Aksi Menghiburkan Ratu Keroncong Malaysia Adilla Idris ketika menjayakan A Mesmering Nite with Adilla Idris 2.0 di Liberal Latte baru-baru ini.
Oleh: Syed Wafa
Foto: Khairul Rizal Khalid
MENGHIBURKAN dan masih bertenaga, Ratu Keroncong Malaysia, Adilla Idris muncul dan berkumandanglah dengan lagu pembukaan, “Bukan Aku Tak Cinta” dengan suara beliau yang memukau dan pastinya lagu yang banyak meninggalkan kenangan manis buat Adilla tika menjayakan ‘Showcase A Mesmering Nite with Adilla 2.0 di Liberal Latte, Kuala Lumpur 1 Disember yang lalu.
Anggun mengenakan busana campuran tiga warna iaitu Ungu, Kuning dan Rona Keemasan, fabrik yang dibeli dari Cape Town, Afrika Selatan menyerlahkan sisi kewanitaan Adilla yang lengkap digayakan bersama Turban dari fabrik yang sama.
Adilla Idris bersama abangnya JARI ketika menjayakan A Mesmering Nite with Adilla 2.0 di Liberal Latte.
Usai tamat lagu pertama, Adilla memulakan bicara ringkas bersama ratusan penonton di hadapannya yang teruja melihat persembahan diringi abangnya, Jari yang merupakan komposer terkenal cukup berpengaruh pada era 90an.
Adilla banyak berterima kasih kepada semua penonton yang sudi bersamanya dalam showcase tersebut dan dia mengimbau nostalgia di zaman permulaan beliau dalam seni suara sekitar 90an disamping kenangan manis ketika merakamkan 5 buah album terdiri daripada Medley Popular 94 (1994), Pelangi Kasih (1996), 5 Ratu Dalam Pesta Dangdut (1997), Puncak Yang Satu ( 2002) dan Rock Keroncong (2010).
Adilla tidak membazirkan masa begitu lama dan meneruskan persembahan dengan rangkaian lagu- lagu hitsnya termasuk lagu-lagu keroncong seperti Janji Seorang Kekasih, Puncak Yang Satu, Kemayoran, Bengawan Solo, Kopi Dangdut , Cinta Anak Kampung dan Ingin Memeluk Dirimu.
Adilla Idris berduet dengan seorang penonton bertuah ketika menjayakan A Mesmering Nite with Adilla Idris di Liberal Latte.
Penonton yang mulanya malu-malu untuk menyanyi namun setelah diajak oleh Adilla mereka mula berani membuka mulut untuk mendendangkan lagu-lagu yang terus malar segar hingga ke hari ini. Malah dua penonton bertuah turut dipilih untuk berduet dengannya dengan pilihan lagu Nilai Cintamu serta Seiring dan Sejalan.
Adilla juga mencuit hati penonton dengan sebuah lagu cina yang gemersik dengan alunan vokal mantapnya dan tidak dilupakan lagu-lagu Inggeris seperti My Way dalam versi keroncong, Jauh Jauh (English version) dan I Will Survive yang dinyanyian bersama rakan-rakan artis yang hadir iaitu Norlie Tamam, Royce Sa’ayan dan Tatty Ismail.
Menutup persembahan dengan lagu berjudul Rindu, Adilla kelihatan sebak dan menitiskan air mata. Hatinya bergelora diamuk perasaan pilu dengan sokongan yang diberi oleh rakan-rakan, ahli keluarga mahupun peminat setianya. Apatah lagi dengan namanya yang kini seakan dilupakan oleh masyarakat, entah mana silapnya seakan melupakan seorang insan seni yang sungguh berbakat besar dan mempunyai suara yang tersendiri.
Adilla Idris berduet dengan guru vokal terkenal,Mejar K Siti Hajar Ismail ketika Showcase A Mesmering Nite with Adilla 2.0 di Liberal Latte.
Sejurus tamat showcase, setelah melayani permintaan peminat yang ingin merakamkan kenangan dengannya, sidang media diadakan bagi merungkai isi hatinya setelah segalanya selesai.
