Gandingan Judika dan Siti Nurhaliza memang mantap.

Oleh: Khadijah Ibrahim

BERLANGSUNGNYA Konsert The Journey of Sound: Judika & Datuk Seri Siti Nurhaliza, di Stadium Negara pada 14 Disember lalu, sekali gus memenuhi impian Judika yang sudah lama berhasrat untu mengadakan konsert seiring dengan idolanya.

Menurut Judika sewaktu awal kemunculannya di dalam arena muzik, beliau sering mengadakan persembahan bersama adiknya yang bermain keyboard dan turut mendendangkan lagu-lagu dari artis Malaysia.

Siti Nurhaliza dibawa menaiki kereta mengelilingi stadium sebelum menjayakan persembahan.

Kata Judika, beliau sering mendengar lagu-lagu dari kumpulan Iklim, Exists, Search dan Slam. Tidak dinafikan pada satu ketika dulu artis tempatan sering ke Indonesia untuk mempromosi lagu-lagu mereka. Cuma sekarang sahaja suasananya terbalik kerana ramai artis dari Seberang yang bertandang ke sini untuk mempromosi karya mereka.

Judika atau nama penuhnya, Judika Naslon Abadi Shotang, 46, berkata, tatkala melihat perkembangan kerjaya seni Datuk Seri Siti Nurhaliza yang turut mendapat perhatian ramai di kalangan peminat Indonesia, beliau berharap dapat mengadakan persembahan berskala besar dengan penyanyi tersebut.

Muzik menggabungkan hubungan antara dua negara, Malaysia dan Indonesia.

Ternyata Impian naib juara program Indonesian Idol musim kedua itu untuk bergabung dengan Siti di pentas konsert itu dilaksanakan oleh Universe Gateaway selaku pengajur Konsert The Journey of Sound: Judika & Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Bagi saya, Siti Nurhaliza adalah seorang insan yang humble dan adalah menjadi Impian saya untuk menjayakan konsert dengan idola saya ini. Vokalnya tidak boleh dipertikaikan dan bagi saya senyumannya itu beracun. Siti adalah seorang rakan artis yang baik,” kata Judika dalam satu video yang ditayangkan sewaktu konsert tersebut berlangsung.

Judika menjadikan Siti Nurhaliza sebagai idolanya.

Untuk persembahan malam itu, antara lagu yang disampaikan oleh Judika adalah adalah “Sampai Akhir”, Sampai Kau Jadi Milikku”, “Jikalau Kau Cinta”, “Mama Papa Larang”, “Aku Yang Tersakiti”, “Putus atau Terus” serta medley lagu “Gerimis Mengundang” dan “Mencari Alasan”.

Manakala Siti Nurhaliza pula memberitahu yang beliau mula kenal Judika tersebut sewaktu penyanyi “Bukan Rayuan Gombal” itu masih lagi bersama sebuah kumpulan muzik sebelum bergerak solo.

“Saya kenal Judika sewaktu dia ada kumpulan lagi. Kami bertemu di Jakarta. Dengan muzik kita boleh bersatu dan sekali gus menjadi jambatan persaudaraan,” kata Siti.

Siti Nurhaliza sentiasa berusaha memberikan persembahan yang terbaik kepada peminatnya.

Untuk konsert yang dihadiri lebih 24,000 penonton itu, Siti dan Judika berduet mendendangkan lagu “Buih Jadi Permadani”, “Hal Hebat”, “Setengah Mati Merindu”, “Nirmala” dan “Fantasia Bulan Madu” sebagai penutup tirai persembahan konsert yang berakhir kira-kira 12.40 tengah malam.

Selain berduet dan menjayakan persembahan solo, Siti turut mendendangkan lagu Judika bersendirian iaitu “Bukan Dia Tapi Aku”, manakala Judika pula memilih lagu popular Siti iaitu “Wajah Kekasih”.

Secara keseluruhan konsert yang diiringi oleh pemuzik profesional dan diketuai oleh pengarah muzik Genervie Kam dibahagi kepada tiga segmen iaitu persembahan solo oleh Judika sebanyak 12 buah lagu, segmen Siti Nurhaliza pula dihiasi dengan sembilan buah lagu.

Impian Judika untuk menjayakan konsert berskal besar dengan Siti Nurhaliza tercapai.

Untuk segmen solonya yang turut menampilkan barisan penari, kebanyakan lagu didendangkan secara medley. Antaranya, “Siti Situ Sana Sini”, “Aku Milikmu”, “Pastikan”, “Seindah Biasa”, Diari Hatiku”, “Bicara Manis Menghirirs Kalbu”, “Hati Karma” dan “Ya Maulai”. Hanya lagu “Bukan Cinta Biasa”, “Kesilapanku Keegoanmu”, “Balqis” dan “Sejarah” saja yang didendangkan penuh.

Walaupun konsert duo yang menggandingkan dua nama besar dari Malaysia dan Indonesia ini berlangsung dalam suasana ‘aman’ namun ada juga yang tidak berpuas hati dengan perlaksanaan acara tersebut.

Antara rungutan yang dimuat naik di media sosial adalah tentang tempat duduk yang di sediakan tidak mengikut nombor berdasar tiket yang dibeli. Sebaliknya, pemegang tiket boleh duduk di mana saja di kawasan harga tiket yang dibeli.

Konsert The Journey of Sound: Judika & Datuk Seri Siti Nurhaliza dihadiri lebih 24,000 penonton.

Ada juga di antara mereka terpaksa berdiri kerana tempat yang berkonsepkan “free seating” itu diduduki oleh orang lain. Bukan itu saja, perjalanan konsert ini dikatakan meleret kerana disajikan dengan pelbagai acara sampingan seperti perarakan kereta dan bunga api.

Ramai yang menanti kemunculan Biduanita Negara secara solo, namun Siti Nurhaliza yang ditunggu-tunggu oleh penonton itu tampil kira-kira jam 10.40 malam. Berdasarkan komen dan luahan daripada penonton yang hadir, pihak Universe Gateaway perlu peka dengan apa yang dinyatakan bagi memastikan penganjuran di masa mendatang tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Previous article“Kami SZL”, Rungkai Kisah Anak-anak Flat Yang Minat Berlakon!
Next articleDemi mencari rezeki, Isa Gravity tolak tepi perasaan malu!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here