David E Mead, CC0, via Wikimedia Commons

Oleh : Nafsiah Jani

Setiap kali terdengar atau terbaca mengenai buah keras, pasti anda akan tertanya-tanya apakah kebaikan dan manfaat buah keras ini. Ada yang mengatakan bahawa ia mempunyai fungsi dalam masakan, iaitu membuatkan kuah menjadi lebih pekat dan sedap.

Seperti semua tahu buah keras begitu sedap dimasukkkan kedalam masakan kerana ia membuatkan masakan berlemak, lebih enak dan lazat. Pun begitu, bukan setakat itu sahaja manfaat yang boleh diperoleh melaluinya. Sebenarnya, ia juga mempunyai 1001 khasiat terhadap kesihatan dan kecantikan manusia.

Buah keras yang popular dengan nama Kemiri di Indonesia juga digunakan untuk memberi aroma wangi yang boleh membuka selera anda selain memberi rasa yang lebih berlemak ekoran kandungannya yang berminyak.

Buah keras atau nama saintifiknya Aleurites moluccanus adalah sejenis tumbuhan yang berasal dari keluarga Euphorbiaceae. Perkataan “aleurites” itu sendiri sebenarnya berasal dari Greek yang membawa maksud “penuh dengan tepung”, sesuai dengan penampilannya yang seakan-akan bertepung pada bahagian permukaannya.

Selain buahnya, pokok buah keras begitu berguna termasuk daunnya yang kaya dengan protein. Malah masyarakat Hawaii beranggapan bahawa pokok buah keras merupakan simbol kepada keamanan, pencerahan dan perlindungan kepada mereka. Mereka juga telah mendeklarasikan pokok buah keras sebagai pokok rasmi negara.

Namun untuk mengelakkan sebarang perkara yang tak diingini,buah keras perlu dimasak sebelum dimakan kerana ia mengandungi toksik saponin dan phorbol. Pengambilan secara berlebihan dan secara mentah tidak digalakkan kerana ia boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan seperti sakit perut, cirit-birit, muntah-muntah dan pelbagai lagi masalah usus yang lain.

  1. Buah keras sangat kaya dengan potassium dan dapat merendahkan tekanan darah. Pengambilan buah keras secara kerap dapat menyebabkan dinding pada saluran darah relaks sekali gus membenarkan darah untuk mengalir dengan lebih mudah dan bebas ke sistem anda. Ini dapat membantu mengurangkan tekanan terhadap organ jantung.
  2. Tumbuhan ini adalah sangat kaya dengan serat yang sangat penting di dalam diet untuk fungsi saluran pencernaan anda. Jika kerap diambil, ia mampu melancarkan sistem penghadaman dan membantu pergerakan usus ekoran kandungannya yang sangat kaya dengan minyak, yang boleh berfungsi sebagai “julap” semula jadi.
  3. Buah keras sangat bermanfaat buat individu yang mempunyai kadar kolesterol tinggi kerana ia mampu membantu meningkatkan kadar kolesterol baik (HDL) dan sangat bagus untuk membantu menurunkan kadar kolesterol jahat (LDL).
  4. Buah keras juga mampu merawat ulser secara tradisional. Caranya, ambil getahnya kemudian campurkannya sedikit dengan santan. Kemudian, sapukan sahaja secara terus kepada bahagian dalam mulut yang mengalami ulser.
  5. Bakar buah keras dan ambil minyaknya. Minyak ini jika kerap disapukan kekulit kepala boleh melebatkan rambut dan mampu merawat masalah rambut gugur dan bercabang.
  6. Buah keras juga berkesan untuk membantu membina otot. Selain itu, ia juga sangat sesuai untuk individu yang sedang dalam usaha menurunkan berat badan. Ini kerana, lebih besar otot, lebih cepat kadar metabolisma. Sebagai tambahan, protein juga adalah sesuatu yang sangat diperlukan oleh tubuh badan untuk membantu tubuh badan membakar kalori anda.
  7. Buah keras mempunyai kandungan fosforus yang dapat menguatkan tulang dan sendi. Ia berfungsi dengan membantu mengelakkan sendi daripada bengkak dan sakit akibat kekoyakan. Manakala kandungan kalsiumnya yang tinggi juga dapat membantu menguatkan tulang.
  8. Minyak daripada buah keras boleh merawat kesan terbakar pada kulit dan kesan regangan perit bagi wanita selepas bersalin.
  9. Buah keras juga boleh membuatkan wajah kelihatan bersih dan bersinar. Ambil 3 biji buah keras dan kisar bersama sedikir air sehingga halus. Kemudian masukkan air lemon atau air perahan limau nipis. Kacau rata dan sapu ke seluruh kulit muka. Biarkan selama 6-10 minit. Bersihkan dengan air bersih dan anda akan gembira dengan hasilnya.
  10. Daun pokok buah keras juga dikatakan mampu digunakan untuk mengurangkan sakit kepala dan gonorea. Daun muda yang telah dipanaskan atas api dikatakan mampu dijadikan sebagai tampalan bagi melegakan tulang yang patah, lebam-lebam, luka dan kesakitan.
Previous articleAmalan Rasulullah SAW untuk mendapat tidur yang berkat dan nikmat (Bahagian 2)
Next articleApa itu penyakit kelamin STI? (Bahagian 2)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here