Walaupun konsert NFlying tidak lengkap ahli ia tetap mempesonakan penonton.

Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: More Entertainment

WALAUPUN kehadiran N.Flying ke Malaysia tidak cukup kuorum kerana pemain dramnya, Kim Jae Hyun masih dalam perkhidmatan tentera, persembahan mereka tetap menghiburkan kira-kira 1,600 penonton yang hadir memenuhi Zepp Kuala Lumpur pada 1 Disember, baru-baru ini.

Kumpulan yang ditubuhkan pada 2013 oleh FNC Entertainment yang turut dianggotai oleh Lee Seung Hyub selaku ketua, vokalis dan penyanyi rap, Yoo Hwe Seung (vokalis), Cha Hun (pemain gitar) serta Seo Dong Sung (pemain bass) itu memulakan persembahan pada jam 6.30 petang dengan lagu “Flower Work” dan diikuti dengan lagu “Video Therapy”.

Lee Seung Hyub selaku ketua, vokalis dan penyanyi rap untuk N.Flying.

“Akhirnya, sampai juga kami ke Malaysia. Sudah lama kami berhasrat hendak datang ke sini untuk bertemu anda semua. Sebaik saja menjejak kaki ke sini, saya sangat teruja kerana dapat bertentang mata dengan N.Fia. Rasanya ramai yang baru pertama kali bertemu dengan kami. Apa khabar sayang semua,” tanya Seung Hyub kepada penonton selepas mendendangkan lagu “Born To Be”.

Kehadiran N.Flying ke Malaysia bagi menjayakan 2024 N.Flying LIVE ‘HIDE-OUT’ dibawa khas oleh More Entertainment dengan anjuran bersama 163.
Meskipun ini adalah konsert sulung N.Flying di Malaysia, namun N.Fia yang hadir pada malam itu sudah mengikuti perjalanan seni kumpulan tersebut sejak mereka tampil dengan album mini sulung, “Awesome” pada 2015. Lagipun setiap anggota N.Flying mempunyai bakat dan daya tarikan tersendiri.

Selain menjadi vokalis N.Flying,Yoo Hwe Seung juga boleh bermain gitar.

Tidak dinafikan penonton yang hadir pada malam itu rata-rata adalah peminat K-drama kerana sewaktu intro lagu “Star” dimainkan, masing-masing sudah bersedia untuk menyanyi bersama dengan Seung Hyub dan Hwe Seung kerana lagu tersebut merupakan runut bunyi untuk drama ‘Lovely Runner’.

Dalam drama tersebut, Seung Hyub berlakon sebagai Baek Inhyuk dan impak daripada watak itu menarik ramai peminat drama hadir ke konsert N.Flying. Malah Seung Hyub juga membintangi drama hit baharu Netflix berjudul “Love Next Door”, sebagai Bae Dongjin turut mendapat pujian daripada penonton.

Cha Hun adalah pemain gitar untuk N.Flying.

Mungkin disebabkan N.Flying adalah kumpulan muzik yang sering bermain genre rock, pop rock dan altenatif rock, jadi tidak hairanlah jumlah penonton yang hadir antara lelaki dan wanita sama banyak. Berbeza jika kumpulan idol yang datang mengadakan persembahan, rata-rata penonton adalah kaum wanita.

Menyanyi dengan diiringi pemuzik secara langsung lebih menyeronokkan kerana setiap daripada yang terlibat boleh mengatur corak persembahan di saat akhir atas persetujuan bersama.

Seo Dong Sung pemain bass untuk N.Flying.

Buktinya, Seung Hyub dan Hwe Seung telah menyanyi dua kali untuk lagu “Awesome” dan “The Real”. Malah mereka juga terkejut kerana penonton yang hadir turut menyanyi bersama.

“Tak tahu pula anda semua boleh menyanyi lagu ini. Dari atas pentas saya dapat melihat kesungguhan anda semua. Terasa diri kami amat dihargai. Ini membuatkan saya tidak sabar untuk datang lagi ke Malaysia,” kata Hwe Seung yang turut bermain gitar sewaktu mendendangkan lagu “Run”, sementara Seung Hyub pula bermain keyboard.

N.Flying mahu datang ke Malaysia lagi untuk menjayakan konsert.

Mengikut senarai lagu yang diberikan, N.Flying sepatutnya mendendangkan 24 buah lagu-lagu hit, antaranya “Blue Moon”, “Ròoftop”, “I think I Did”, “The World Is Mine”, “Dont Forget This” dan diakhiri dengan lagu “Stand By Me”.

Namun apabila melihat penonton masih tidak bergerak daripada tempat masing-masing, N.Flying tanpa berkira terus menghiburkan peminat mereka dengan tiga buah lagu lagi iaitu “Sunset”, “Leave It” dan diakhiri dengan lagu “Songbird” sebagai penutup tirai pesembahan pada kira-kira jam 9.30 malam.

N.Flying teruja mengadakan konsert di Malaysia.
Previous articleAwie yang berjiwa ‘lembut’
Next articleJangan takut bermain hujan…ada rahmat bersamanya (Bahagian 1)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here