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.