Oleh: Khadijah Ibrahim
KC Global Media dengan kerjasama Astro membawakan ONE Astro Fest yang menjanjikan hiburan Korea terunggul dan aktiviti menyeronokkan dibarisi bintang ternama buat rakyat Malaysia.
Acara yang akan berlangsung pada 22 hingga 24 November ini di Sunway Pyramid Orange Concourse itu turut dimeriahkan dengan kehadiran aktor Korea, Yeo Jin Goo pada sesi meet and greet bersama peminatnya.
Pelakon drama Hotel del Luna itu akan bertemu dengan peminatnya di sana pada jam 5 petang, 23 November ini dan pada perjumpaan tersebut para peminat akan disajikan dengan persembahan secara langsung dan berpeluang bermain permainan dan merakam foto bersama beliau.
ONE dan Astro Rewards teruja untuk menawarkan peluang kepada 50 pelanggan bertuah untuk memenangi sesi foto eksklusif bersama Yeo Jin Goo. Untuk menyertai peraduan ini, muat turun aplikasi My Astro dan sertai sebelum 20 November ini.
Pengasas Bersama, Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden KC Global Media, George Chien, berkata, pihaknya berasa teruja untuk membawakan ONE Astro Fan Fest di Malaysia untuk meraikan peminat dunia hiburan Korea yang semakin meluas.
“ONE merupakan Saluran Hiburan Korea #1 di Asia Tenggara dan kami berbangga dapat bekerjasama dengan Astro membawakan kandungan berkualiti untuk kalian semua.
“Peminat di Malaysia merupakan antara yang paling berdedikasi yang pernah kami lihat, dan kami berharap semua peminat Korea (K-fans) dapat menyertai acara eksklusif ini, terutama sesi meet-and-greet dengan Yeo Jin Goo dan pelbagai aktiviti yang diacarakan oleh selebriti tempatan kegemaran anda.
“ONE kekal komited untuk menyalurkan kandungan Korea paling terkini dan mengujakan untuk penonton di Asia, dengan banyak rancangan diluncurkan lebih awal di saluran kami.
“Kami berusaha untuk mewujudkan pengalaman menyeluruh yang menjadi jambatan antara peminat dan drama Korea serta bintang Korea kegemaran mereka sekali gus mendekatkan mereka dengan aksi dan keterujaan yang tidak pernah dialami sebelum ini,” tambahnya.
Bukan setakat bertemu dengan Oppa Korea, peminat juga berpeluang menyertai banyak aktiviti menyeronokkan di booth tersedia, termasuk aktiviti bertemakan siri popular, Running Man.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang untuk menguji pengetahuan dunia hiburan Korea (K-knowledge) dalam pelbagai aktiviti termasuklah Pictionary K-Edition, Guess the K-Drama dan K-Drama Super Fan untuk berpeluang memenangi hadiah menarik.
Lebih menarik lagi, akan diadakan persembahan secara langsung oleh artis Gegar Vaganza 2024, GOXUAN dan rancangan televisyen seperti Project; Exit, Curang Tanpa Niat, Rahsiamu Selamat Denganku, Berbahagi Suami, Kelas Tahanan Cikgu Hiragi dan filem yang bakal ditayangkan Kahar: Kapla High Council.
Acara eksklusif ini akan menampilkan artis-artis terkenal termasuk Nadhir Nasar, Mierul Aiman, Naim Daniel, Amir Ahnaf, Aedy Ashraf, Fazziq Muqris, Alvin Chong, Siti Khadijah, Amad Baharin, Siti Elizad, Sharifah Husna, Evertts Gomes, Arabella Ellen dan ramai lagi, menawarkan peluang istimewa untuk sesi bertemu bersama peminat serta penampilan pentas.
Sementara itu, Pengarah Kandungan Astro, Agnes Rozario berkata, ONE Astro Fan Fest yang pertama kali diadakan itu bakal menghimpunkan peminat K-drama bersama bakat-bakat terkemuka dan hiburan berkualiti tinggi Malaysia.
“Kami teruja dapat menyediakan pengalaman sebegini selama tiga hari kepada peminat dan pelanggan kami – di mana mereka berpeluang bertemu dan berinteraksi dengan barisan pelakon dari rancangan terkenal Astro seperti Project: Exit, Kelas Tahanan Cikgu Hiragi serta Megadrama yang bakal ditayangkan, Curang Tanpa Niat, filem Astro Shaw, Kahar: Kapla High Council dan sudah tentu bintang drama Korea, Yeo Jin Goo.
“Dengan persembahan dan aktiviti berterusan selama tiga hari, peminat dapat memperluaskan pengalaman mereka melangkaui rancangan kegemaran mereka. Ini mengeratkan lagi kerjasama kami dengan KC Global Media di mana kami menggabungkan bintang drama Korea terkenal dengan bakat terkemuka di Malaysia,” katanya.
Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.