Siti Nurhaliza diangkat sebagai Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara (ASN) 2024, baru-baru ini.

Oleh: Khadijah Ibrahim

SEHARI selepas dinobat sebagai penerima Anugerah Khas Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara (ASN) 2024 pada 13 November lalu, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 45, terus berkongsi kegembiraan dengan peminatnya.

Biduanita Negara yang memulakan kerjaya seninya sejak di bangku sekolah dan bakal mencecah usia 30 tahun berkecimpung di dalam industri muzik itu muncul dengan single terbaharu berjudul `Sejarah’ ciptaan maestro muzik dari Indonesia, Erwin Gutawa.

Siti bersyukur dengan anugerah yang diterima dan mahu mengguna bakatnya ke arah positif.

Lagu yang liriknya ditulis oleh anak Erwin iaitu Gita Gutawa mempunyai signifikan tersendiri dalam karier seninya. Sememangnya, ‘Sejarah’ diciptakan khusus buat Siti Nurhaliza dengan membayangkan keindahan nyanyian serta personaliti yang ada pada penyanyi tersebut.

“Saya meminta Gita menulis lirik berkisarkan seseorang yang kaya dengan pengalaman hidup dan memaknakan kesyukuran di dalam setiap bait kata yang diungkapkan.

“Untuk lagu ini juga saya menggunakan khidmat Czech Symphony Orchestra untuk mengiringi susunan muzik yang digarap indah khusus untuk Siti Nurhaliza,” kata maestro muzik dari Indonesia itu.

Kembali bekerjasama dengan Erwin Gutawa untuk lagu ‘Sejarah’.

Lagu ‘Sejarah’ merupakan buah tangan istimewa Siti Nurhaliza untuk peminat sebelum menutup tirai 2024 setelah sibuk mengadakan beberapa siri konsert sepanjang tahun ini.

Bagi Siti, ‘Sejarah’ merupakan sebuah lagu yang sangat istimewa apabila beliau kembali dapat berganding bahu dengan Erwin Gutawa dalam sebuah lagu. Sebelum ini Erwin pernah menggubah lagu ‘Tanpa Dendam Di Hati’ yang dimuat dalam album ke-12 beliau iaitu ‘Transkripsi’.

Untuk lagu ini, Siti yang meminta Erwin menghasilkan sebuah lagu khusus yang menceritakan tentang perjalanan seni beliau dan ‘Sejarah’ juga sudah boleh distrim atau dilanggan di seluruh pelantar digital bermula 14 November lalu.

‘Sejarah’ adalah single yang memapar perjalanan seni Siti Nurhaliza yang mencecah 30 tahun.

“Saya sangat berterima kasih kepada Erwin Gutawa yang sudi menghasilkan sebuah lagu yang sangat menyentuh emosi saya apabila menyanyikannya. Lagu ini seperti saya berada dalam semua fasa perjalanan seni dan satu persatu memori terbayang sewaktu menyampaikannya,’’ ujar Siti.

Selain itu, Siti juga berterima kasih kepada penggubah dan penerbit lagu Malaysia iaitu Aubrey Suwito yang telah membantu proses rakaman vokal lagu tersebut di Kuala Lumpur.

Siti berharap single terbitan SN Legacy Sdn. Bhd., dan Universal Music itu akan mendapat tempat di hati peminat.

Previous articleBerdisko bersama Boney M, imbau nostalgia lalu
Next articleAku Boleh!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here