Menurut Adilla, dia mendapat suntikan semangat daripada ‘Followers’ di media sosial khususnya Tik Tok untuk mengadakan showcase kerana mendapat maklum balas yang baik daripada mereka untuk mengadakan persembahan bercorak tersebut.
“ Media Tik Tok, Kak Adel (Panggilan mesra) ramai follower . Melalui Platform ini Kak Adel boleh menjadi ‘versatile’. Dahulu Kak Adel dikenali dengan irama keroncong, tetapi platform Tik Tok, Kak Adel boleh menyanyikan apa sahaja lagu.
Persembahan yang sungguh bertenaga dari Adilla.
“ ‘Range’ vokal Kak Adel pun semakin baik. Kalau dulu, Kak Adel banyak menggunakan tenik ‘Porseto’, sekarang boleh mewarnakan dan mencorakkan vokal Kak Adel,”ceritanya.
Adilla bersyukur kerana penjualan tiket untuk Showcase A Mesmerising Nite With Adilla 2.0 habis terjual dan dia tidak menolak kemungkinan akan mengadakan lagi persembahan sedemikian pada tahun hadapan.
”Alhamdulilah tiket semua ‘sold Out’. Yang datang pun my Fans, my supporter and my family. Ini menjadi titik tolak kepada Kak Adel untuk mengadakan lagi showcase sebegini. Tahun hadapan, jika ada rezeki, Kak Adel berhasrat untuk membuat showcase Pop Keroncong,” katanya.
Mengulas mengenai Konsert Berskala Besar yang menjadi idaman semua penyanyi apatah lagi semakin banyak penyanyi yang mengadakan konsert sebegitu, ini jawapan Adilla Idris,
Adilla Idris tidak dapat menyembunyikan perasan sebaknya dengan sokongan yang diberikan oleh rakan rakan Dan peminat setianya sejurus showcase A Mesmering Nite with Adilla Idris 2.0 berakhir di Liberal Latte
“Kak Adel lebih suka dan mengkhususkan showcase sebegini, sebab kalau Kak Adel mengadakan konsert dalam skala besar kita tak berapa’ bonding’ ( ikatan) , kalau showcase sebegini, kak Adel lebih mesra dengan penonton, kita boleh bersama penonton. Kalau ada rezeki untuk konsert skala besar , Kak Adel tidak menolak,” demikian Adilla memberi jawapan.
Sementara itu, abang Adilla, Jari ketika sidang media menyatakan koloborasi dengan adiknya itu telah lama dibuat bersama band iringannya dan mereka banyak memenuhi undangan show berrsama samada majlis kahwin mahupun persembahan korporat.
“Cuma sekarang dia nampak lebih menyerlah di media sosial, sebagai abang, saya support sepenuhnya, Adilla penyanyi yang Light and Easy .Dia penyanyi versatile,”tutur Jari.
Adilla masih kelihatan anggun dan menawan.
Bertemu guru vokal terkenal, Mejar (K) Siti Hajar Ismail turut hadir serta berkongsi pandangannya mengenai suara Adilla yang semakin matang jika dibandingkan pada awal kemunculannya di dalam bidang seni suara.
“Kelebihan vokalnya ialah apabila dia mengeluarkan bunyi suara melalui tempat yang betul. Orang kalau dengar macam suara orang lama, Tetapi dari sudut vokal, dia telah mengeluarkan suara melalui udara yang keluar melalui tempat yang betul,”jelas Siti Hajar.
Norlie Tamam pula berkata, dia teruja melihat persembahan rakan seperjuangannya itu dengan pilihan lagu-lagu lama yang memang merupakan ‘makanan hariannya’.
“Dia menyanyi dengan baik sekali. Feelnya lebih baik. Dengan usianya sekarang, dia boleh menyanyi, menari dan berkomunikasi dengan penonton, dengan jumlah penonton yang ramai dia dapat mengawal perasaan gemuruh dengan baik,” kata Norlie yang pernah menjayakan album lima suara bersama Adilla Idris pada tahun 2018.